Berita

Wanita DAP cadang pinda akta pilihanraya, tetapkan 30 peratus kuota calon wanita

GEORGE TOWN, 31 OKT: Ketua Wanita DAP Chong Eng mencadangkan pindaan Akta Pilihanraya bagi melaksanakan kuota 30 peratus calon wanita untuk semua parti politik yang bertanding dalam pilihanraya akan datang, di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Menurut Chong Eng, ini kerana Malaysia jauh ketinggalan dalam usaha melibatkan peranan wanita di peringkat eksekutif dan perundangan, berbanding kejayaan Indonesia menempatkan golongan tersebut dalam pentadbiran negara melalui reformasi sistem pilihanraya.

“Trend perwakilan politik wanita semakin meningkat dalam sistem demokrasi Indonesia. Dalam pilihanraya 2014, peratus calon wanita di Indonesia mencapai 37 peratus, (2,467 daripada 6,619 calon) meningkat daripada 30 peratus pada tahun 2009.

“Dalam pilihanraya 2009, wanita memperolehi 18.2 peratus atau 108 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, meningkat daripada 11 peratus pada tahun 2004,” kata Chong Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, hanya dua orang wanita daripada keseluruhan 35 orang Menteri dan hanya 10.7 peratus atau 56 daripada 523 calon yang bertanding dalam pilihanraya umum ke-13 adalah wanita.

Sedangkan, lapan orang menteri wanita dilantik dalam kabinet Presiden Joko Widodo yang berjumlah 34 orang, termasuk Menteri Luar Negeri Indonesia wanita yang pertama.

“Pada masa ini di Malaysia wanita hanya memegang 10.4 peratus atau 23 kerusi Parlimen, peratusan yang gagal bertambah sejak 1999,” ujarnya.

Tambah Chong Eng, kuota 30 peratus perwakilan wanita di Indonesia diperkenalkan melalui Pasal 65 (1) Undang-undang Pemilu 12/2003, yang menyatakan bahawa setiap parti politik perlu mengajukan calon wanita bagi setiap peringkat pemilihan daerah dan kota.

Penyelidikan Inter-Parliamentary Union (Kesatuan Antara Parlimen) mendapati sistem ini berjaya menghasilkan peratusan ahli parlimen wanita sehingga 25 peratus, jauh lebih tinggi berbanding sistem first-past-the-post yang diamalkan Malaysia.

“Walaupun bukan kuota wajib, ia kemudian diubah dengan Fasal 55 Undang-undang Pemilu 10/2008 yang menetapkan sekurang-kurangnya satu daripada tiga calon dalam senarai parti politik mestilah seorang wanita,” kata ADUN Padang Lalang itu.

Tambahnya, parti-parti politik di Indonesia akan dihalang bertanding dalam pemilihan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), termasuk pembatalan kelayakan 77 calon dari lima parti di tujuh pemilihan daerah baru-baru ini, kerana tidak memenuhi kuota 30 peratus tersebut.

“Mengapa perwakilan wanita dalam politik di Indonesia terus meningkat? Jawapannya terletak pada reformasi pilihanraya yang dijalankan sejak pendemokrasian pada tahun 1999, terutamanya kuota 30 peratus wanita dan sistem perwakilan berkadar,” ujar Chong Eng.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus serius mempertimbangkan penukaran sistem pilihanraya first-past-the-post sedia ada, kepada sistem perwakilan berkadar,” kata Chong Eng. – Roketkini.com.