Sastera

Bedah buku Leila S Chudori: Menjentik self-censorship pembaca Malaysia

“Jangan sekali-kali meminta maaf untuk mempertahankan prinsip.”

– Leila S. Chudori

Novel Pulang merupakan salah satu karya terbaik yang pernah saya baca untuk dekad ini. Kekuatan utamanya adalah cerita, jalan cerita dan gaya ceritanya di samping daya deskriptif yang amat tinggi.

Kerana itulah novel yang diterbitkan di Indonesia pada akhir 2012 ini menjadi bahan bedah buku sekitar Nusantara sepanjang tahun lalu dan merebak hingga sekarang. Novel itu telah dikaji dari pelbagai sudut, khususnya sejarah Indonesia kerana ia membawa latar rampasan kuasa tentera pada 1965, kebangkitan pelajar Perancis 1968, dan reformasi Indonesia 1998.
Dari faktor sejarah itu pula dibicarakan tentang peranan Partai Komunis Indonesia (PKI) dan ideologi komunisme dan sosialisme yang mana ia melibatkan pengaruh terhadap watak-watak utama dalam Pulang.

Namun, ia bukan roman sejarah, apa lagi novel ideologi murahan.

Ia adalah karya sastera yang berjaya memenangi hati saya dengan penggunaan bahasa yang mudah lagi senang difahami. Yang kompleks dalam karya ini bukannya teknik atau gaya tetapi permasalahan setiap watak yang begitu hidup dalam minda pembaca.

Cerita kekeluargaan

Walau apa pun tafsiran yang diberikan oleh pembaca, novel Pulang hasil tangan Leila S. Chudori adalah cerita tentang keluarga dan kekeluargaan. Pengarangnya sendiri, ketika sesi bedah buku di sebuah universiti tempatan baru-baru ini, mengakui dia menulis tentang drama keluarga.
“Namun bukan yang biasa-biasa. Tapi yang punya persoalan. Tentang watak ibu, tentang masalah politik yang memberi pengaruh kepada kehidupan,” katanya.

Leila menjawab persoalan itu apabila seorang pensyarah kanan universiti membentangkan perspektif dari sudut feminisme; yang mana Leila sendiri menyatakan tema itu kali pertama dibincangkan untuk karyanya.

Profesor tersebut menyifatkan feminisme sebagai gambaran pengarang terhadap watak perempuan yang dilihatnya lebih kuat dan gagah berbanding lelaki. Beliau melihat Pulang lebih jauh daripada sekadar cerita tentang kisah hidup buangan politik yang mahu kembali ke tanah air.

Namun pensyarah tersebut agak terlajak jauh apabila menyimpulkan feminisme itu sebagai liberalisme budaya yang mencurahkan adegan erotik dalam karya, sehingga membandingkan Pulang dengan karya-karya Ayu

Utami yang dikatakannnya sarat dengan adegan lucah.

Beliau seolah-olah menganggap karya feminis hanyalah tentang seks. Agaknya beliau lupa bahawa feminisme adalah kesaksamaan gender; feminisme adalah tuntutan agar perempuan diterima sebagai manusia, dan bukannya barang, objek atau bahan iklan.

Feminisme adalah keadilan. Dan keadilan bukan milik Barat semata-mata.

Jika pandangan profesor tersebut mencerminkan minda cendekiawan Malaysia, maka ia menunjukkan kekangan ciptaan sendiri (self-censorship) yang sangat kuat. Bayangkan, hanya tiga adegan erotik yang masih boleh dianggap sopan yang memakan tidak lebih dua muka surat menjadi obsesi kritikan berbanding keseluruhan novel yang tebalnya lebih 450 halaman yang sarat dengan kisah keluarga, konflik diri, politik, revolusi, pengkhianatan, masakan, makanan dan pelbagai macam ragam dan gelagat manusia.

Bagi Leila, dia tidak ada sebarang khayalan atau kepura-puraan untuk menulis tentang ideologi atau feminisme. Jika ada gambaran watak perempuan lebih kuat daripada lelaki yang lebih galau, beliau sendiri menyatakan tidak sedar tentang itu; seperti sudah natural untuk dirinya.

“Tokoh-tokoh utama novel ini adalah lelaki tapi yang dilihat kuat adalah perempuan,” tambah beliau, mencerminkan keseimbangan perwatakan dalam novelnya.

Apa ada dalam Pulang?

Di saat PKI dituduh mahu merampas kuasa daripada Presiden Sukarno yang sememangnya rapat dengan PKI, angkatan tentera Indonesia bertindak merampas kuasa pada awal Oktober 1965. Selepas itu, regim tentera pimpinan Suharto membiarkan gerombolan manusia yang dibasuh otak tentang “kejahatan komunisme” untuk menyerang, memukul dan meragut lebih sejuta nyawa sepanjang tahun tersebut.

