Sastera

Menuju lautan tanpa cahaya

Thames adalah raksasa yang jijik: seperti ular, ia menyusur membelah London. Atau mungkin naga laut. Semua sungai mengalir menujunya – Fleet, Tyburn dan Neckinger – membawa semua kekotoran, sampah dan sisa, bangkai kucing dan anjing, serta tulang biri-biri dan babi kedalam kekeruhan Thames, yang akan membawanya ke arah timur, ke muara dan seterusnya ke Laut utara lalu hilang dilupakan.

London hujan. Airnya membasuh kotoran masuk ke longkang, berkumpul lalu mengalir ke sungai, dari sungai masuk ke dalam kuasa luarbiasa. Bisingnya hujan, memercik dan mengetuk dan mendetar bumbung-bumbung. Jika airnya bersih ketika turun dari langit, ia hanya perlu menyentuh London untuk menjadi kotor, untuk mengocak habuk dan menjadi lumpur.

Tiada siapa yang meminumnya; air hujan mahu pun air sungai. Mereka berjenaka tentang air Thames yang segera membunuh peminumnya. Salah. Ada anak jalanan yang akan menyelam jauh ke dalamnya demi syiling yang dibuang, lalu timbul kembali, meludah airnya, menggigil sambil menjulang syiling yang kini miliknya. Mereka tidak mati, tentunya, atau bukan disebabkannya, walaupun tiada di kalangan mereka yang berusia lebih lima belas tahun.

Perempuan itu seperti tidak peduli dengan hujan yang mencurah.

Dia berjalan sepanjang dok Rotherhithe, seperti yang dilakukannya bertahun, berdekad: tiada siapa tahu berapa lama, sebab tiada siapa peduli. Dia berjalan, atau merenung jauh ke laut. Dia amati kapal-kapal yang teroleng-oleng dibuai ombak. Perempuan itu perlu melakukan sesuatu, agar tubuh dan ruhnya kekal, tidak terpisah. Namun tiada siapa di sana yang dapat mengagak apakah sesuatu itu.

Kau sedang berlindung di bawah kajang kanvas yang dipasang penjaga layar. Kau yakin kau bersendiri di sana pada mulanya, kerana perempuan itu seperti tugu – pegun merenung laut, walau pun tiada apa untuk dilihat menembusi titis hujan yang mencurah. Seberang Thames telah lenyap.

Kemudian dia nampak kau. Dia nampak kau lalu mula berbicara, bukan kepadamu, bukan, tetapi kepada air kelabu yang jatuh daripada langit kelabu ke sungai kelabu. Dia berkata, “ Anakku ingin jadi kelasi,” dan kau tidak tahu untuk berkata apa, atau bagaimana membalasnya. Kau perlu menjerit supaya dapat didengar di sebalik raungan hujan, namun dia terus berkata, dan kau mendengar. Kau dapati yang kau berusaha untuk menangkap setiap tutur katanya.

“Anakku ingin jadi kelasi.

“Aku katakan kepadanya, jangan pergi ke laut. Aku ibumu. Laut tidak akan menyayangimu seperti mana aku. Laut kejam. Tapi dia berkata, ibu, saya ingin melihat dunia. Saya nak lihat matahari terbit di horizon, dan  Aurora Borealis menari di langit Artik, dan paling penting saya nak mencapai kekayaan. Selepas mendapatnya, saya akan kembali ke pangkuanmu, dan mendirikan rumah untukmu, ibu akan ada pembantu, dan kita akan menari dengan bahagia, ibu, kita akan hidup bahagia…

“Apa perlunya rumah yang cantik bagiku? Aku berkata kembali. Kau amat naïf dengan kata-kata indahmu. Aku ceritakan kisah bapanya, yang tidak pernah kembali dari laut – ada yang mengatakan dia telah mati dan hilang dari kapal, yang lain bersumpah mereka melihatnya menjadi bapa ayam di Amsterdam.

“Apa bezanya. Laut telah merampasnya.

“Ketika dia, anakku, berusia dua belas tahun, dia melarikan diri, ke dok, dan pergi dengan kapal pertama yang dilihatnya, ke Flores di Azores, kata mereka kepadaku.

“Ada kapal-kapal yang bawa sial. Kapal-kapal jahanam. Mereka mengecatnya setiap kali selepas bencana, serta berikannya nama baru, untuk memperdaya mereka yang lalai.

“Kelasi percaya hal-hal karut. Cerita tersebar. Kapal itu dibiarkan terkandas oleh kaptennya, atas arahan pemiliknya, untuk menipu insurans. Dan selepas itu, selepas semua dibaiki sehingga menjadi seperti baru, kapal itu dirampas lanun, dan ia menjadi penghantar selimut dan menjadi kapal wabak yang dikendalikan mayat-mayat, dan hanya tiga orang yang membawanya ke pelabuhan Harwich…

“Anakku berlepas dengan sebuah kapal stormcrow. Ia dalam perjalanan pulang, dan dia bawa bersama harta-hartanya – dia terlalu muda untuk menghabiskannya untuk perempuan dan arak, seperti bapanya – dan taufan melanda.

“Dia yang paling muda dalam bot penyelamat.

“Menurut mereka, undi dicabut dengan seadilnya, tapi aku tak percaya. Dia lebih kecil berbanding mereka. Selepas lapan hari hanyut, mereka pasti sangat lapar. Dan jika benar mereka cabut undi, tentunya dengan helah.

“Mereka meratah sehingga bersih tulangnya, satu demi satu, dan mereka campakkan tulang-tulang itu kepada ibunya yang baru – laut. Dia menerimanya tanpa berkata apa-apa, tanpa air mata. Dia kejam.

“Ada waktunya aku berharap yang dia tidak berkata benar. Dia boleh saja berbohong.

“Mereka campakkan tulang-tulang anakku ke laut, namun seorang anak kapal – yang kenal suamiku, dan juga mengenaliku, di luar pengetahuan suamiku, sebenarnya – menyimpan seketul tulang sebagai tanda ingatan.

“Ketika mereka kembali ke darat, semuanya bersumpah anakku hilang ketika taufan menenggelamkan kapal. Malam itu dia datang ke rumah, dan menceritakan perkara sebenar, dan dia berikan tulang itu, demi cinta yang pernah wujud antara kami.

“Aku katakan, kau telah lakukan perkara yang cela, Jack. Yang kau makan itu anakmu.

“Pada malam itu, lautan turut mengambilnya. Dia berjalan ke arahnya, dengan poket yang dipenuhi batu, dan dia terus melangkah. Dia tidak pernah belajar berenang.

“Dan aku ikat tulang itu pada seutas rantai sebagai tanda ingatan mereka berdua, ketika hari sudah jauh malam, ketika angin memukul ombak dan menghempasnya ke pantai, ketika angin meraung di antara rumah-rumah seperti bayi menangis.

Hujan kian reda, dan kau fikir perempuan itu sudah selesai, tetapi kini, buat pertama kali, dia memandang ke arahmu, seperti ingin mengatakan sesuatu. Dia menarik sesuatu daripada lehernya, dan menghulurkannya kepadamu.

“Ini,” dia berkata. Matanya sekeruh Thames. “Adakah kau ingin memegangnya?”

Kau ingin menarik rantai itu daripada lehernya, dan melemparkannya ke dalam sungai agar ditemui oleh anak jalanan, atau mungkin sahaja terus hilang. Namun sebaliknya kau keluar dari lindungan kanvas, menuju ke arahnya, dan hujan menitis di wajahmu, seperti air mata seorang yang asing.

 

Diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Aedi Asri. – Roketkini.com