Rencana

Cabaran gerakan Islam di Malaysia

“Cabaran kepada aktivis Islam di Malaysia adalah untuk menggunakan imaginasi mereka mencipta dan merumuskan aspirasi mereka dalam bahasa yang inklusif, bahasa yang boleh diterima, bahkan bahasa yang boleh menggembleng dan menggerakkan semua, tanpa kira agama dan bangsa, untuk memperjuangkan agenda yang disepakati” – Bahasa, Tumit Achilles (Khalid Jaafar)

Kesimpulan Khalid Jaafar terhadap gerakan Islam adalah kemahiran bahasa dan strategi komunikasi. Pada hemat beliau, kekangan bahasa yang inklusif dan terbuka menyebabkan wacana yang dianjurkan oleh golongan Islamis di Malaysia mandom dan tepu. Ada kalanya, intelektualnya mandul.

Telahan ini benar. Memang betul bahawa cabaran besar yang sedang dihadapi oleh aktivis Islam adalah mutu penyampaian bahasa yang tidak mesra golongan masyarakat yang ragam. Namun, suatu hal lain adalah – kesilapan gerakan Islam di Malaysia adalah tahap kearifan ilmu sosial yang terbatas. Mereka lebih senang berbicara di dalam bahasa ‘teks’ dan ‘feqah’ yang eksklusif– jadi, akses pada masyarakat umum itu terbatas, jika mereka bukan datang daripada kelompok Islamis.

Perbualan penulis dengan seorang ahli politik Indonesia, Kyai Maman Imanulhaq sedikit sebanyak membuahkan formula bagaimana Indonesia bangkit dengan kekuatan intelektual yang ditunjangi gerakan agama. Pesan Kyai Maman kepada penulis: “Islam tidak akan rebah jika umat Islam itu sedar bahawa kemanusiaan itu ditegakkan dahulu, sebelum jatuhnya hukum!”

Ditanya lebih lanjut tentang Islam di Indonesia, Kyai Maman – tokoh agama yang lahir daripada korpus pemikiran Nahdatul Ulama’ menegaskan bahawa aktivis Islam di Indonesia itu harus menguasai tiga kitab pemikiran.

Pertama, kitab kuning. Kitab Kuning mewakili tradisi keilmuan dan pemikiran Islam klasik. Seorang agamawan itu harus menguasai tradisi dan budaya untuk membangun aspirasi. Kedua, kitab putih  mewakili penguasaan terhadap ilmu studi sosial seperti sains politik, sosiologi dan falsafah. Tanpa penguasaan ‘kitab putih’, Islam akan kekal sebagai teks yang beku dan kaku.

Jadi, pengamatan terhadap masalah masyarakat amat penting buat para agamawan untuk mencipta ‘feqah’ yang bersesuaian dengan kondisi budaya dan tradisi tempatan.

Ketiga, kitab kelabu. Kitab kelabu pula adalah kitab pemikiran. Untuk membangun daya intelektual yang jitu, seorang agamawan itu harus membangun pemikirannya sendiri, supaya tidak terikut-ikut untuk menjadi orang lain.

Kyai Maman merupakan anak murid mantan Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid (Gus Dur). Kini, dia salah seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) yang didirikan Gus Dur semasa hayatnya.

PKB merupakan dokongan kuat Jokowi, di saat 30 persen daripada kerusi DPR yang dimenangi oleh blok Islamis semasa Pemilu 2014 bersama di dalam Koalisi Merah-Putih yang diketuai Prabowo Subianto, seteru politik Jokowi yang tewas di dalam pilihanraya presiden (Pilpres) yang lepas.

Gagasan Islam Kosmopolitan yang dimulakan Gus Dur menjadi akar kepada intelektual aktivis Islam di Indonesia. Islam kosmopolitan dalam pandangan Gus Dur adalah agenda untuk menjadikan Islam itu bukan sebagai strategi politik semata-mata, tetapi strategi kebudayaan yang mekar dalam tempoh berdekad-dekad di Indonesia.

