Rencana

Bersediakah Najib laung kesederhanaan di Perhimpunan Umno?

Apakah Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu depan dapat menghantar pesanan jelas bahawa Umno akan berada di depan, dan bukannya menjadi penghalang utama kepada gerakan kesederhanaan menentang ekstremisme di Malaysia?

Pujian harus diberi kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang menggesa rakyat Malaysia bersatu bersuara menentang ekstremisme, kerana negara ini tidak harus mempunyai golongan pelampau memandangkan kepelbagaian dimiliki dari segi kaum, budaya dan agama.

Bercakap pada majlis makan malam Pemuda Barisan Nasional di Kuching baru-baru ini, Adenan berkata, negara ini akan menjadi tempat yang teruk bukan kerana usaha masyarakat minoriti yang sedikit, tetapi kerana majoriti yang tidak melakukan apa-apa.

Ketua Menteri Sarawak itu memberi amaran bahawa bahaya ekstremisme semakin membarah di negara ini, dan inilah masanya para moderat bersuara ke arah kesederhanaan, sekaligus membuktikan bahawa masyarakat majoriti tidak boleh didiamkan oleh golongan fanatik dan pelampau.

Kata-kata Adenan ini memberi nafas baru selepas pelbagai kenyataan, ucapan dan tuntutan yang menyesakkan dalam beberapa minggu dan bulan ini, yang memberik gambaran kepada dunia bahawa golongan pelampau telah mengambil alih negara yang memiliki kepelbagaian agama, berbilang kaum, budaya, toleransi, harmoni dan muhibah ini, lalu tiba-tiba menjadi liabiliti dan bukan lagi sebagai aset – diperkukuhkan pula dengan lonjakan kedudukan cukup mengejutkan apabila Malaysia berada dalam senarai 50 teratas di dunia dalam Indeks Keganasan Global.

Ini tragedi paling memeranjatkan kerana Malaysia dalam beberapa dekad lalu sentiasa berbangga sebagai wilayah yang berjaya, berdaya maju dan negara contoh memiliki masyarakat berbilang agama dan budaya, sementara Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Razak menerajui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dengan seruan kepada moderat dunia agar bersatu menentang ekstremis dalam ucapannya seperti berikut:

“Perjuangan menentang ekstremisme bukanlah Kristian melawan Muslim, atau Muslim melawan Yahudi, namun golongan sederhana melawan golongan ekstriem. Maka kita perlu menyatukan golongan sederhana, dan mereka yang ingin menebus kembali agamanya kearah jalan kedamaian.”

Anehnya, dalam tempoh empat tahun semenjak ucapan pertama Najib di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membawa kepada cadangan penubuhan GMM, hanya Adenan pemimpin Barisan Nasional pertama menyeru golongan moderat di dalam negara agar bersatu dan meminggirkan golongan ekstremis.

Najib masih belum membuat sebarang seruan kepada golongan moderat di Malaysia supaya bersatu menentang ekstremis adalah sesuatu yang memerlukan perhatian serius – walhal ia merupakan topik kegemarannya dalam forum-forum antarabangsa.

Apakah PAU minggu depan dapat menghantar mesej jelas bahawa Umno akan berada di barisan depan dan bukannya penghalang utama kepada gerakan moderat melawan ekstremisme di Malaysia?

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata bahawa Umno kini berada pada tahap kritikal dan mesti berubah, atau diubah.

Adakah Muhyiddin sudah bersedia untuk menggesa Umno supaya menjadi barisan hadapan dan bukan lagi bertindak sebagai penghalang utama gerakan moderat menentang ekstremisme di Malaysia?

Apabila Naib Presiden Umno dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa sistem sekolah Cina akan menjadi salah satu ‘topik hangat perbahasan’ PAU minggu depan, ramai rakyat Malaysia teringat kelakuan menyakitkan hati, tidak bertanggungjawab dan provakatif ‘keris Melayu’ Hishammuddin dalam Perhimpunan Pemuda Umno tidak berapa lama dulu.

Apakah akan berlaku satu lagi ‘serangan ganas’ Umno menghentam masyarakat Cina minggu depan – sama seperti dilakukan sebaik tamat pilihanraya umum ke-13 tahun lalu dengan organ Umno, Utusan Malaysia mengetuai serangan melalui tajuk muka depan tidak bertanggungjawab ‘Apa lagi orang Cina mahu?’

Jika ini berlaku, tentunya ia menjadi manifestasi berterusan ‘ekstremisme’, bukannya kejayaan ke arah kesederhanaan yang merupakan objektif utama gerakan kesederhanaan, sama ada di peringkat global mahu pun di dalam Malaysia sendiri.

Empat tahun selepas Najib pertama kali mengilhamkan cadangan GMM, nampaknya masih sukar mengenalpasti Menteri, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar Umno-BN, termasuk pemimpin negara dan negeri yang bersedia berada di barisan depan mengangkat kesederhanaan dan menentang ekstremisme.

Adenan telah bersuara. Bagaimana pula dengan Menteri-Menteri, Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar Umno-BN yang lain?- Roketkini.com