Berita

Malaysia melonjak dalam Indeks Keganasan Dunia, peringatan buat semua

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Malaysia melonjak ke tangga 48, dalam senarai 50 negara berbahaya di dunia menurut Indeks Keganasan Antarabangsa 2014.

Justeru itu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, semua pihak perlu melihat kedudukan ini sebagai peringatan untuk menghentikan ekstremisme, retorik dan politik kebencian yang boleh menggadai masa depan negara.

Beliau berkata demikian mengulas laporan dikeluarkan Institute of Economics and Peace 18 November lalu, menunjukkan Malaysia di kedudukan ke-48 daripada 162 negara, melonjak 42 tangga daripada kedudukan ke-91 pada 2012.

“Peningkatan ini adalah berita buruk buat negara. Dalam masa dua tahun, Malaysia termasuk dalam 50 negara di bawah pengawasan dunia.

“Malaysia sering berbangga sebagai contoh kepada dunia berhubung toleransi dan keharmonian pelbagai kaum dan agama.

“Apa yang telah berlaku? kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kajian tersebut, sebanyak 13 insiden keganasan berlaku di Malaysia, yang memperoleh 3.04 mata berbanding 0.415 pada tahun 2012.

Piawaian indeks menandakan 0 sebagai tiada impak keganasan, dan 10 pula menandakan impak tertinggii.

Walaupun kedudukan itu lebih baik daripada beberapa negara serantau, seperti Filipina (9) dan Indonesia (31), Malaysia ‘memintas’ negara yang dahulunya dilihat lebih bermasalah; seperti Uganda, Arab Saudi dan Serbia.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, Malaysia seharusnya ditandakan sebagai sifar, seiring Vietnam, Qatar, Korea Selatan dan Finland.

“Kedudukan merosot ini perlu menjadi peringatan kepada kita kerana terjadi pada saat paling genting dalam sejarah negara, di mana retorik, politik kebencian, ekstremisme serta polarisasi kaum dan agama dalam keadaan terburuk,” ujar Kit Siang.

Beliau turut menyentuh pengaruh kumpulan militan Islamic State (IS), yang disertai kira-kira 39 warga Malaysia seperti disahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen tiga hari lalu.

“Walaupun tiada serangan pengganas dilaporkan di dalam negara, kita telah melihat sebilangan rakyat mengangkat senjata menyertai IS dalam konflik di Syria,” katanya lagi.

Pujian Najib kepada IS dan Perhimpunan Agung Umno 2014

Beliau mengingatkan kembali ucapan Najib dalam majlis ulang tahun ke-20 Umno Cheras 24 Jun lalu, agar ahli Umno mencontohi ‘keberanian’ IS (dahulunya ISIS).

“Walaupun beliau mengecam IS selepas itu, ia tidak dapat memadam sepenuhnya ‘kejutan’ daripada pujian tersebut.

“Inilah sebabnya mengapa semua mata kini terarah kepada Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

“Sama ada mereka akan memberikan mesej jelas tentang kesederhanaan, atau melaungkan retorik kebencian dan ekstremisme,” kata Kit Siang. – Roketkini.com