Rencana

Bahagian III: Revolusi Turki moden, kontroversi dan kejayaan

turkiKita acapkali gagal memahami siapakah Ataturk. Di samping sering mengeji, kita kurang mengkaji mengapakah Ataturk begitu sebati dengan republik Turki.

Ataturk adalah figura yang bukan sekadar tersisip dalam sejarah tetapi adalah jiwa, minda dan roh republik Turki moden. Beliau adalah simbol. Beliau adalah sejarah yang tidak mungkin dipadamkan. Baik atau buruk pada pelbagai sisi pandang, Ataturk tetap Ataturk. Gagasan dan politik beliau telah mengilhamkan pelbagai gerakan sejurus pemergiannya. Setiap gagasannya menjadi rukun negara, dan setiap hasil kerjanya menjadi kayu ukur kepada politikus seterusnya.

Untuk memahami Ataturkism (Ataturkcu) lazimlah disoroti sejarah politiknya. Dalam dokumentari Ataturk oleh Karl Hoskeshh, beliau menyebutkan bahawa Ataturk adalah seorang idealis yang jitu dan ambitious. Matlamatnya adalah tujuan terbesar walau apa pun risikonya – itu antara prinsip terpatri jitu dalam jiwa putera kelahiran Salonika, Greece ini.

“Merdeka dan mandiri adalah watakku, kerana itu aku mutlak memperjuangkan untuk bangsa ini sebuah kemerdekaan agar mereka mampu berdiri sendiri. Maka dengan itu, sama ada merdeka atau aku mati deminya.” Demikian syarahan Mustafa Kemal ketika menghadapi kegetiran Perang Dunia I.

Tidak cukup dengan tentera, darah peluh segenap warga dikerah bersama. Maka dengan berkat semangat beliau, Turki menjadi mandiri dan berjaya menghambat pulang kuasa-kuasa Eropah yang rakus menakluk ketika itu.

Pasca Perang Dunia I, rakyat miskin. Bangsa Turk yang dahulunya tuan harus dikembalikan semula ketuanannya. Malangnya sudah tidak banyak yang tersisa – ekonomi sudah dipegang oleh Yahudi Turki. Kuasa politik dunia sudah terkubur. Di minda Ataturk, beliau mahu mengembalikan semula ke’gah’an silam. Ataturk meniupkan gagasan baharunya.

Sebagai presiden yang membayangi Perdana Menteri, kata-katanya sudah pasti menjadi pilihan parlimen dan veto dek reputasi yang terbukti. Agenda utama Ataturk adalah agenda pengstrukturan semula negara. Maka negara-bangsa harus dibangunkan mengikut acuannya yang difikirkan sesuai semasa itu. Penggerak utama adalah Perdana Menteri ketika itu (Inonu) , dan Celal Bayar (TPM) merupakan teman seangkatannya dalam tentera Osmaniah dahulu.

Perubahan Turki adalah ketara, unik, drastik, progresif – sebagai cerminan keazaman mengeluarkan Turki daripada imej lama kepada Turki baharu. Turki baharu ini bukan lagi empayar Osmaniyah atau “negara Eropah yang sakit.” Ia dinamakan ‘sebuah revolusi’ sosial oleh Ataturk untuk menggarap pembinaan semula budaya, pendidikan dan kemudahan awam.

Secara am, revolusi yang dijalankan oleh Ataturk ini menggarap aspek politik, sosial, perundangan, pembudayaan, pendidikan dan ekonomi. Ataturk, yang memulakan langkahnya sejak pra-perang dunia pertama lagi, telah mendapat sokongan pasukan askar, para ulama dan sebahagian rakyat melalui kempen-kempennya di seluruh bumi Osmaniyah ketika itu. Pengaruhnya menjadi luar biasa di Izmir, Antalyia, Eskisehir dan beberapa wilayah sekitarnya.

Seorang Sosiologist tersohor Emre Kongar dalam catatannya melahirkan rasa takjub:

“Ia adalah sesuatu yang unik, penuh dengan tekad dan azam, dalam menjayakan alamisasi pembudayaan barat dan budaya Turki pra-Islamik, melawan arus dominan masyarakat Islam ketika itu dalam masa yang singkat, yang seharusnya memerlukan masa yang lebih panjang.”

