Rencana

Menteri Indonesia mentadbir dengan nurani, Menteri Malaysia?

Susi Pudjiastuti, baru-baru ini telah dilantik sebagai Menteri Kelautan dan Perikanan oleh Presiden Joko Widodo. Nama ini agak asing bagi saya apatah lagi saya masih baru mengikuti perkembangan industri perikanan serantau.

Saya bertanyakan rakan-rakan kenalan mengenai wanita ini. Siapa dia, Juragan kapalkah atau pensyarahkah atau ‘Shahrizat’kah? Apa pun, selamat bekerja buat Ibu Susi.

Baru-baru ini saya sempat menyemak kembali pidato pertama Presiden Indonesia, Joko Widodo. Saya tertarik dengan satu aspek yang disebut oleh Jokowi dalam pidato pertama dalam permulaan penggal pertamanya sebagai kepala Negara, ia berdasarkan isi dalam pidato beliau yang menyentuh secara khusus bidang maritim.

“Kita harus bekerja dengan sekeras-kerasnya untuk mengembalikan Indonesia sebagai negara maritim. Samudra, laut, selat dan teluk adalah masa depan peradaban kita. Kita telah terlalu lama memunggungi laut, memunggungi samudra, memunggungi selat dan teluk.”

Kebiasaannya seorang presiden akan menyentuh perihal makro ekonomi, sumber manusia, sains teknologi serta peningkatan kualiti dan produktiviti dalam industri utama negaranya.

Tetapi bagi Jokowi, beliau langsung menyentuh perihal negara maritimnya. Apalah hebat sangat dengan maritim Indonesia ni?

Apakah Indonesia tidak berminat dengan sains dan teknologi? Tidak berminat untuk melabur dalam industri IT atau automobil, kewangan, petroleum dan gas seperti Malaysia? Justeru, mengapa maritim?

Saya percaya, Presiden ‘marhaen’ ini mengenali identiti, aset, ciri-ciri dan kelebihan alami negaranya. Tanpa mengenali ciri-ciri negaranya, tak mungkin pengetahuan itu dapat digunakan untuk membangunkan negaranya.

Maka, usaha menarik perhatian rakyat untuk kembali mengenali sifat-sifat negaranya ini merupakan suatu langkah yang betul, saya fikir demikian.

Presiden itu mahu rakyat Indonesia menyedari bahawa negara mereka adalah negara gugusan pulau. Dikelilingi oleh laut, teluk dan selat. Alam Indonesia yang terbesar ini adalah aset ekonomi dan sosialnya.

Negeri maritim ini mewujudkan pelancongan, pengangkutan, hasil bumi dan sumber industri makanan, ia adalah sumber pekerjaan dan ekonomi mereka.

Dan aset ekonomi ini haruslah dijaga, diurus dan dimajukan secara maksimum cekapnya agar hasil pengeluaran dapat dioptimumkan demi faedah rakyat dan industrinya.

Barangkali kerana itulah Susi Pudjiastuti itu dipilih oleh Jokowi memegang jabatan dalam bidang kelautan dan perikanan. Soal ianya akan berjaya atau tidak, kena tunggu dan lihat.

Susi ini asalnya bukan politikus yang dikader dari muda, atau pensyarah pakar perikanan tetapi beliau adalah usahawan penternakan ikan yang sukses.

Perusahaan beliau juga meliputi pelbagai bidang yang lain. Pengalaman membina dan memperkembang ini diperlukan oleh Jokowi untuk negara seperti Indonesia.

Pengetahuan dan pengalaman Susi itu diposisikan oleh Jokowi untuk mengurus hal-hal kelautan dan perikanan Indonesia.

Di Malaysia, posisi sebegini sering sekali berdasarkan dan dipengaruhi oleh strategi politik, bukan mengikut merit pengalaman dalam bidang-bidang tertentu. Kita pernah melihat bagaimana seorang menteri yang mahir dan terlatih dalam bidang undang-undang dapat memberi impak kepada portfolio kebudayaan dan kesenian, selain membungkus semua bidang ini menjadi portfolio pelancungan.

Tak lupa juga, dulu ada menteri wanita yang terpalit dengan masalah penganugerahan dana kepada keluarganya yang tidak ada pengalaman menternak lembu tetapi dianugerahkan dana ratusan juta untuk tujuan penternakan lembu.

Begitu juga politikus sepenuh masa yang terlatih dalam bidang undang-undang, dikirim Perdana Menteri untuk mengurus hal-ehwal nelayan dan perikanan di LKIM. Minat Ahli Parlimen ini pun saya tak pasti apa dia.

Bagi saya, sungguhpun ia tidak menyalahi undang-undang, tetapi merit dan pengalaman dalam bidang-bidang pengkhususan itu harus juga diambil kira. Negara yang telah dan sedang maju berbuat demikian. Bukankah bagus jika ia dijadikan teladan.

Pengurusan dalam bidang pertanian, saintifik, ekonomi, kewangan dan kebudayaan, seharusnya berdasarkan merit pengetahuan dan pengalaman, kerana sifat bidang ini sememangnya memerlukan pengalaman yang mengkhusus, kalau pun tidak mempunyai kelulusan dalam bidang tersebut, ia masih boleh dijustifikasikan.

Kerjasama antara yang mahir dalam bidangnya dengan politikus mestilah rapat dan seiring. Jika saya jadi PM, saya akan meletakkan jawatan ‘part time’ sebagai menteri kewangan dan saya akan lantik pakar kewangan atau ekonomi yang profesional untuk melakukan kerja tersebut secara sepenuh masa.

Mahdzir Ibrahim adalah AJK DAPSY Kebangsaan, pendukung seni dan kebudayaan.