Berita

Pemaju tambak untung berbilion, nelayan hanya dapat serdak

JOHOR BAHRU, 20 NOV: Biro Pertanian DAP Johor membidas Kerajaan Negeri yang memperuntukkan hanya RM 1.8 juta daripada jumlah keseluruhan RM29 juta peruntukan pertanian dalam Belanjawan Negeri kepada golongan nelayan.

Jumlah tersebut ternyata tidak memadai dan menghina hampir 2,000 nelayan di negeri itu, kata ADUN Bekok Lim Eng Guan dan Biro Pertanian DAP negeri Mahdzir Ibrahim dalam satu kenyataan bersama.

Kata kenyataan itu, kerajaan negeri perlu mengetaui bahawa sumber pendapatan nelayan terjejas teruk , terutama akibat projek penambakan laut di Selat Johor.

“Sekitar 5-7 tahun dahulu nelayan tradisional boleh mendapat hasil mencecah RM1,000 setiap kali ke laut, dan mampu mendapat kira-kira RM3,000 sebulan, tidak termasuk bantuan dan subsidi antaranya daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Malah mereka mempunyai masa terluang untuk mencari pendapatan tambahan seperti bertani, sementara menunggu ikan membesar.

“Kini, untuk mendapat hasil RM300 sekali turun ke laut pun sukar. Kadang-kadang mereka perlu turun ke laut setiap hari untuk mendapat hasil yang sama (RM3,000 sebulan). Skim bantuan pula semakin sukar untuk diluluskan,” kata mereka lagi.

Ujarnya, masalah ini disebabkan ikan yang tidak sempat membesar dengan baik, diburukkan lagi dengan projek penambakan laut Forest City.

Forest City seluas 4,000 ekar melibatkan pembinaan empat pulau buatan di perairan Tanjung Kupang bagi kawasan perumahan komersial dijangka memberi keuntungan hampir RM290 bilion dalam masa 30 tahun kepada pemaju Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGP).

Salah seorang pengarah CGP ialah Datuk Daing Malik Daing Rahaman yang merupakan anggota Majlis Penasihat Sultan Johor. Lebih menyedihkan, projek itu turut melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri – Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.

Tambah kenyataan itu, peruntukan kecil kepada nelayan menunjukkan kerajaan negeri tiada perancangan jelas untuk membantu golongan nelayan yang semakin terdesak dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan negeri hanya memberi bantuan ‘one-off’ RM1,000. Pada masa sama, syarikat pemaju penambakan laut mengaut untung berbilion ringgi,” kata mereka.

Kenyataan tersebut menegaskan, Pakatan Rakyat Johor reformasi praktikal dan lestari meliputi aspek pemuliharaan dan undang-undang perlu dilakukan untuk membaiki industri perikanan bagi melindungi masa depan nelayan di negeri ini. – Roketkini.com