Sastera

Derita Karkuma dan Shuhada: Ulasan novel

Karkuma dan Pelacur Kelas Pertama adalah dua novel yang diterbitkan oleh Merpati Jingga, kedua-dua penulisnya adalah wanita, dan kedua-dua novel merupakan karya dalam bahasa Melayu yang sedikit kontroversi kerana diselitkan adegan seks. Selebihnya, kedua-dua novel ini tidak ada sebarang kaitan.

Watak utama Karkuma adalah lelaki manakala wanita menjadi peneraju utama untuk Pelacur Kelas Pertama. Persamaan kedua-dua novel ini hanyalah luaran semata-mata. Intipatinya berbeza. Jadi kenapa digabungkan ulasannya?

Ia adalah kerana Karkuma karya terbaru penulis popular Raja Azmi Sulaiman diwarwarkan sebagai menarik dan unik oleh rakan saya Faisal Mustaffa yang merupakan boss Merpati Jingga. Maka saya pun membeli senaskah sewaktu berkunjung di sebuah pesta buku yang melambak karya-karya agama yang tidak kritis.

Novel Pelacur Kelas Pertama hasil nukilan Melati Rahim pula saya beli secara langsung daripada penulisnya sewaktu bertemunya untuk berbual-bual. Mungkin kerana rasa bersalah jika tak berbuat begitu kerana sudah duduk berdepan dengan pengarangnya.

Niatnya, saya ingin jadikan kedua-dua novel ini sebagai tapak untuk kembali membaca karya kreatif dalam bahasa Melayu.

Saya juga sebenarnya baru beberapa bulan selesai membaca novel berjudul Pulang karya wartawan Indonesia, Leila S. Chudori yang saya anggap berjaya dan benar-benar memuaskan hati, jiwa dan raga saya yang telah lama gersang pembacaan kreatif.

Mungkin juga kerana itu saya rasa sedikit bersalah kerana menikmati novel Indonesia tetapi seolah-olah tidak pedulikan novel Malaysia. Dengan itu saya meluangkan masa menjamah karya Raja Azmi dan Melati Rahim.

Karkuma

Saya agak kecewa selepas membaca karya terbaru Raja Azmi ini. Mungkin kerana saya tahu dia telah menghasilkan banyak karya popular sejak novel pertamanya Black Widow terbit lebih 20 tahun lalu. Jadi saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang karyawan veteran.

Mungkin juga kecewa kerana Faisal sang penerbit benar-benar mempromosikannya sebagai hebat. Jadi harapan saya tinggi daripada biasa. Benar, ada usaha penulis tersebut memperkenalkan sesuatu yang baru seperti mencipta bahasa kuno untuk menguatkan inti novel tersebut. Namun ia tak memberi apa-apa kesan kecuali menyekat kelancaran pembacaan.

Sebagai pembaca biasa dan bukannya kritikus sastera, saya hanya menganggap sesuatu karya itu sebagai baik apabila ia melekat di hati dan mengikat di jiwa hingga pembaca tak sanggup meninggalkan buku walau sesaat.

Maksudnya, kekuatan sesuatu novel – malah cerpen, rencana, berita – adalah cerita. Ia diikuti dengan jalan cerita dan gaya cerita. Itu saja daya penarik yang akan menggenggam hati pembaca.

Namun saya tak merasai nikmatnya bersama Karkuma. Cerita mendatar, stereotaip dan terlalu berbunga ayat-ayatnya. Watak-wataknya pula terlalu hitam putih.

Watak utama Karkuma teramat sangatlah baiknya, dia sayang isterinya, kasih ibu bapanya, pandai berbual dengan pokok-pokok dan bunga-bunga di taman tempat kerjanya.

Watak saingan utamanya seorang ketua agama Jameng yang teramat sangatlah jahatnya, lengkap dengan ketawa ganas orang jahat seperti yang biasa ditonton di mana-mana wayang, teater atau drama tempatan.

Dalam novel itu, yang baik menang, yang jahat kalah, dan mereka kekal baik dan jahat sepanjang jalan. Watak-watak latar digambarkan sebagai penganut agama bersihir, kemudian datang seorang lelaki baik yang bersifat seperti wali membawa agama baru – penulis membawakan gambaran agama itu sebagai Islam tanpa menyebutnya sebagai Islam. Ia seperti satu karya propaganda Islam.

Pelacur Kelas Pertama

Saya juga agak kecewa membaca karya Melati Rahim ini kerana dari segi cerita, jalan cerita dan gaya cerita ia tak begitu kukuh. Ia seperti membaca satu cerpen yang panjang.

Namun, memandangkan ini novel pertamanya, tidak adil untuk menghukum begitu saja. Melati juga seorang penulis baru yang berusia 22 tahun yang berani menyampaikan mesej anti-keganasan rumah tangga tanpa banyak selindung dengan peribahasa atau kata-kata indah.

Dari segi bahasa, ia terlalu mudah. Kosa katanya tak banyak. Malah jalan cerita juga mendatar. Seperti Karkuma, ia tidak mengajak pembaca melalui ruang-ruang suspen atau kejutan.

Tetapi yang membezakan novel Pelacur Kelas Pertama dengan Karkuma adalah keupayaan Melati mencuit rasa apabila adegan lelaki memukul bantai wanita digambarkan secara eksplisit dan telus.

