Rencana

Fatwa pengharaman SIS: Pengajaran untuk PAS

‪”PAS sudah tersasar dan SESAT!”‬

‪Itulah antara tanggapan mudah bagi sesetengah orang PAS dan rakyat Malaysia berstatus Melayu-Islam khususnya apabila ahli Parlimen merangkap AJK PAS Pusat – Dr Mujahid Yusuf Rawa, Khalid Samad dan Hanipa Maidin menyuarakan pertikaian berhubung warta pengharaman Sisters In Islam (SIS) oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor baru-baru ini.‬

‪Tulisan ini sengaja saya karangkan untuk mengajak ahli PAS dan rakyat Malaysia umumnya menerjah akal yang kadangkala masih tidak mahu berganjak dari kerangka pemikiran Malaysia di era 70-80an. Sedangkan hakikatnya rakyat kita sedang berhadapan dengan realiti politik yang lebih mencabar dibawah langit ‘informasi’ yang jauh lebih luas terbuka berbanding dahulu.‬

‪Ini bukan kerja mudah. Jika tidak, masakan generasi baru dalam UMNO sendiri pun sudah memperlihatkan usaha gigih untuk keluar dari kerangka pemikiran sempit parti mereka sendiri?‬

‪Lihat sahaja Dato’ Saifuddin Abdullah yang menjadi salah seorang penggerak utama kepada Gerakan Anti Perkauman (GAP) – sebuah inisiatif Global Movement for Moderate Foundation. Khairy Jamaludin pula dengan inisiatif Akademi Kapten Hussein (AKHI). Adakah ini kebetulan?‬

‪Pada pandangan saya TIDAK. Ini adalah usaha teliti yang mereka ambil untuk memastikan interaksi mereka dengan iklim politik Malaysia yang lebih terbuka dan rasional kekal releven. Idea serta pendekatan baru mereka ternyata sangat kontra dari tradisi UMNO.‬

‪Kita akan tertanya-tanya, sejak bila UMNO anti perkauman? Dan sejak bila juga UMNO gemar berwacana secara terbuka membincangkan isu-isu yang agak sensitif?‬

‪Sebab itu tidak hairanlah apabila ramai rakan-rakan berseloroh, “Si Khairy dan Saifuddin ni tersalah parti agaknya…” apabila mereka sering dilihat membawa pendekatan dan idea lebih sederhana dan muda yang tidak senada dengan ‘culture’ UMNO yang bersifat ‘ultra malays’ dan ‘ultra Islam’ kononnya!‬

Kenyataan media Ahli Parlimen PAS

‪Dalam hal tiga ahli Parlimen PAS dan SIS ini, saya cuba meneliti kenyataan media yang dikeluarkan.‬

‪Dari kefahaman saya, ia bukanlah tentang persetujuan atau penolakan terhadap fatwa pengharaman SIS. Ia lebih berkait rapat dengan soal pendekatan dan proses demokratik yang sewajarnya diambil sebelum satu-satu fatwa dikeluarkan. Bukan dengan menutup pintu-pintu perbincangan dan interaksi sehingga menghukum dengan sewenangnya bahawa yang berbeza itu semestinya mengancam negara dan dunia!‬

‪’Not only must justice be done, it must also be seen to be done’. Bahkan Islam itu sendiri tidak cukup sekadar diyakini adil dan baik, tetapi mesti diusahakan oleh penganutnya agar turut DILIHAT adil dan baik kepada setiap manusia.‬

‪Apatah lagi dalam ruang demokrasi yang kian berkembang di Malaysia, sikap mengenakan hukuman tanpa disediakan ruang interaksi dua hala pada saya hanyalah akan membawa Malaysia selangkah kebelakang. Orang yang rasional akan mula mempertikai, apa bezanya semua ini dengan tahanan tanpa bicara?‬

Antara prinsip dan kebijaksanaan PAS

‪Bagi PAS, ini bukan soal menggadaikan prinsip Islam yang dijunjung sejak sekian lama. Tetapi ini adalah soal kebijaksanaan PAS dalam arena politik baru tanah air.‬

‪Ini soal apakah PAS mampu menjadi ‘key player’ dalam era kerjasama politik bersama parti yang datangnya dari pelbagai aliran.‬

‪Ini tentang kelicikan PAS memecahkan ‘taboo’ politik perkauman sempit dan kebencian dikalangan rakyat yang disuburkan UMNO selama ini. Yang akhirnya rakyat hidup dengan penuh prejudis antara blok-blok agama, bahasa dan warna kulit.‬

