Berita

1MDB bakal ulangi kerugian Renong

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Walaupun diugut ‘love letter’ (ancaman saman) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua tidak gentar dan bertegas bahawa 1MDB membawa risiko besar kepada ekonomi negara.

Katanya, antara risiko adalah peningkatan tarif elektrik, sistem kewangan terancam, kos pinjaman kerajaan meningkat dan krisis ekonomi seperti tahun 1997 akibat kejatuhan syarikat kroni Umno Renong Berhad yang muflis dengan hutang lebih RM20 bilion.

“Kalau satu daripada hutang 1MDB sahaja yang tidak dapat dibayar, semua bank akan kelam kabut, tarik balik pinjaman dan naikkan faedah kerana risiko meningkat.

“Kurangnya kewangan mengalir dalam ekonomi kita, apa akan terjadi? Semua industri yang memerlukan pinjaman bank akan mengalami kesusahan,” kata Pua dalam forum ‘Skandal 1MDB: Terbongkar’ di Menara MPAJ, Pandan Indah, malam tadi.

“Perkara sebegini bukan kali pertama kita alami. (Sewaktu) krisis kewangan Asia 1997, faedah pinjaman perumahan saya 12 peratus.

“Ini akan berlaku lagi jika ada kegagalan dalam 1MDB dan tentunya kos pinjaman kerajaan meningkat kerana tidak ada orang berani memberi pinjaman kepada mereka,” ujar Pua.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP menyatakan, jika perbelanjaan kerajaan meningkat, subsidi terpaksa dikurangkan.

Beliau turut mengulas tentang kerugian Renong Berhad, sayap pelaburan UMNO pada zaman Mahathir, dan merupakan badan korporat berpengaruh di Malaysia.

“Renong adalah syarikat yang cukup besar, ayah saya juga melabur. Sahamnya ketika itu RM3.60 kemudian turun sampai RM1.60 dan ayah saya kata syarikat ini boleh dilabur kerana ia milik UMNO.

“Kalau milik UMNO tak akan salah, dia beli RM1.60 tapi malangnya satu sen pun tak dapat balik. Syarikat lesap,” ujarnya.

Pua menyelar tindakan kerajaan menstrukturkan semula segala hutang yang ada pada Renong berjumlah RM25 juta ketika itu dengan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sebagai aset untuk menyelamatkan UEM (anak syarikat Renong).

“Macam mana cara nak selamatkan UEM yang menjadi syarikat paling banyak mengaut keuntungan hari ini?

Tol Lebuhraya Utara-Selatan kerap dinaikkan, untung berbilion-bilion. Padahal kos pembinaan hanya RM6 bilion tapi keuntungan melebihi RM2 bilion setiap tahun.

“Bila saya tanya, menteri macam bangga selepas penstrukturan UEM dapat diselamatkan. Inilah kerja Barisan Nasional tapi siapa yang pikul beban? Akhirnya rakyat terpaksa membayar tol dengan harga terlampau tinggi.

“Sama juga dengan Malaysian Airlines Bhd (MAS), lapangan terbang dibina dengan RM4 bilion tapi keuntungan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menurun menjunam 98 peratus, apa kerajaan akan buat? Naikkan cukai lapangan terbang.

“Semua ini memberikan kesan besar. Dia (kerajaan) ingat cukai lapangan terbang naik sikit, tarif elektrik naik sikit, tol naik sikit, rakyat tidak terasa?

“Kita pasti merasai beban. Kerajaan macam ini tidak patut dikekalkan lagi,” tegas Pua. – Roketkini.com