Berita

Kes bunuh di kalangan warga asing meningkat, apa tindakan polis?

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat melalui langkah pencegahan, bukan sekadar melalui kenyataan media, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Katanya, beliau tidak melihat polis dan kerajaan meningkatkan usaha membanteras jenayah, terutama kes bunuh yang sudah menjadi krisis di Pulau Pinang.

“Situasi kini amat serius. polis perlu meningkatkan langkah pencegahan seperti memperbanyak skuad rondaan, bukan hanya mengeluarkan kenyataan media agar rakyat rasa selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang tahun ini, sudah 50 kes bunuh dilaporkan di Pulau Pinang, dengan 31 daripadanya melibatkan warga asing dan 18 daripadanya warga Myanmar.

Terbaru, insiden kepala lelaki dipercayai warga asing ditemui dalam plastik di hadapan sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam semalam.

Kebanyakan bunuh warga asing dilakukan dengan cara sama, iaitu dibuang ditepi jalan di kawasan perindustrian dan dibalut dengan kain putih atau cadar.

Tambah Steven, terlalu banyak persoalan yang timbul daripada siri pembunuhan ini, termasuk kegiatan gangster warga asing yang semakin meningkat di negeri itu.

“Sudah 18 kes pembunuhan kejam melibatkan warga Myanmar, tetapi polis masih menafikan sebarang kaitan.

“Adakah kegiatan gangster melibatkan warga asing kian meningkat? Jika benar, apakah tindakan polis untuk tanganinya?

“Hanya masa menentukan bilakah mereka akan mula mensasarkan rakyat tempatan, kalau pun ia masih belum terjadi,” katanya lagi.

Perlu tambah anggota JSJ, kepolisan komuniti

Justeru itu katanya, sudah tiba masa kerajaan sedar keperluan menambah anggota polis terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seperti yang dicadangkan di Parlimen.

Sebelum ini, Steven mengusulkan cadangan agar PDRM menempatkan 11,757 polis baru ke dalam JSJ, yang kini hanya dianggotai 11.4 peratus daripada keseluruhan anggota.

“PDRM sendiri hampir sepuluh tahun lalu sudah meminta agar anggota JSJ ditambah kepada 28,000. Namun sehingga kini, anggotanya hanya seramai 16,062.”

Namun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapannya mengatakan, penempatan anggota adalah berdasarkan waran perjawatan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jawapan itu sangat tidak bertanggungjawab, hanya menunjukkan sikap acuh tak acuh.

“Mereka dalam kerajaan yang sama. Bukankah arahan boleh dikeluarkan agar JPA menambah anggota JSJ?” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, situasi parah ini membuktikan keperluan unit seperti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang bekerjasama dengan polis untuk membuat rondaan.

“Malangnya, berbanding menggalakkan semangat mencegah jenayah secara sukarela, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan pula terhadap PPS,” ujar Steven – Roketkini.com