Berita

Di bawah pemerintahan UMNO, makin ramai anak muda menganggur

KUALA LUMPUR, 25 NOV: DAP mahu kerajaan mengkaji semula Dasar Sumber Manusia agar lebih memfokuskan kepada anak muda untuk membasmi masalah pengangguran tinggi dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) dalam negara.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata, ini kerana walaupun anak muda membentuk 62.8 peratus tenaga kerja negara, namun kadar pengangguran anak muda tinggi – di paras 10 peratus.

“Kementerian perlu menyediakan satu laporan terperinci tentang masalah anak muda dan ekonomi, termasuk isu ‘unemployment’ dan ‘underemployment’ bagi memahami isu ini agar dasar lebih jitu boleh dirangka.

“Saya menggesa Kementerian Sumber Manusia bersama kementerian berkaitan, termasuk Jabatan Statistik Negara menerbitkan statistik Not In Education, Employment or Training (NEET) agar keadaan sebenar anak muda dalam ekonomi boleh ditinjau dan langkah-langkah pengupayaan boleh diambil,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2015 Kementerian Sumber Manusia, semalam.

Jawapan parlimen Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem 12 November lalu menyatakan penggangguran anak muda di Malaysia kini sebanyak 10.4 peratus dan menganggapnya sebagai normal, biarpun kadarnya lebih tinggi berbanding Singapura (7 peratus) dan Thailand (3.4 peratus).

“Persoalannya mengapa kadar pengangguran anak muda di dua buah negara jiran yang bersempadan dengan kita jauh lebih rendah berbanding Malaysia?,” soalnya lagi.

99  peratus belia bergaji bawah RM3,000

Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP itu juga menegaskan, masalah kedua iaitu guna tenaga tidak penuh kini juga berada dalam keadaan amat kronik apabila 99 peratus belia bergaji di bawah RM3,000 sebulan.

Jelasnya, masalah underemployment tersebut bukan saja terhad kepada definisi formal bagi mereka yang bekerja ‘kurang dari 30 jam seminggu’, tetapi juga keadaan di mana kualiti penggajian amat rendah.

“Contohnya bergaji rendah, bekerja di jawatan tidak sepadan dengan kelayakan, keadaan kerja tidak kondusif dan lain-lain lagi,” tegasnya.

Tambahnya, jawapan kerajaan sendiri kepadanya menyatakan bahawa 21 peratus graduan kita bekerja di jawatan yang tidak memerlukan sebarang ijazah pendidikan tinggi.

“Laporan Penyiasatan Gaji dan Upah Malaysia 2013 Ogos tahun ini menunjukkan bahawa purata gaji bulanan pekerja dalam negara adalah RM2,052 dan median gaji ialah RM1,500.

“Tapi majoriti besar iaitu 67 peratus tenaga kerja belia mempunyai RM1,000 dan ke bawah, manakala 21 peratus daripada tenaga kerja belia di Malaysia bergaji antara RM1,000 sehingga RM1,500 sahaja.

“Ini bermakna 99 peratus tenaga kerja belia bergaji kurang daripada RM3,000 sebulan dan jika mengikut Paras Garis Kemiskinan yang ditetapkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor iaitu RM1,500 sebulan, maka 88 peratus pekerja belia kita boleh ditakrifkan miskin,” ujarnya. -Roketkini.com