Berita

30 peratus pembangunan di Johor abai kehidupan marin

MUAR 25 NOV: Pengabaian etika alam sekitar yang mengakibatkan hidupan marin terancam melibatkan 30 peratus pembangunan di Johor, kata ADUN Bentayan Chua Wee Beng.

Katanya, ia berdasarkan kajian World Resources Institutes (WRI) yang turut mendedahkan bahawa 60 peratus kehidupan marin terdedah kepada ancaman akibat aktiviti manusia tanpa kawalan.

“Laporan WRI menyebut 9 peratus daripada kawasan karang tergolong dalam kategori sangat bahaya, 34 peratus bahaya dan 56 peratus sederhana bahaya.

“Hampir semua ancaman terhadap karang laut ini disebabkan aktiviti manusia termasuk kaedah perikanan tidak lestari yang mengancam hampir 60 peratus kawasan karang.

“Ini sebenarnya menunjukkan kerajaan Johor tidak tahu bagaimana menjaga dan memulihara kehidupan marin di pesisir pantai negeri ini,” katanya.

Katanya, antara aktiviti itu merangkumi penangkapan ikan berlebihan, penangkapan yang merosakkan karang, pembangunan spesisir pantai, pencemaran di lembangan dan pencemaran berasaskan marin.

“Kerajaan boleh membuat undang-undang tanpa menafikan hak semua pihak berkepentingan termasuklah nelayan, pelabur, penyelam dan juga generasi masa depan.

“Pemuliharaan kehidupan marin (perlu) dilakukan dengan seimbang di antara eko-pelancongan, dan pengurusan penangkapan ikan.

“Ia bukan sahaja memanfaatkan industri pelancongan tetapi membolehkan kita mempunyai hasil makanan laut sebanyak 5 hingga 15 tan bagi setiap kaki persegi setahun,” ujarnya. – Roketkini.com