Malah, keluarga dan sahabat terdekat mangsa-mangsa yang dituduh komunis juga ditahan dan ditindas sepanjang hidup mereka. Ini dipanggil “bersih diri” – iaitu mencari untuk menahan dan “memulihkan” sesiapa sahaja yang dituduh mempunyai kaitan dengan PKI dan komunisme. Mereka adalah tahanan politik atau singkatannya tapol. Manakala “bersih lingkungan” bererti keluarga dan sanak-saudara tapol yang mana sepanjang regim Suharto mereka dilarang bekerja di tempat-tempat yang dianggap boleh mempengaruhi rakyat seperti sekolah dan media.

Atas latar ini, empat watak lelaki yang dipimpin Dimas Suryo yang kebetulan berada di luar negara pada waktu rampasan kuasa tentera telah terperangkap dan tidak dapat pulang kerana mereka adalah antara yang dituduh mempunyai kaitan dengan PKI. Akhirnya mereka bertemu di Paris.

Di sana sewaktu pelajar berganding bahu dengan pekerja Perancis dalam kebangkitan 1968, Dimas berjumpa dengan Viviene yang menjadi isterinya, walaupun hatinya tetap merindui Surti yang amat dicintainya tetapi terlalu berat lidahnya untuk berkata-kata sehingga “terampas” oleh sahabat dan bos yang dihormatinya, Hananto, yang juga pengarang kanan tempatnya bekerja di Jakarta. Hananto ditahan di Jakarta, disiksa dan dihukum mati manakala Surti entah tanpa khabar yang jelas walau diceritakan penderitaan diri dan keluarganya.

Setelah dikurniakan anak perempuan yang dinamakan Lintang Utara, Dimas membuka restoran Indonesia di Paris yang dibantu dengan rakan-rakan buangan politik tersebut. Lintang membesar sebagai anak kacukan yang pintar serta berani. Teman lelakinya juga kacukan Indonesia-Eropah tetapi hidup dalam kemewahan kelas menengah serta masih patuh dengan peraturan regim Orde Baru.

Pulang membawa jalinan kisah generasi 1965 dan 1998 di mana Lintang dibenarkan kembali ke Indonesia – walaupun bapanya masih lagi dalam larangan – dan melihat sendiri kebangkitan rakyat, khususnya mahasiswa melawan regim Suharto dalam era Reformasi. Kembali ke tanah air yang dicintainya walaupun dia sendiri lahir di bumi Eropah, Lintang bertemu seorang aktivis Indonesia yang membawa kepada konflik baru. Dia terpikat dengan jejaka berusia awal 30an itu yang bernama Segara Alam walau pada masa yang sama masih mempunyai teman lelaki di Paris yang merinduinya. Dan Alam adalah anak Surti-Hananto.

Sepanjang novel ini, catatan dan selingan yang disuratkan dengan makna-makna yang tersirat amat banyak. Leila sebagai penulis berkongsi tentang watak-watak Mahabharata dan Ramayana yang sememangnya popular di Indonesia sehingga saat ini.

Satu lagi hal yang menjadikan Pulang satu bacaan yang menarik adalah keupayaan penulis meggarap deskripsi tentang makanan. Makanan yang dimasak oleh Dimas dan watak-watak lain di Restoran Tanah Air yang letaknya di tengah-tengah kota Paris digambarkan sedemikian rupa sehingga terasa oleh kita tentang keenakan masakan, dan segera mahu bertandang ke gerai nasi padang, nasi uduk, pecel lele, ayam penyet atau mana-mana kedai masakan Indonesia berdekatan.

Hegemoni kaum dan agama?

Malangnya semua ini seperti tidak menjadi sesuatu yang penting bagi sesetengah pembaca dan pengkritik di Malaysia. Dalam sesi bedah buku itu, satu lagi persoalan yang ditimbulkan ialah sama ada Indonesia sebagai negara umat Islam yang terbesar di dunia boleh menerima karya-karya erotik.

Bagi saya, konotasi soalan itu adalah i) erotik sama dengan lucah, kotor dan vulgar, ii) Islam benci erotikisme, dan iii) iman umat Islam Indonesia mungkin lemah kerana sanggup terima erotikisme.
Mungkin kerana soalan itu adalah lanjutan daripada pertanyaan awal, Leila terlepas menjawabnya. Namun beliau menumpukan kepada soalan awal, iaitu adakah watak utama yang bernama Dimas itu kembali kepada

Islam pada penghujung novel

Leila menjelaskan watak itu tidak tertarik dengan apa-apa yang tersusun. Jadi Dimas tidak tertarik dengan organisasi agama. Dia lebih tertarik kepada kerohanian agama. Seperti mana Dimas tertarik dengan komunisme dan sosialisme tetapi tidak mahu menyertai PKI atau mana-mana parti politik.

“Malah dalam sesi diskusi yang lain, saya pernah ditanya mengapa tidak tokoh itu komunis sahaja? Mengapa tidak jadikan dia merah sahaja?” katanya sambil tertawa, lalu menjelaskan lagi bahawa beliau tidak gemar watak yang kaku sebegitu, sebaliknya suka kepada yang galau atau teragak-agak serta keliru (indecisive).

Namun sempat juga beliau menjelaskan, terutama kepada yang belum membaca novel itu, bahawa Dimas sangat menghormati watak seorang tokoh Masyumi yang sentiasa menjadi rakan bualannya dalam soal-soal politik, kehidupan dan kerohanian. Masyumi merupakan parti Islam terbesar di Indonesia sejak Merdeka hingga diharamkan pada 1960.

