Berita

Banjir kilat di Temerloh, majlis perbandaran lepas tangan

TEMERLOH, 27 NOV: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) masih belum memperbaiki sistem saliran di Taman Rimba Mutiara walaupun sudah lebih tiga kali banjir kilat berlaku.

ADUN Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sikap lepas tangan MPT dan pemaju mengakibatkan banjir berlaku sekali lagi awal November lalu.

“Dalam pertemuan saya dengan penduduk beberapa hari lalu, mereka memberitahu telah beberapa kali mengadu masalah ini kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Tapi, tiada tindakan susulan dibuat.

“Sekurang-kurangnya lapan buah rumah di Jalan Jelutong 8 di landa banjir lumpur baru-baru ini akibat masalah sistem saliran dan projek perumahan berhampiran,” kata Tungku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang.

Tambah Tengku Zulpuri, beliau menerima aduan mengenai tindakan pemaju projek perumahan berhampiran (Taman Rimba Jaya) mengambil air dari kawasan perumahan mereka menyebabkan tekanan menjadi rendah dan terpaksa menggunakan pam motor.

Walaupun berkeluasan hingga 6 ekar, namun kawasan perumahan ini tidak dilengkapi beberapa keperluan wajib seperti tangki besar dan kolam kumbahan

Taman Rimba Mutiara mempunyai 70 buah rumah secara keseluruhan dalam tiga fasa berbeza.

“Apakah pihak MPT dan pemaju tidak mengambil kira kemampuan saliran sedia ada?

“Longkang-longkang di jalan utama Taman Rimba Mutiara juga sudah lama rosak teruk tidak diselenggarakan,” kata Tengku Zulpuri kepada Roketkini.com

Pada sidang DUN Pahang, beliau mengajukan cadangan bahawa setiap kawasan dimajukan harus memiliki tiga elemen penting iaitu bekalan elektrik dan bekalan air.

Dalam pada itu penyediaan deposit daripada Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Kerja Raya dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) adalah perlu bagi kerja-kerja kerja pemotongan jalan untuk menanam kabel atau saluran perparitan.

Tambahnya, beliau turut mengesan banyak kontraktor-kontraktor di Pahang melakukan kerja menampal atau menurap jalan tidak mengikut spesifikasi yang betul. -Roketkini.com