Lebih “menyakitkan” ialah reaksi watak utama Shuhada yang dimangsakan itu yang seolah-olah merestui keganasan terhadap dirinya. Sebagai pembaca tentulah hati gundah-gulana kerana geram dengan sikap watak utama yang membiarkan diri diperkosa, dicabul dan dirobek oleh manusia kejam yang bergelar suami.

Maksudnya, Pelacur Kelas Pertama memaksa mata pembaca melihat kekejaman fizikal di depan mata. Ya, ia bukan sesuatu yang indah untuk dibayangkan tetapi realiti sememangnya pahit dan pedih.

Turut menarik perhatian adalah usaha penulis yang sengaja melanggar stereotaip dengan meletakkan watak saingan utama, iaitu suami Shuhada sebagai seorang ustaz dan pakar motivasi popular di khalayak ramai tetapi menjadi sadis yang tak berperikemanusiaan di rumah.

Namun pada masa yang sama penulis masih terikat dengan stereotaip lain apabila Ustaz Alias digambarkan bertindak menggila, wataknya tidak digambarkan sebagai menghadapi masalah mental atau tekanan jiwa atau benar-benar gila. Sedangkan watak Shuhada digambarkan sedemikian rupa; seolah-olah hanya wanita yang boleh tertekan jiwa sedangkan lelaki yang gila babi sekali pun tak mungkin menghadapi masalah seperti itu.

Klimaks novel pendek itu pula seperti satu jalan keluar yang mudah, yang sudah dijangka. Sesudah pembaca mengharungi ruang-ruang sadis, ngeri dan pesimis, ia tamat begitu sahaja.

Pandangan

Jadi kedua-dua novel itu belum dapat meningkatkan suhu jiwa saya untuk membaca karya tempatan. Mungkin saya tidak patut membaca novel Pulang sebelum membaca kedua-dua novel tempatan tersebut. Karya Indonesia itu kukuh ceritanya, kuat jalan ceritanya dan mantap gaya ceritanya, ditambah pula kehebatan deskripsi; seperti novel Salina karangan A. Samad Said yang mana tiang serinya adalah kekuatan deskriptifnya.

Apa istimewanya Pulang?

Ia menceritakan tentang sekumpulan pelarian politik Indonesia yang dituduh aktivis Partai Komunis Indonesia yang dikejar pemerintah diktator Suharto pada pertengahan 1960-an, sehingga mereka bertemu di Paris. Dalam kehidupan buangan, mereka membuka restoran makanan Indonesia. Kerana kekuatan deskriptifnya, apabila penulisnya menggambarkan hidangan Indonesia – nasi uduk, nasi kuning, nasi goreng, sambal, tempe dan sebagainya – saya terasa lapar sewaktu membacanya!

Kekuatan perwatakan juga meyakinkan kerana ia dapat menjiwai gambaran luaran serta isi hati setiap watak, sama ada apabila yang diluahkan itu adalah perjuangan politik atau rasa cinta peribadi. Leila membawa kita mengembara era rampasan kuasa tentera di Jakarta pada 1965 (sewaktu kempen Ganyang Malaysia oleh Presiden Sukarno yang mana kudeta itu kini semakin terbukti didalangi CIA), era demonstrasi pelajar-pekerja Paris pada 1968 dan era reformasi Indonesia 1998.

Sama ada cerita utama mahu pun plot sampingan – malah cebisan cerita dan maklumat – semuanya mengukuhkan Pulang sebagai novel yang dapat saya jiwai sepenuhnya.

Memang bukan niat di hati mahu membandingkan novel Indonesia ini dengan dua novel tempatan itu. Mungkin saya terlalu mengharapkan karya seperti nukilan Leila S. Chudori itu menyebabkan saya gagal bersikap lebih terbuka terhadap novel-novel tempatan.

Apa pun saya amat berharap agar Raja Azmi akan kembali dengan karya yang lebih unggul manakala Melati pula dapat memperbaiki kelemahan gaya dan jalan cerita serta untuk novel-novel mendatang. Tajuk karya tak perlu terlalu sensasi. Isi adalah sesuatu yang lebih dan amat penting.

Buat kawan saya Faisal, jika saya meletakkan Pelacur Kelas Pertama sebagai karya yang lebih baik sedikit daripada Karkuma, ia bukan kerana saya bias dengan Melati yang mahu menjadi ahli parti DAP. Jauh sekali dari itu.

Satu-satunya kelebihan karya Melati adalah kemampuannya menggerakkan hati saya sebagai pembaca untuk merasai derita dan siksaan jiwa serta tubuh watak Shuhada. Mengapa dia tak melawan, mengapa tak mengadu, mengapa membiar diri dirogol dan disepak terajang?

Akhirnya saya tersedar sendiri: jawapannya ada di sekeliling kita. Saban hari kita ditekan, dikongkong, disiksa jiwa raga oleh mereka yang menganggap diri, dan dianggap pula oleh masyarakat, sebagai wakil-wakil tuhan. Dengan kuasa yang diberi, mereka menentukan apa yang boleh, apa yang tak boleh.

Kebanyakan kita pula hanya mampu mengetap bibir menahan sakit yang amat perit. Kita merelakan pencabulan diri, pembodohan minda. Seperti Shuhada, kita tak melawan, kita tak mengadu, kita membiarkan saja.

Memang ini realiti hari ini. Dan dalam hidup ini jarang ada happy ending seperti Karkuma. – Roketkini.com