Revolusi politik

Langkah pertama bagi pembaharuan politik Turki adalah penghapusan sistem monarki (1 November 1922), yang dilihat sebagai punca kepada ketirisan wang negara, dan menjadi punca kepada ketidakstabilan ekonomi rakyat kesan daripada permainan politik istana. Pendeklarasian Republik Turki (29 okt 1923) dan penghapusan sistem khalifah (3 mac 1924) pula adalah langkah penyempurnaan revolusi.

Ataturk menjadi presiden pertama mengantikan khalifah. Sistem republik berjalan tanpa pilihanraya selama 15 tahun sepanjang pemerintahan Ataturk. Walaupun mempunyai Perdana Menteri tetapi tindakan dan keputusan Presiden terus membayangi PM. Ataturk sebelum itu terlebih dahulu meningkatkan propaganda dan mempersembahkan kejayaan luar biasa.

Dalam ucaptama semasa menghapuskan sistem khilafah pada tahun 1924, Ataturk menyebut:

“Empayar Osmaniah sudah tidak lagi wujud. Rakyat kini sudah mempunyai jatidiri tersendiri. Perundangan telah menetapkan bahawa rakyat mempunyai kuasa, perundangan harus menuruti rakyat, dan kerajaan di Istanbul sudah tidak lagi sah dan semua kuasa di bawahnya kini berpusat di Ankara. Empayar Osmaniah kini menjadi sejarah.”

Revolusi sosial

Revolusi sosial yang dilaksanakan Ataturk adalah yang paling kontroversial dan berjaya. Perubahan drastik, dan tidak jarang kontradik, sering menjadi tarikan para pengkaji seperti Sevket Sureyya Aydemir, Andrew Mango, Lord Kinross, Taha Akyol, Emre Kongar dan lain-lain. Pelbagai gaya tulisan mengambarkan fenomena ini, pro dan kontra. Tetapi pokoknya tidak ada yang berani menafikan kejayaan beliau dalam perihal ini.

Bermula dengan idea pemodenan cara hidup, Ataturk menjadikan Barat, terutama Eropah, sebagai model dan teladan. Kejayaan Barat yang dahulunya dipandang enteng oleh Osmaniyah ternyata telah memukul dan mencarikkan kuasa besar mereka. Ataturk belajar daripada gagasan-gagasan Genc Osmanlilar, contohnya hak wanita, kewujudan parlimen, dan lainnya.

Buat pertama kalinya, wanita diberi penghormatan untuk bekerja dan mengundi setara dengan lelaki. Pada 1926-1934 proses ini berjalan secara bertahap bagi menenangkan rakyat jelata. Wanita diberi hak mengundi, bekerja dan sebagainya.

Pada tahun 1925, Ataturk telah mula bertindak drastik mengharamkan segala aliran agama (aliran dominan ketika itu adalah sufisme), menutup ‘dergah’ (pusat kegiatan kerohanian) para Dervish, mengharamkan pemakaian simbol-simbol agama dan sufisme seperti serban dan tudung. Revolusi atas nama sekularisme ini disambut baik oleh segelintir masyarakat di utara, selatan dan timur Turki, akan tetapi ditolak oleh majoriti masyarakat di barat Turki. Ataturk dibantu oleh kekuatan yang diperolehi melalui tentera serta masyarakat tidak memahami falsafah sebenar sekularisme.

Inilah masanya Ataturk menghapuskan setiap lawannya, baik ulama mahupun pemikir-pemikir bebas. Ataturk menghantar mata-mata bagi mengesan siapa sahaja yang disyaki mengamalkan agama dan dituduh sebagai mengunakan agama sebagai bahan politik.

Masyarakat ketika itu turut membantu, sebagai refleksi daripada perasaan trauma mereka terhadap monarkisme dan kediktatoran sebahgian pembesar Osmaniyah (golongan ‘pasha’) tanpa sedar bahawa sedang berlaku pergantian fasisme baharu atas nama sekularisme yang melampau.

Seluruh rakyat berbangga dengan penampilan baru. Perlu difahami penukaran pakaian dan cara hidup dasar pandang ke luar (barat) bukanlah berarti Ataturk mahu meninggalkan tradisi keturkian tetapi ia bermaksud mewujudkan jatidiri baharu alamisasi dari dua tradisi (Eropah-Turki) sebagai Turki moden.

* Penulis adalah mahasiswa bidang sains politik di sebuah universiti di Istanbul.