Berita

Agenda jahat Umno tutup sekolah vernakular dibantah

BATU GAJAH, 22 NOV: Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar membantah sekeras-kerasnya usaha licik Umno untuk menghapuskan sekolah vernakular di Malaysia.

Katanya, kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengenai kedudukan sekolah vernakular berbaur perkauman dan menunjukkan bahawa beliau berfikiran sempit.

“Saya tidak faham kenapa Umno sengaja mahu campur tangan dalam hal berkaitan sekolah vernakular, sedangkan ada banyak lagi perkara seperti isu-isu ekonomi dan pembangunan negara yang patut dijadikan topik dalam perbahasan parti mereka.

“Banyak lagi perkara yang tidak selesai, hutang negara, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), inflasi, kemiskinan kaum Bumiputera dan sebagainya.

“Saya secara terbuka membantah keras usaha-usaha penghapusan sekolah vernakular,” katanya dalam satu kenyataan.

Hishamuddin dalam satu kenyataan 11 November lalu berkata sebanyak 38 usul akan dirujuk pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 25 hingga 29 November nanti.

Antara perkara yang akan dibangkitkan Umno adalah melibatkan sekolah satu aliran lawan sekolah vernakular dan penguatkuasaan media sosial.

Setiausaha Antarabangsa DAP itu menegaskan, penutupan sekolah Cina dan Tamil akan menghilangkan identiti kaum tersebut.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh masyarakat agar tidak menyokong usaha jahat Umno dan terus teguh meraikan warisan unik kepelbagaian negara.

“Marilah sama-sama kita berjuang untuk mengekalkan identiti unik ini yang menjadi kebanggaan di arena antarabangsa.

“Kita harus memberitahu memberitahu pemimpin-pemimpin rasis Umno supaya menghentikan usaha-usaha jahat yang mengkhianati rakyat Malaysia semata-mata ingin menjadi jaguh kampung, kononnya memperjuangkan hak orang-orang Melayu.

“Sekolah-sekolah ini bukanlah punca perbalahan kaum, tetapi dasar perkauman kerajaan sendiri yang telah mewujudkan perpecahan,” ujarnya. -Roketkini.com