Rencana

Islam dan pluralisme (Bahagian 1)

Pluralisme (kepelbagaian/kemajmukan) merupakan satu kejadian alam yang membuktikan tanda-tanda kebesaran Allah. Tiada sesuatu yang ada di muka bumi ini melainkan semuanya ditunjukkan dalam pelbagai bentuk, pelbagai  rupa dan pelbagai pilihan. Kerencaman ini menandakan kejadian alam serta kejadian pada alam haiwan dan pada diri manusia sendiri.

Oleh kerana kepelbagaian adalah satu realiti, kita tidak berupaya menolaknya malah ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang kita saksikan setiap hari dan kita rasai setiap masa.

Demikianlah tanda kebesaran Allah seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah Al Fussilat ayat 53:

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?”

Adalah menjadi sesuatu yang kurang bijak untuk menidakkan realiti kepelbagaian sebagai satu fitrah kejadian. Apa yang boleh kita lakukan ialah memahami dan hidup dalam kepelbagaian ini dengan cara yang diajar oleh Islam bagi mencapai kehidupan yang bermakna. Apabila kita memilih untuk menolak kewujudan kepelbagaian dalam kehidupan kita, kita seolah-olah menolak kejadian yang ditetapkan sebagai fitrah.

Alangkah benarnya kata-kata Imam Hasan al Banna (1906-1949):

“…..jangalah sekali-kali kamu bertembung dengan rahsia kejadian (fitrah) ini kerana kelak ia akan mengalahkan kamu, tetapi hendaklah kamu menguasainya dan gunakanlah keadaan ini dan alihkan arusnya untuk dikuasai dan mohonlah pertolongan antara satu sama lain….”

Sebenarnya kejelasan hidup yang penuh dengan kepelbagaian sebagai satu tabiat semulajadi kejadian disebut oleh Allah dalam Al Fathir ayat 27-28 yang bermaksud:

“Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat”  (Al Fathir: 27)

“Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya).

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang mengetahui). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al Fathir: 28)

Prasyarat untuk memahami erti kepelbagaian dalam Islam dan bagaimana menguruskannya dengan penuh limpahan Rahmat bermula dengan penerimaan fakta penting bahawa “kepelbagaian adalah satu realiti dan satu kepastian” dan dari sini kita akan menghuraikan perincian bagaimana fakta ini memberi kesan dalam kehidupan kita dan bagaimana seharusnya kita berhadapan dengannya dengan tenang dan menghindari segala keraguan dan kebimbangan.

Bagi faedah mendalami rahsia kepelbagaian dan kerencaman kejadian, dicatatkan dengan ringkas beberapa ayat tentang kejadian ini yang meliputi setiap kejadian Tuhan.

Kepelbagaian Dalam Ciptaan

Kejadian siang dan malam serta matahari dan bulan adalah tanda kebesaraNya dalam kepelbagaian yang kita sering saksikan supaya manusia akur dengan kejadian ini dan mengembalikan segala kebesaran ini kepada Allah sebagai penciptanya. Firman Allah dalam Fussilat ayat 37:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah”

Kepelbagaian Dalam Bahasa Dan Bangsa

Dalam Surah Al Rum Allah SWT menceritakan tentang kepelbagaian bahasa dan keturunan yang ada pada kejadian manusia sendiri sehinggakan mustahil untuk kita dapati manusia semuanya berada pada satu bahasa, satu warna dan satu bentuk.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui” (Al Rum: 22)

Mereka yang memahami kepelbagaian kejadian dalam diri manusia sendiri disifatkan oleh Allah sebagai orang yang mengetahui yakni dapat menerima hakikat kepelbagaian.

Kepelbagaian Agama Dan Kepercayaan

Satu hakikat yang seiring dengan kejadian dalam kepelbagian ini ialah wujudnya kepelbagaian agama dan kepercayaan dalam sejarah manusia yang panjang. Tidak ada pada sesuatu masa itu manusia berada pada satu agama kecualilah pada saat Adam diturunkan Allah ke atas muka bumi manusia, namun dalam generasi seterusnya kesesatan keturunan generasi Adam melahirkan kepelbagaian dalam memahami keperluan untuk beragama.

Hakikat kepelbagaian ini disebut oleh Al Quran dalam masing-masing dalam surah Yunus dan Hud:

“Dan Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Yunus: 99)

“Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya” (Yunus :100)

Ayat di atas walaupun tema utamanya ialah melarang Nabi Muhammad s.a.w. memaksa orang lain memeluk Islam namun hakikatnya ialah wujudnya agama lain selain Islam adalah satu bentuk kepelbagaian yang menjadi satu realiti. Mungkin ayat dalam Surah Hud lebih jelas menerangkan bahawa sepanjang masa akan ada agama lain yang wujud selain Islam, dalam firmanNya:

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu (agama yang satu), tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat” (Hud:118)

“Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. dan untuk Itulah Allah menciptakan mereka. kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) Telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya” (Hud: 119)

Perkataan “Ummatan Wahidatan” dalam kedua-dua ayat dari surah Yunus dan Hud bermakna satu agama sahaja kerana dalam bahasa Arab “ummah” boleh membawa kesepakatan sesuatu kelompok ke atas sesuatu agama lalu dijadikan makna kesepakatan itu sebagai “satu agama”.

Kehendak Allah mengatasi segala-galanya namun dalam hal menjadikan hanya satu agama dari sudut kewujudan, Allah tidak mengkehendakinya walaupun dari sudut Kebenaran hanya satu sahaja agama yang diterima oleh Allah dan dalam hal ini umat Islam meyakini bahawa agama itu adalah Islam. Justeru itu atas Kebenaran Islam inilah maka menjadi sesuatu yang pasti supaya Islam menurunkan Rahmatnya terhadap kepelbagaian agama yang ada di hadapannya.

Kenyataan bahawa Islam adalah satu kebenaran bukan memberi lesen untuk Islam menghina kewujudan agama lain, bahkan Islam menuntut penganutnya menerima kepelbagaian dan hidup dengannya seperti yang digariskan oleh konsep Rahmatan Lil A’lamin. – Roketkini.com