Berita

Bukan Melayu, tapi Umno yang terancam

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang membidas tindakan segelintir pimpinan Umno dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamed yang mendakwa DAP dan Pakatan Rakyat mengancam kedudukan Melayu serta Islam di Malaysia.

Dakwaan itu bukan sahaja mengarut malah menjadi pengesahan bahawa Umno sememangnya parti untuk satu kaum yang menggagalkan orang Melayu sehingga dikatakan  berisiko menjadi seperti Red Indian di Amerika Syarikat.

“Adakah kepimpinan Umno bersetuju mereka menggagalkan orang Melayu dari segala segi termasuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya sepanjang 57 tahun pemerintahan hingga memerlukan sokongan PAS?

“Apakah Najib dan Hishammuddin mengakui bapa mereka Tun Razak serta Tun Hussein gagal sebagai Perdana Menteri kedua, ketiga sehingga orang Melayu berdepan risiko sebegini?

“Bukan orang Melayu yang terancam, tetapi Umno sebenarnya yang terancam,” katanya.

Tambah Kit Siang, cara paling berkesan mengatasi masalah kaum di negara ini adalah dengan memandang setiap masalah kaum tertentu sebagai masalah bagi semua.

Ketua Parlimen DAP itu turut mempersoalkan kemana belanja berbilion ringgit untuk hal ehwal Islam jika mereka mengatakan agama rasmi Persekutuan ini terancam.

Sedangkan katanya, sejak Tun Dr Mahathir bergelar Perdana Menteri, belanja tahunan aktiviti Islam meningkat 375 kali ganda, dari RM4.3 juta tahun 1980 kepada RM1.6 bilion (2015).

Sebagai contoh, peruntukan Bahagian Hal Ehwal Islam meningkat dari RM4.3 juta 1980 kepada RM125.6 juta tahun 1997, sebanyak 29 kali ganda.

“Kalau Islam menghadapi ancaman, kita nak tahu kemanakah segala peruntukan ini.

“Apakah ia sebenarnya sia-sia sahaja (dan tidak sampai kepada sasaran)?” soalnya lagi.