Majoriti Islamis di Indonesia masih berpegang dengan semangat negara bangsa Indonesia melalui demokrasi dan konsep negara hukum. Asas kekuatan mereka bergantung dengan usaha intelektual Islam di Indonesia untuk menjambatani perbezaan masyarakat Indonesia yang jamak budaya, berbeza akidah dan identiti yang rencam.

Cabaran besar gerakan Islam di Malaysia, penulis akui terletak kepada cabaran yang dilontar Khalid Jaafar ketika mengamati perkembangan dan kemajuan gerakan Islam di Malaysia.

Dr Farish Noor, sarjana sains politik yang tekun mengkaji perkembangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) semenjak awal penubuhan parti Islam tertua di Malaysia pula memberikan pendapat bahawa gerakan Islam di Malaysia bergerak sebagai kolektif yang ‘non-linear’. Sepertimana di dalam mana-mana gerakan ideologi, gerakan Islam itu juga ada ‘maju-undur’nya.

Di dalam Islamism of Mottled Nation (2013), Farish menyingkap perubahan sejarah sosio-politik PAS yang penuh dengan pergelutan dasar politik untuk kekal relevan masakini. Kekangan terhadap komunikasi dan bahasa telah menyebabkan majoriti aktivis Islam di Malaysia mengalami kesukaran di dalam memahami kompleksiti politik dunia pada hari ini.

Perkembangan dunia Islam global mendorong aktivis Islam untuk menerima idea demokrasi dan kepelbagaian. Secara lumrahnya, aktivis Islam kini berhadapan dengan ranah masyarakat yang berbeza budaya dan kepercayaan. Jadi, mereka tidak boleh berbahasa dengan nada eksklusif dalam kalangan mereka sahaja. Mereka memerlukan daya intelektual yang inklusif dan sejagat– sebagai seruan Islam itu ada agama ‘rahmatan lil alamin’ – agama yang menyampaikan mesej-mesej sejagat!

Cabaran Islamis hari ini terletak pada kesediaan mereka memimpin gerakan demokrat. Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucaptama Kongres Muslim Demokrat Sedunia di Kuala Lumpur bulan lepas – menyingkap peranan filasuf-penyair Pakistan, Muhammad Iqbal di dalam mendepani cabaran pemikiran Barat. Beliau turut memetik beberapa renungan yang dikongsikan Iqbal  di dalam koleksi syarahan di Lahore, New Delhi dan Aligarth, kemudian dibukukan dengan tajuk, “Reconstruction of Religious Thought In Islam” dan diterbitkan pada tahun 1930.

Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa keresahan Iqbal terhadap masyarakat Muslim adalah kerana kelemahan daya fikir mereka untuk memahami bahasa universal dan kosmopolitan yang boleh diraikan oleh setiap individu di atas muka bumi ini. Cabaran menjadi seorang muslim demokrat terletak pada sejauh mana kesungguhan aktivis Islam untuk menerima demokrasi dan kepelbagaian bukan hanya sebagai ‘wasilah’ (alat) tetapi ‘tawassul’(matlamat).

Kemunculan terorisme atas nama agama, antaranya kebiadapan golongan fundamentalis seperti Islamic State (IS) dan Boko Haram mengundang fanatisme agama yang berbahaya. Wadah ‘Islam popular’ yang dipelopori kelompok ini senang menangkap imaginasi anak-anak muda yang dahagakan idealisme. Gerakan Islam yang progresif pula perlu menyatakan sikap dan kesungguhan untuk mengekang pengaruh jahat ini masuk menguasai majoriti umat Islam.

Cabaran getir sedang dilalui gerakan Islam di Malaysia, pertama untuk mendekatkan diri dengan isu ekonomi dan sosial yang mencetuskan keriuhan kelompok massa, kedua untuk membawa imej politik moderat dan sederhana sebagai alternatif terhadap fundamentalisme dan ektremisme dan ketiga untuk menyampaikan hasrat demokrasi untuk melindungi kebebasan setiap warganegara. – Roketkini.com