Berita

Umno Pulau Pinang terus berbohong, MCA dan Gerakan diam sahaja?

GEORGE TOWN, 28 NOV: Umno Pulau Pinang meneruskan pembohongan dahsyat apabila mendakwa masyarakat Cina di negeri ini menjana kekayaan dari sumber kegiatan haram, perjudian, pelacuran.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Umno yang sudah tidak lagi berharap untuk medapatkan undi masyarakat Cina kali ini memutuskan untuk menghina mereka dengan fitnah dan pembohongan.

Wakil Umno Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden di perhimpunan agung Umno 2014 hari ini mendakwa, kegiatan seperti perjudian dan pelacuran merupakan ‘sumber kekuatan Cina yang tidak menyokong BN’ di Pulau Pinang.

“Dakwaan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah salah sama sekali. Pemimpin Umno terlalu takut untuk menunjukkan kesalahan mereka.

“Pemimpin Umno Pulau Pinang itu menunjukkan kebenciannya terhadap masyarakat Cina apabila mendakwa orang Cina melakukan ‘jenayah’ secara terang-terangan.

“Adakah polis di Pulau Pinang terlalu lemah sehingga perlanggaran undang-undang atau kegiatan haram dapat wujud? kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Sedangkan kata Guan Eng kenyataan Mohd Zaidi bertentangan dengan penegasan berulang kali oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi bahawa tiada kegiatan seperti itu di negeri ini.

“Sehingga akhir bulan lalu, Datuk Abdul Rahim berkata polis telah menyerbu sarang perjudian dan menyatakan bahawa ‘Untuk rekod, Pulau Pinang adalah sifar mesin judi haram’, kata Guan Eng.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mencabar Umno negeri ini membuktikan lokasi judi ha am, pelacuran dan pusat hiburan, bukan sekadar melemparkan tuduhan tidak berasas kepada masyarakat Cina yang bekerja keras mencari rezeki dan mematuhi undang-undang.

“Jika Umno Pulau Pinang gagal memberikan bukti, Pengerusi BN Negeri Teng Chang Yeow patut sama ada mendesak tindakan diambil terhadap pemimpin Umno Pulau Pinang atau meletakkan jawatan kerana gagal menjadi Pengerusi BN yang berkesan.

“Tiada gunanya mendesak permohonan maaf daripada Umno Pulau Pinang kerana pastinya tiada tindakan yang akan diambil terhadap pemimpinnya yang rasis dan ekstrim.

“Apatah lagi tindakan kerajaan BN mengekalkan Akta Hasutan untuk menyalahgunakannya sebagai senjata politik terhadap Pakatan Rakyat, bukannya terhadap pemimpin Umno Pulau Pinang yang berterusan menghina masyarakat Cina.

“Adakah MCA dan Gerakan juga putus asa dengan orang Cina di Pulau Pinang sehingga boleh terus bekerjasama dengan Umno?

“Jika pemimpin MCA dan MIC memiliki maruah dan harga diri, mereka perlu segera meninggalkan BN dan tidak lagi bekerja sama dengan Umno,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com.