Berita

Pendidikan negara tak peduli guru, kata Zairil

KUALA LUMPUR, 24 NOV: DAP mengkritik cadangan kerajaan yang mahu memperbanyakkan pelaburan teknologi maklumat tahun depan, namun mengabaikan pembangunan guru.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, tindakan kerajaan itu langsung tidak membantu meningkatkan hasil pembelajaran.

“Menurut anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015, jumlah peruntukan ‘Pembangunan Profesional’ guru dikurangkan daripada RM1.54 bilion tahun ini kepada RM961 juta tahun depan. Ini merupakan pengurangan besar kira-kira RM600 juta.

“Pengurangan drastik peruntukan pembangunan guru adalah mengejutkan, sedangkan peruntukan Kementerian Pendidikan secara keseluruhan melihatkan peningkatan daripada RM54.6 bilion kepada RM56.6 bilion.

“Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan perkara ini segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, peruntukan ‘pembangunan profesional’ yang terdiri daripada tiga kategori telah dikurangkan kesemuanya.

Peruntukan ‘latihan pra-perkhidmatan’ dikurangkan dari RM948 juta kepada RM851 juta, ‘latihan kepimpinan’ dari RM181 juta kepada RM64 juta dan paling drastik  ‘latihan dalam perkhidmatan’ sebanyak RM350 juta berbanding RM1.54 bilion.

“Pengurangan pembangunan guru ini menimbulkan persoalan baru iaitu ke manakah wang itu diperuntukkan?,” soalnya.

Kata Zairil, kerajaan jelas lebih mementingkan teknologi maklumat dengan peruntukan RM615 juta yang mana merupakan peningkatan besar sebanyak RM200 juta.

Ujarnya, kerajaan seharusnya mengambil contoh United Kingdom, yang membuktikan hasil pembelajaran tidak akan dipertingkatkan dengan teknologi sekiranya guru tidak dimotivasi dan berkeupayaan.

Pada 2009, badan rasmi pemantauan sekolah iaitu Office for Standards in Education, Children’s Services and Skills (Ofsted) membuat kesimpulan sama dalam laporan bertajuk ‘Virtual learning environments: an evaluation of their development in a simple of educational settings’.

“Dalam laporan itu, didapati bahawa sekolah hanya berjaya menunjukkan kemajuan dalam penggunan Virtual Learning Environment (VLE) apabila guru dapat menggunakan e-pembelajaran dengan efektif..

“Sebaliknya, apabila guru tidak dapat memaksimumkan potensi, murid tidak mendapat sebarang faedah.

“Kejayaan atau kegagalan sistem VLE amat bergantung kepada keyakinan dan kreativiti guru dalam menghasilkan bahan pembelajaran kepada murid mereka,” ujarnya. – Roketkini.com