Rencana

Peningkatan kos hidup, adakah artis akan lebih kreatif ? (Bahagian akhir)

Dasar dan Hagemoni

Itu yang telah berlaku di Amerika.  (rujuk Bahagian 1)

Di Malaysia pemikiran budaya di kalangan masyarakat dibentuk secara halus menerusi agenda Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Oleh kerana dasar ini diterima dan diiktiraf orang politik ketika itu, maka ia juga menjadi sebahagian daripada kontrak antara budaya dan politik.

Juga, oleh kerana ketika itu hanya orang Melayu yang berminat berbincang dan berbahas dalam soal budaya dan kebudayaan berbanding kaum lain, maka acuan itu dibentuk sedemikian rupa. Bagi saya ini bukan dosa orang Melayu – ketika itu.

Lanjutan daripadanya, secara dominan idea dan karya yang bercirikan pemikiran Melayu-Islam diiktiraf sebagai identiti Malaysia.

Jika pelukis itu bukan Muslim, maka mereka akan diusahakan ‘menjadi Melayu’ atau menulis, melukis imejan berkaitan apa-apa tentang Melayu. Ciri ini dijadikan asas untuk mereka menerima bantuan atau pembelaan daripada kerajaan.

Masalah pada dasar ini bukan hanya pada prinsip sahaja, tetapi juga hal lain, iaitu penetapan pada bentuk, gaya, kaedah dan tujuan seni. Dengan kata lain, politikus yang menentukan bentuk-bentuk budaya dan seni, bukan secara langsung tetapi menerusi dasar-dasar serta peraturan yang dibuat.

Justeru itu, seni dan kebudayaan menjadi kaku, jumud dan sempit.

Pada masa yang sama, dana, peraturan serta insititusi ditubuhkan untuk melicinkan lagi proses membina bentuk, gaya, kaedah dan tujuan seni ini agar selari dengan dasar tersebut.

Dari dana dan institusi ini lahir pemuzik, penulis, pelukis yang secara langsung atau tidak langsung mempertahankan dan mempromosi kontrak politik-budaya ini. Maka ada kumpulan pelukis yang berorientasikan ringgit untuk imej, untuk gaya termasuk prinsip dan idealisme.

Namun bagi pelukis-pelukis ini, hal-hal seperti kebebasan yang luas itu hanya berkisar untuk tujuan-tujuan dari kontrak tersebut, tidak lebih daripada itu.

Dasar budaya dan politik ini melahirkan hegemoni, ibarat cahaya menghasilkan bayang-bayang.

Sampai bila-bila pun artis tidak akan dapat memahami bayang-bayang hegemoni ini selagi cahaya itu tidak dilihat, dikaji dan dipersoalkan.

Maka, persoalan atau debat mengenai kebebasan, demokrasi, ekonomi dan kuasa tidak dapat difahami oleh pelukis. Maka apa yang dilukis?

Merakam waktu payah

Setiap karya adalah manifestasi zaman. Lelah dan nafas masyarakat dalam sesuatu era dirakam dalam pelbagai bentuk.

Karya-karya yang dihasilkan di zaman Great Depression merakam ranah sosial pada zaman itu. Sedih, kacau, kepayahan, harapan dan lain-lain ekspresi mengocak hati, merangsang akal.

Kesannya membekas kepada identiti negaranya dalam pelbagai bentuk. Paling nyata, negara yang pernah runtuh seperti Afrika Selatan, Jepun, Jerman bahkan Amerika sendiri, akan bangkit dengan lebih agresif, kuat dan berjaya.

Siapa tak kenal Amerika, selain daripada kuasa besar politik dan ekonomi, ia juga adalah pengeksport budaya yang cukup berpengaruh. Hinggakan kuasa politik terpaksa menggunakan sentimen agama dan kaum untuk mengekang pengaruhnya.

Kreativiti perlukan cabaran, dan cabaran paling besar ialah mencabar hegemoni kuasa yang mengekang kebebasan manusia mencipta identiti bangsanya.

Debat kebudayaan antara Lim Kit Siang dan Dr Naquib Alatas suatu waktu dahulu adalah berintikan pembinaan negara bangsa. Secara senyap, debat ini masih terus berjalan mencabar (cahaya) hegemoni budaya dan kuasa politik.

Kerja mencari makan para artis adalah suatu keperluan yang tidak boleh dinafikan, tetapi kerja membina rupa bangsa Malaysia adalah suatu kewajipan yang tidak boleh ditangguhkan.

Mungkin juga ada pelukis yang lurus bendul memahami soalan saya ini, maka mereka mencari jalan kreatif bagaimana karya mereka dapat terus terjual dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit hidup.

Mungkin dikecilkan saiz dan jumlah warnaya, mungkin menggunakan bahan kitar semula dan sebagainya.

Justeru, jika masih kurang faham, maka saya bogelkan soalan ini dengan lebih jujur berbunyi; ‘Peningkatan kos hidup, adakah artis akan menjadi lebih kritis dan sedar diri?’.

Mahdzir Ibrahim, ahli DAP yang mendukung seni dan kebudayaan

Tajuk Karya:  “Mission House, Skid Road, Seattle, Wash. 1930.

Watercolor by Ronald Ginther.  Property of Washington State Historical Society. All rights reserved.