Budaya

Apabila si bodoh mengaku pandai

Sering kita ungkapkan bahawa ilmu – selain menjadi alat pembebasan, berupaya untuk mengekang kebebasan. Bahkan, bagi para intelektual sejati, ketakutan sebenar mereka adalah apabila ilmu dijadikan alat pengukuhan tirani dan kejahatan. Kata ‘intelektual’ barangkali begitu besar dan agung, namun sebenarnya ia amat sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang praktikal dan berkesan.

Edward Said menganggap intelektual adalah ‘representation of society’. Mereka mewakili akalbudi masyarakat. Hidup mereka sentiasa dipenuhi dengan usaha untuk menggarap dan melunak dua kelompok yang sering bertentangan; konservatif dan progresif, anti perubahan dan pro-perubahan.

Mereka hidup dengan keinginan untuk mempermasalahkan segala hal, kemudian mencari solusi buat setiap krisis pemikiran yang berlaku.

NursamNamun, di dalam era kebangkitan teknologi, intelektual semakin diperhambakan oleh kekuasaan. Seperti yang digambarkan oleh Lenin, tokoh sosialis Rusia di dalam Essays of Philosophy – intelektual zaman moden sedang berdepan dengan keinginan luarbiasa untuk berkuasa, maka setelah mereka berkuasa, mereka merasa diri besar dan angkuh. Seluruh kekuatan intelektual mereka dikerah untuk memikirkan strategi bagaimana untuk menguasai dunia, bukan untuk memakmurkannya!

Di dalam memoir milik sarjana agung Indonesia, Soedjatmoko yang ditulis M.Nursam bertajuk Pergumulan Seorang Intelektual (2002) menceritakan bagaimana Soedjatmoko begitu membenci golongan ‘pembaca’ buku yang membaca seribu buah buku, tetapi gagal untuk memahami sebuah buku pun yang telah dibaca. Perbuatan ini menurut Soedjatmoko sebagai perbuatan sia-sia. Sikap sesetengah individu yang angkuh di dalam menuntut ilmu, menyebabkan mereka buta akan realiti sosial. Sebab itulah, kata orang : ‘ilmu tanpa tindakan itu buta, tindakan tanpa ilmu itu gila!

Penyakit anti-intelektualisme

Richard Hofstadter, di dalam bukunya, Anti-Intellectualism in American Society mempamer kebimbangan bagaimana intelektualisme ini menjadi penyakit yang baru di Amerika. Intelektual bersikap anti-intelektualisme. Mereka cenderung mengawal masyarakat secara paternalistik. Analoginya umpama bapa yang sedang menyuapkan nasi kepada anak-anak kecil. Anak-anak kecil ini merengek dan tidak pula berusaha untuk mendapatkan nasi apabila lapar.

revolt-of-the-massesSikap anti-intelektualisme ini dipanjangkan oleh pemikir Marxis kelahiran Sepanyol, Ortega Y Gasset di dalam bukunya, Revolt of the Masses. Golongan bijak pandai menjadi anti-wacana. Mereka tidak mahu dicabar dengan kritikan dan sanggahan.

Mereka selesa bersama kebenaran yang dikukuhkan menerusi status quo. Kelesuan akalbudi golongan intelektual ini didorong oleh apa yang diperkatakan Gasset sebagai intelektual yang menyelami minda massa yang tidak kritikal, celaru dan akhirnya kaku dengan kapasiti intelektual mereka sendiri.

Minda mereka menjadi cetek. Mereka lebih suka berbahas tentang perkara-perkara umum yang lekeh berbanding perkara mustahak yang menuntut penjelasan segera. Mereka lebih banyak menghabiskan masa berhujah mengenai peribadi dan keburukan orang lain. Penyakit ‘mass men mentality’ ini melahirkan kelompok bodoh sombong (ulang: bodoh sombong!) yang merasakan dirinya bijaksana, tanpa menyedari bahawa mereka sedang memperlekehkan kebolehan akal mereka untuk berfikir dengan lebih tajam.

Membungkam feudalisme di dalam ilmu

Sikap feudal di dalam menuntut ilmu – membelakangkan hasrat bahawa pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar daripada kebuntuan fikiran. Mereka akhirnya memilih untuk membiarkan masyarakat kekal celaru, supaya mereka kekal berupaya menawarkan antidot kepada mereka.

Pelecehan sebegini bukannya baru, malah ia kelihatan amat dominan di dalam mana-mana kelompok diskusi yang sudah dan sedang berkembang.

Intelektualisme tidak lagi dianggap sebagai majlis meraikan ragam berwacana dan berfikir. Anak-anak muda yang baru belajar diremehkan oleh golongan tua dan berpengalaman, seakan-akan mereka sahaja yang pandai dan berpengetahuan. Medan pertukaran fikiran kini dijadikan ruang untuk menunjukkan siapa lebih hebat.

socrates-knowing-that-you-know-nothingSenioriti diagung-agungkan. Kononnya atas slogan ‘lebih lama makan garam’ daripada orang lain. Sikap perbudakan ini semakin lama semakin kelihatan. Kelompok intelektual-aktivis-penggerak wacana ini merasa sombong, bahawa hanya mereka yang lebih arif, seperti kata George Orwell di dalam Animal Farm, “All animals are equal, but we are equal than others!”

Gejala ‘siapa lebih bagus’ ini, yang sedang berlegar di dalam lingkaran ideologi, intelektual mahupun aktivisme dan menyebabkan usaha untuk melebarkan budaya intelektualisme ‘terbunuh’. Seharusnya kita mula dengan andaian bahawa premis  ‘intelektualisme’ pada mereka adalah aktiviti menunjuk-nunjuk dan merasa bijak, bukan untuk belajar dan memperbaiki diri.

Cukuplah kita melihat bahawa adanya sekelompok mengaku diri sendiri intelektual dengan sikap suka menghina kononnya orang lain tidak membaca, menulis atau membicarakan buah fikiran mereka, namun mereka sendiri gagal memahami apa yang sedang mereka bicarakan.

Tidakkah kita sedar bahawa kekuatan pemikiran itu sebenarnya bukan terletak pada keupayaan kita untuk berhujah dan menghafal butir-butir maklumat daripada A ke Z, tetapi sikap merendah diri untuk belajar dari kesilapan dan meningkatkan pengetahuan dengan lebih mendalam. – Roketkini.com