Berita

Air di Johor tercemar, akta air bersih perlu diwarta

KLUANG, 1 NOV: Masalah pencemaran air di Johor semakin serius, dipercayai berpunca dari sumber bekalan yang tidak bersih dan tercemar sehingga menyebabkan pengguna mengalami masalah kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol Tan Hong Pin berkata, beliau menerima aduan penduduk di daerah ini berhubung mutu bekalan air dan menggesa Syarikat Air Johor menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera.

Menurut Hong Pin, salah seorang penduduk yang ditemuinya di Taman Kluang Barat memberitahu bekalan air ke rumahnya mengandungi cacing merah halus.

Pemeriksaan dibuat mendapati bekalan air ke kawasan perumahan di sekitar Jalan 34, Taman Kluang Barat, dan kawasan sekitar turut mengalami masalah sama.

“Mereka membuat aduan kepada SAJ Holdings Sdn Bhd sebaik mengenalpasti bahawa kejadian ini bukannya kes terpencil sebaliknya merupakan suatu masalah pembekalan air oleh SAJ.

“Pihak SAJ menghantar kakitangan untuk membuat pembilasan (flushing) dengan membuka pili bomba berdekatan untuk melepaskan air kotor.

“Pihak SAJ hanya memberitahu bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan mereka tidak dapat memaklumkan apa-apa maklumat berkenaan kejadian ini,” kata Hong Pin dalam kenyataannya kepada Roketkini.

Tambahnya, masalah lebih serius apabila dimaklumkan penduduk terdapat kanak-kanak yang mengalami masalah sakit perut sejak beberapa hari lalu, namun tidak dapat dipastikan sama ada penyakit itu berpunca daripada bekalan air paip yang tidak bersih.

Kata Hong Pin, beliau percaya kejadian ini disebabkan pencemaran sistem bekalan air dan bukannya berkaitan langsung dengan sumber air.

“Pihak syarikat air haruslah sentiasa memastikan air yang dibekalkan kepada pengguna adalah sentiasa bersih dan selamat,” tegasnya.

Akta Air Minuman Bersih perlu digubal

Merujuk isu yang sama, ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong memaklumkan masalah ini berlarutan semenjak awal tahun 2014.

Katanya, Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang telah menerima banyak aduan berhubung isu tersebut, termasuk aduan bahawa air paip berbau dan berwarna kuning.

Beliau mencadangkan kerajaan perlu membincangkan Rang Undang-Undang Air Minuman Bersih secara terbuka untuk menjamin mutu bekalan air bukan sahaja di Kluang, malah Johor dan seluruh Malaysia.

“Mutu air di Kluang agak teruk. Saya dimaklumkan bahawa kerajaan telah bercadang untuk menggubal Akta Air Minuman Bersih tetapi rang undang-undang ini belum dibincangkan secara terbuka.

“Saya rasa akta tersebut memang diperlukan, kita perlukan satu akta air minuman bersih supaya kita boleh menjaga mutu air yang dibekalkan kepada rakyat,” kata Chin Tong. – Roketkini.com