Berita

Sokong Ibrahim Ali, bukti UMNO parti berideologi perkauman

GEORGE TOWN, 26 NOV: Sokongan secara terbuka beberapa pemimpin UMNO terhadap kenyataan perkauman NGO ektremis Perkasa bukti keperluan undang-undang untuk menghukum sesiapa saja yang berusaha menyemarak permusuhan dalam negara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti komponen BN MCA dan Gerakan juga perlu mengecam tindakan UMNO itu yang jelas bertentangan dengan komitmen dan ‘keihlasan’ kerajaan menentang perkauman.

Guan Eng berkata demikian merujuk satu lagi tindakan menghasut Ibrahim, dua hari lalu yang menggesa kerajaan supaya hanya Bumiputera saja layak mendapat pengecualian daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Namun, tidak ada sebarang hukuman dikenakan terhadapnya, malah lebih menyedihkan beliau turut mendapat sokongan pemimpin UMNO

“Dengan menyokong tindakan Perkasa, bagaimana UMNO boleh menafikan bahawa mereka sememangnya adalah sebuah parti politik ekstrem yang berideologikan perkauman?, kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Tambah Guan Eng, belum hilang kemarahan rakyat berhubung ancaman Ibrahim mahu membakar Bible versi Bahasa Melayu dan Iban, Presiden Perkasa itu sekali lagi melakukan kenyataan menghasut.

“Bukan itu sahaja, dia juga mahukan kerajaan bertindak ke atas fenomena bahawa ramai pelajar bukan Bumiputera dikecualikan membayar semula pinjaman Perbadanana Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kerana mereka mendapat kepujian kelas pertama..

“Diskriminasi kaum secara terang-terang ini menekankan keperluan supaya Akta Keharmonian Kaum yang boleh menyatupadukan rakyat dan menghukum sesiapa jua menghasut kebencian demi kepentingan peribadi,” ujarnya. -Roketkini.com