Rencana

Bahagian IV: ‘Ataturk’ wujud sepanjang sejarah

Revolusi Perundangan

Bagi melengkapkan lagi transisi ke arah wajah Turki moden ini, masyarakat diperintahkan mengunakan nama keluarga (surname). Selain itu, nama-nama Arab akan dikurangkan, digantikan nama daripada bahasa Turki. Ataturk juga mahu mencipta keserataan sosial, di mana masyarakat haruslah setara tanpa mengira darah keturunan mahupun gelaran istana, kerana bagi Ataturk ketidak-adilan ini mencipta kasta dan merosakkan semangat kerjasama. Maka pada tahun 1934, kedua-dua akta ini diletakkan, pemansuhan sandangan dari istana dan penukaran nama secara menyeluruh. Usaha ini juga bagi mengukuhkan lagi akar bangsa Turki, bagi mengangkat semula bangsa ini di mata dunia dan menjadikannya berdaya saing.

Ataturk turut mengubah pengaturan kalendar dan ukuran mengikut barat. Segala perubahan sosial dibuat adalah berteraskan sifat kebangsaan dan kebudayaan Turki dan gerakan modernisasi. Mudah kata, sebuah budaya Turki modern adalah sebuah alamisasi dari sifat ketuanan bangsa dan kemodenan Barat. Malangnya perkara ini seakan menjadi retorik kosong apabila di kemudian hari wujud jurang antara kaum dan perkauman dalam negara berbilang budaya ini yang tidak disedari oleh Ataturk.

Ataturk juga telah menghapuskan kanun Osmaniah dan menggantikannya  dengan perundangan sivil, selaras dengan sekularisme bawaannya. Ini mencakupi pendaftaran penikahan, larangan poligami dan lainnya.

Revolusi ekonomi

Tokoh ini juga telah bangun dengan agenda pemusatan ekonomi bagi memastikan kekuasaannya bepanjangan. Bermula dengan penghapusan cukai lama, beliau menjadikan langkah mengatasi kemiskinan sebagai sasaran utama. Ataturk tahu bahawa orang miskin adalah bahaman rejim untuk penerusan kuasa. Maka subsidi dan bantuan di hantar ke segenap perkampungan. Buat kali pertamanya kampung-kampung republik ini diterangi cahaya elektrik dan diberi bahan binaan percuma untuk proses baik-pulih. Ataturk juga telah membuka bank untuk pemodenan sektor pertanian.

Dasar pemilikan oleh negara yang dijalankan tidak begitu mesra sektor swasta seperti di zaman Osmaniah. Pada tempoh ini, kerajaan telah menutup beberapa kilang kecil milik persendirian dan membuka kilang di bawah seliannya. Untuk mengurangkan kos dan kerana keterhadan pengangkutan di republik muda itu, kerajaan menyarankan idea untuk setiap industri dibuka berhampiran dengan sumber asli dan keutamaan adalah untuk industri tekstil, kertas, kaca, perlombongan dan simen.

Menurut pengkaji ekonomi Ensar Yilmaz, kerajaan begitu teliti dalam membangun ekonomi negara. Kerajaan ketika itu mengharamkan mengimport barang mewah, membatalkan permit syarikat yang memonopoli pengeluaran tembakau , dan merasionalisasikan cukai tanah. Semua ini adalah atas nama nasionalisme dan kemandirian yang menjadi dasar pemerintahan dan revolusi Turki muda ini. Namun ia menjadikan kebergantungan rakyat kepada regim semakin maha hari demi hari.

Selain itu dan konsep nasionalisme Ataturk menjurus kepada rasisme. Faktor ini membawa kepada ketidakseimbangan dan mencipta jurang apabila kaum Kurdish dan lainnya dianak-tirikan. Ataturk yang mencipta konsep ketuanan bangsa Turk telah mengutamakan ‘white turk’ dalam pembangunan ekonomi dan lain-lain. Izmir tamsilnya menerima lebih pembangunan dari kawasan yang lain. Bahkan jawatan dan buruh diisi oleh white turk berbanding golongan lain.

Begitulah ia berentetan dalam kehidupan harian dan pendidikan. Membarah terus membarah tanpa disedari oleh rakyat pada peringkat awal. (Hal ini bukan sukar untuk difahami kerana ia mirip dengan konsep ketuanan bangsa di tanah air kita. Sehingga bangsa India dan penduduk Sabah dan Sarawak dibiarkan melarat tanpa pendidikan dan pembangunan yang wajar dan serata.)

Revolusi Pendidikan  

Sebagai seorang yang berpendidikan, Ataturk sedar bahawa ilmu adalah tulang utama kepada negara. Maka kerajaan pimpinannya telah mengambil langkah yang progresif dan tepat dalam memastikan hal ini. Ataturk telah menggalakkan anak bangsa Turk khususnya untuk ke universiti dan mengubah universiti Istanbul kepada universiti berorientasikan pendidikan modern berbanding displin pendidikan zaman Osmaniah. Beliau sendiri telah turun di masa lapangnya untuk menyumbang kepada pendidikan dengan masuk ke bilik darjah. Kesannya, celik huruf telah meningkat daripada 9% kepada 33% pada tahun 1938.

Wanita sangat dekat di hati Ataturk. Beliau mengalakkan wanita pergi ke sekolah menengah untuk menyamatarafkan tahap pendidikan antara kedua-dua jantina.

Beliau juga mengubah huruf-huruf Osmaniah kepada huruf Turki moden bagi memudahkan rakyat, kendati pun sikap gopoh dan rakus untuk mengantikan bahasa Osmanlica kepada Turki moden telah menghakis sedikit sebanyak kekayaan bahasa Turki tua – kejayaan ini digelar kejayaan tragis oleh sebahagian pakar bahasa.

Beliau juga telah mengarahkan sejarah disusun semula (persis perlakuan pemerintah Malaysia pasca-kemerdekaan) sehingga beberapa fakta yang diragukan keabsahannya menjadi ruji kepada matapelajaran sejarah. Syarikat percetakan diharamkan, melainkan yang punya negara. Lebih ironi segala sumber ilmu cuba diacu dan ditapis oleh kerajaan, menjadikan pendidikan Turki tidak begitu bersepadu dan mendapat pandang alam yang luas.

Rumusan

Sebenarnya statism, iaitu pemusatan kuasa dan leluasa di tangan pemerintahan pusat, dan pengecilan kuasa rakyat sering dilakukan dengan fatamorgana kebajikan. Rakyat dikelabukan dengan beberapa kebaikan bagi terus menyokong regim yang mahu terus berkuasa; rakyat dibiarkan tidak berdikari atas keupayaan peribadi mereka dan sebaliknya ditaklukkan di bawah pemerintah.

Begitu juga yang dilakukan Ataturk secara halus, licik. Watak-watak seperti Ataturk ini wujud sepanjang sejarah. Pencak silatnya sama, cuma ideologi mereka mungkin sedikit berbeza, tidak kira yang pembawaannya pro atau anti-agama.

Begitu pun, Ataturk bagi Turki bukan figura biasa. Ia adalah wira dan negarawan yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kemunduran, walaupun beliau mencipta kebebasan yang tidak bebas (tidak rata) dan demokrasi yang tidak liberal. Sekurang-kurangnya, bagi segenap jiwa Turki, beliau mendirikan sebuah republik dan lantas memajukannya setelah luka parah, dan menganugerahkan kepada mereka bangsa merdeka. Kerana itulah Ataturkism terus wujud.

* Penulis adalah mahasiswa bidang sains politik di sebuah universiti di Istanbul