Berita

Tubuh jawatankuasa terpilih parlimen rangka akta tangani IS – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengusulkan agar Dewan Rakyat mewujudkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk merangka undang-undang berhubung ancaman militan Islamic State (IS) serta organisasi lain seumpamanya.

Beliau berkata lagi, PSC itu perlu ditubuhkan segera, sebelum sesi perbahasan Parlimen kali ini berakhir esok.

“Jika kita ingin melihat perjuangan menentang ancaman pihak ekstrim, tidak bertoleransi dan ganas seperti IS sama ada di dalam negara atau antarabangsa, ia perlu menggembleng semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan politik.

“Maka, saya menyeru agar PSC ditubuh bagi mengumpul sokongan ke arah kesederhanaan, serta merangka undang-undang untuk menghadapi ancaman ini.

“Ini kerana ancaman pihak ekstrim seperti ini tidak boleh ditentang jika ia hanyalah usaha UMNO dan BN, bukannya rakyat Malaysia,” katanya ketika sesi perbahasan hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas putih berhubung ancaman IS.

Dalam dokumen 19 halaman itu, Najib mencadangkan akta baru bagi menangani militan selain mengukuhkan akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) dan Akita Pencegahan Jenayah.

“…Menyokong kerajaan melaksanakan dasar dan usaha untuk menangani ancaman IS, melulus dan merestui dasar dan usaha yang diperkenalkan…dan menyeru setiap lapisan rakyat mempergiat usaha dan komitmen untuk menyokong kerajaan menangani ancaman berkenaan,” kata Najib.

Justeru itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu sekali lagi menggesa Najib agar menyelaraskan seruannya di pentas antarabangsa dengan dasar kerajaan.

“Seperti mana Islam tidak diancam di peringkat antarabangsa, ia juga tidak diancam di Malaysia.

“Mana-mana pihak yang menggunakan nama Islam untuk menjustifikasikan tindakan ekstrim mereka perlu disekat, bukan sahaja pihak luar, malah pihak dalam negara,” katanya lagi. – Roketkini.com