‪Era ini menyaksikan kestabilan politik di sesetengah negara barat yang bukan dikuasai ‘pejuang’ Islam sepertimana kata-kata tokoh gerakan Islam Muhammad Abduh “aku melihat Islam tanpa muslim di barat tetapi muslim tanpa Islam di timur”.‬

‪Era ini memperlihatkan rampasan kuasa oleh rejim ketenteraan tarhadap pemerintahan Muhammad Morsi di Mesir.‬

‪Era ini turut memperlihatkan AK Parti pimpinan Erdogan memimpin Turki setelah kegagalan Parti Saadat pimpinan gurunya Erbakan.‬

‪AK Parti terpaksa berinteraksi secara hikmah dan bijaksana dengan kepelbagaian latar sekular masyarakat mereka sendiri demi membawa Turkey ke fasa politik yang baru.‬

‪Era ini juga memperlihatkan Jokowi yang diangkat rakyat menjadi presiden dengan memecahkan stigma politikus tradisionalis Indonesia yang disifatkan sebagai NATO – ‘no action, talk only!‬

‪Kita di Malaysia pula bagaimana? Dalam isu SIS VS Fatwa ini contohnya, PAS bagaimana?‬

‪Apakah kita akan terus berada pada takuk lama? Era kafir-mengkafir, hukum-menghukum semata-mata tanpa berinteraksi dengan kepelbagaian yang ada.‬

‪Sebagai sebuah parti politik, PAS perlu sedar akan beban dan tanggungjawab yang perlu digalas. Segala kepelbagaian inilah yang perlu dihadapi dengan bijak jika ditakdirkan PAS dan Pakatan Rakyat memimpin Malaysia satu hari nanti. Apakah PAS pada saat itu akan menjadi ‘taliban’ Malaysia?‬

‪Inilah cabaran politik baru buat PAS. Walaupun saya secara peribadi melihat Malaysia masih belum lagi berada pada tahap yang cukup membanggakan tatkala bercakap perihal politik baru ini, namun pergerakan kearah itu sudah mula terasa apatah lagi pasca Pilihan Raya Umum ke-13.‬

‪Dan tidak dapat dinafikan lagi, kewujudan PAS, PKR, DAP dan kelompok masyarakat sivil yang maju dan progresif di tanah air inilah menjadi pemain utama kearah membina Malaysia yang lebih adil dan demokratik untuk generasi masa hadapan.‬

Kebijaksanaan politik mendepani PRU

‪Dalam konteks politik pilihan raya, kita perlu membina jaringan dan meramaikan kawan untuk berhadapan musuh. Kuncinya buat masa ini mudah sahaja, musuh kita yang menyekat kemaraan politik baru ialah UMNO BN.‬

‪Sebab itu jugalah saya nyatakan seawal penulisan tadi, sesetengah pemimpin UMNO juga terdesak untuk mencorakkan parti mereka agar kelihatan lebih terbuka, sederhana dan demokratik untuk terus kekal releven pada masa kini.‬

‪PAS tidak boleh ‘apologetic’ sehingga keluarlah mantra-mantra ‘bukan kemenangan pilihan raya yang kita cari’ dengan meng’cis’kan bahawa usaha kearah membawa PAS memenangi pilihan raya hanyalah membawa kita kepada fikrah Islam tidak asli, kabur dan songsang!‬

‪Pada saya, hanya pejuang Islam yang malas sahaja tergamak mengambil langkah pintas dengan dakwa-dakwi sedemikian rupa. Seolah-olah Islam itu tidak punya jatidiri untuk berdepan dengan arus pesat perubahan zaman dan kemajuan manusia.‬

‪Barang diingat, hudud di Kelantan itu dapat diusulkan sehingga ketahap kini adalah hasil dari mandat kuasa yang telah diberikan oleh rakyat kepada PAS. Bahkan penentuan soal berjaya atau tidak perlaksanaan dasar-dasar Islam yang ingin diutarakan PAS juga perlu melalui ruang dan proses demokrasi!‬

‪Bukankah menerusi usrah-usrah kita telah diajarkan Islam itu antara sifatnya ialah ‘waqe’iyyah’ (sesuai disetiap keadaan dan zaman) serta ‘thabat wa murunah’ (tegas pada prinsip dan anjal pada pembawaan dan perlaksanaan).‬

‪Nah, inilah realiti lapangan kita. Menyantuni ruang-ruang demokrasi dan mendokong politik baru yang lebih segar, sederhana dan berinteraksi dalam kepelbagaian dengan hikmah dan bijaksana!‬

*SHEIKH OMAR ALI merupakan Pemuda PAS Johor merangkap pembantu kepada Ahli Parlimen Kluang.