Jawapan itu tentu tidak selesa didengar kalangan orang seni Malaysia (baca:Melayu) yang sudah mengikat diri dengan hegemoni. Melalui undang-undang dan peraturan, tiada ruang kebebasan kecuali yang telah ditetapkan oleh pemerintah, termasuk penguasa agama. Melalui kerelaan sendiri (baca:self-censorship) sudah ada garis ketentuan bahawa dalam sesebuah karya mesti membicarakan tentang Melayu, kemenangan Islam, tentang kebaikan yang diluluskan sahaja. Ia sangat bersifat propagandis.

Watak-wataknya pula mesti dalam lingkungan yang diluluskan termasuk watak baik mesti sebaik-baiknya, jahat mesti sejahat-jahatnya, dan “baik yang diluluskan” wajib menang. Ini peraturan tidak bertulis yang menjadi amalan, dan mungkin juga yang ketika ini sedang diajar di pusat pengajian tinggi.
Harapan

Dalam sesi yang sama, Leila dengan jujur mengatakan bahawa Pulang mahu memberi harapan kepada dirinya sendiri untuk generasi muda. “Bagi saya, ia tentang generasi Lintang dan Alam, generasi yang ingin mengubah Indonesia. Saya serius. Saya mahu anak cucu saya mempunyai Indonesia yang lebih baik.”

Namun, ia tidak semata-mata untuk Lintang dan ayahnya Dimas menyuarakan isi hati mereka. Leila sebagai wartawan kanan Tempo dalam kehidupannya telah mengumpul kisah-kisah benar untuk dijadikan novel fiksyen. Cerita pelarian politik Indonesia yang menubuhkan restoran masakan tempatan di Perancis adalah satu kisah benar. Tetapi Pulang bukan satu “true story”. Ia adalah karya cereka.

Pulang adalah satu cerita, satu penceritaan yang tentunya melibatkan elemen pengarangnya, jelas Leila. “Saya pernah belajar di Kanada selama 6 tahun. Jadi keinginan untuk pulang sangat kuat. Memang kita makan nasi uduk di Kanada tetapi ia tidak sama dengan memakannya di Jakarta. Jadi memang saya mahu pulang. Itulah elemen saya yang saya masukkan ke situ.”

Seperti yang dijelaskannya, Pulang adalah kisah keluarga yang punya cerita manusia dan kemanusiaan. Ia bukan propaganda mana-mana ideologi atau agama. Watak-wataknya juga bukan hitam-putih. Ia tidak berakhir dengan kemenangan mana-mana kepercayaan kerana ia menghormati betapa kompleksnya hidup manusia yang bergelut di dalam jiwa dan di luar persekitaran seharian. Gaya ceritanya tidak linear kerana berulang alik sekitar tahun 1968-1965-1998 namun ia tidak membantutkan kelancaran membaca.

Saya akui memang puas membaca Pulang. Setidak-tidaknya ia menenangkan hati yang gelisah dalam dunia sastera tempatan yang dikatakan bergolak dengan penuh kebisingan tapi gagal memenuhi citarasa. Atau mungkin saya yang terlalu cerewet.

Karya baru Leila

Kini yang dinantikan adalah karya baru Leila yang berkisar tentang para aktivis yang hilang secara paksa atau diculik sepanjang 1997-98 di Indonesia. Sekali lagi beliau mahu membawa kisah keluarga.

“Saya melihatnya dari sisi keluarga. Persoalan mereka seperti ‘ke mana anak saya?’ dan kata-kata ‘saya ingin ke kuburannya’. Itulah kekuatan saya. It’s a family thing. That’s my interest, my forte.”

Saya akan bersabar menanti karya itu. Saya yakin Leila mampu menghasilkan apa yang dicita-citakannya. Dia seorang pengarang yang mengamalkan apa yang dikatakannya, seperti yang disuarakan kepada anak muda yang bertanya tentang bagaimana mahu menulis: Tema adalah perkara kedua. Yang paling penting adalah storytelling atau bercerita. Memang perlu ada bakat menulis tetapi kerja keras amat penting. Dan bacalah sebanyak mungkin.

Jika ini menjadi amalan penulis atau bakal penulis di Malaysia, di samping membuka minda melihat dunia di luar sana tanpa terlalu bergantung dengan apa yang ada di sini, mungkin dunia penulisan tempatan mampu berubah. Maksudnya berubah kepada yang lebih baik untuk manusia dan kemanusiaan (baca:pembaca yang bosan dengan karya klise), dan bukannya mahu berkiblat kepada “baik yang diluluskan oleh pemerintah”.

Tiada alasan perlu diberikan lagi. Indonesia menderita kekangan kebebasan bersuara sepanjang 1966-1998. Malaysia masih mengalami tekanan seperti itu walaupun darjah sekatannya berbeza. Tetapi yang lebih parah ialah apabila kita sendiri merelakan tekanan tersebut, malah menganggap kekangan sebagai fitrah yang wajib diterima. – Roketkini.com