Rencana

Meraikan kepelbagaian dalam politik kampus

Perbezaan adalah perkataan yang sinonim dengan manusia. Retorik sejak lama dahulu dilaungkan agar sesuatu golongan itu bersatu untuk tujuan yang dianggap murni. Bagaimanapun sejak hari pertama manusia diciptakan, Adam adalah makhluk yang berbeza sifatnya dengan malaikat, iblis mahupun makhluk ciptaan yang lain. Hawa dijadikan berlainan sifat fizikalnya daripada Adam. Tuhan bersabda dalam kitabnya bahawa dia menjadikan manusia ini berbeza-beza agar saling kenal-mengenali.

Pokoknya kewujudan manusia ini adalah kesan daripada wujudnya perkataan “beza” itu sendiri. Ini adalah kerana dirinya sendiri dicipta atas falsafah “beza”. Tanpa menidakkan kesan negatif tentang perbezaan, sebaiknya kita membuka ruang wacana yang lebih luas dalam memahami dan meneliti konsep perbezaan dari sudut yang positif. Ini termasuk membincangkan perbezaan fikiran, fahaman, dan pegangan samada dari sudut politik, ekonomi, sosial dan agama. Bagaimanapun artikel ini akan dihadkan dalam kerangka daerah universiti.

Kepelbagaian membuka peluang kepada pilihan yang lebih baik

People must learn to hate, and if they can learn to hate, they can be taught to love, for love comes more naturally to the human heart than its opposite – Nelson Mandela.

Saban tahun universiti di negara ini akan menjalankan pilihan raya kampus bagi tujuan memilih barisan kepimpinan mahasiswa universiti. Lewat 10 tahun ini menunjukkan pelbagai kumpulan yang telah wujud bagi membawa agenda perubahan kepada mahasiswa dimana berbeza tempat berbeza namanya. Walaupun terdapat kumpulan yang berkongsi secara aspirasi-nya, mereka lebih selesa menggunakan nama mengikut kesesuaian setempat.

Sesebuah negara boleh dianggap mengamalkan demokrasi sekiranya negara tersebut mengamalkan proses pilihan raya bagi memilih tampuk pemerintah. Begitu juga jika diterjemahkan kepada universiti yang sesetengah orang menganggapnya sebagai sebuah “negara kecil”. Demokrasi tidaklah semata-mata pilihan raya tetapi mempunyai intipati dan tujuan yang lebih daripada itu dimana setiap daripadanya mampu untuk dinilai dan ditambahbaik.

Apabila membaca pandangan yang menyatakan bahawa pelajar perlu bersatu, saya secara peribadi mempunyai dua pandangan iaitu bersetuju dan tidak bersetuju. Saya bersetuju sekiranya perkara yang memerlukan sokongan mahasiswa secara majoriti besar untuk menghadapi dan memberi tekanan kepada pihak universiti bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terjaga. Tetapi tidak mustahil kesatuan ini akan membawa kepada kemandulan gerakan mahasiswa.

Apabila hanya mempunyai satu pihak sahaja, lama kelamaan rasa selesa itu akan timbul dan akhirnya melemahkan pemikiran mahasiswa. Di sini peranan pihak lawan menjadi penting dalam usaha mewujudkan ide-ide bernas dan agen semak imbang kepada gerakan mahasiswa itu sesama sendiri. Mereka akan berusaha menjadi yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk melunaskan manifesto yang telah dijanjikan. Sekiranya tidak dipenuhi ianya akan dipersoalkan dan kemungkinan untuk kalah pada masa akan datang adalah tinggi.

Politik Adalah Strategi

Politik adalah strategi bagi mendapatkan kuasa. Sekiranya kata-kata berpolitik adalah berjuang kerana Allah, bukan untuk kemenangan dunia tetapi akhirat digunapakai secara literal maka tujuan sebenar politik itu tidaklah tercapai. Bahkan disebabkan ketidakmampuan mendalami tujuan politik secara mendalam ianya akan memberikan kesan kepada agenda dan nama kumpulan yang diwakilinya. Ini selalu terjadi kepada kumpulan yang membawa agenda agama di kampus.

Tujuan membawa universiti ke arah yang lebih matang dalam isu kebebasan dan keadilan adalah antara tujuan utama mendapatkan kekuasan. Tawaran agama semata-mata kepada mahasiswa tidaklah menjamin kemenangan kerana agama ini bersifat kepercayaan dan duduknya di dalam diri masing-masing. Bagi mendapatkan kepercayaan mahasiswa perlu ada sesuatu yang boleh dicerap atau dinilai agar daya logiknya disentuh.

Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Samada ianya individu atau beberapa individu yang akan membentuk sesebuah kumpulan perlulah menilai dan mengubah diri agar sesuai dengan permintaan mahasiswa. Jika mahasiswa tidak mahukan tawaran agama janganlah dipersalahkan mereka kerana mereka berhak membuat pilihan tetapi salahkan diri sendiri kerana gagal menterjemahkan agama dalam keadaan yang menarik.

Pembinaan Pemimpin

Antara faktor terpenting bagi mendapatkan undi mahasiswa adalah pembinaan karekter pemimpin. Pemimpin tidak hanya dibina dengan berdoa kepada Tuhan semata-mata tetapi dengan usaha yang berterusan. Kebiasaannya gerakan mahasiswa akan menjadi suam menjelang pilihan raya kampus dan sejuk selepas selesai pilihan raya kampus. Pembinaan imej dan karekter pemimpin itu perlu dilakukan dalam sesuatu tempoh yang realistik dan tidaklah sesuai hanya menunggu tempoh berkempen.

Membina jaringan dengan pelbagai lapisan masyarat dan berlainan fahaman adalah sesuatu yang penting. Samada bertemu dengan pemimpin negara atau masyarakat marhaen perlulah dilakukan dengan ikhlas tanpa mengira kepentingan politik semata-mata. Bagaimanapun peranan media untuk membina imej pemimpin perlu diberikan perhatian. Seseorang sudah pasti tidak dapat melakukan semua perkara tetapi strategi dan kuasa media mampu untuk melonjakkan seseorang dikagumi oleh masyarakat yang melihatnya.

Sebagai seorang mahasiswa apatah lagi pemimpin tidak lengkap sekiranya seseorang itu tidak menulis ide-ide yang dipelopornya. Kritis dan kritikal terhadap persekitaran perlulah diterjemahkan ke dalam tulisan. Sama ada secara berkala atau respon terhadap isu yang berlaku ianya akan membentuk paradigma yang lebih luas dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Ia juga mampu membawa mahasiswa dan masyarakat ke arah yang lebih berilmu.

Penutup

Demokrasi di kampus tidak perlu tamat dengan hanya pilihan raya kampus tetapi perlu kepada interaksi ilmu. Perdebatan tentang kebebasan dan keadilan perlu diratibkan sentiasa dan dijadikan ingatan bagi mereka yang ingin mendapatkan kuasa politik di kampus. Seterusnya diterjemahkan dengan tindakan untuk mendidik masyarakat dalam kerangka bebas dan adil. Di sini pemimpin perlu mendidik mahasiswa dan masyarakat menjadi orang yang berfikir. Sebuah demokrasi yang baik akan mampu melahirkan mahasiswa dan masyarakat yang berfikir secara mandiri untuk tujuan yang murni.