Rencana

Najib: Masalah atau jawapan Umno?

Keresahan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikesan dalam satu temubualnya bersama Utusan Malaysia, yang disiarkan pada 22 November 2014.

“Katakanlah esok ada pilihan raya umum, saya nak tanya menang ke kalah. Bila isu di Selangor, hal Azmin (Ali) dan Khalid (Ibrahim), ada pihak kata elok dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya buat pilihan raya baharu, mudah-mudahan boleh menang. Saya tanya balik kepada orang (UMNO) Selangor, kalau esok dibubarkan DUN, ada pilihan raya, UMNO boleh menang? Seorang pun tak kata ya…”

Demikianlah kata-katanya, dan saya rasa inilah satu-satunya kata sepakat yang tercapai dalam UMNO. UMNO boleh tumbang jikalau terpaksa berdepan dengan pilihan raya umum pada hari esok. Cuma, persoalan yang tidak disepakati adalah apakah yang harus dilakukan seterusnya untuk menyelamatkan UMNO daripada tumbang? Siapa pula yang harus laksanakannya?

Bukan sahaja tiada kata sepakat, malah wujud percanggahan yang jelas antara dua garis politik – iaitu terus menjuarai isu perkauman dan agama, atau memikat hati seluruh rakyat Malaysia. Dilema UMNO, masalah hilang hala tuju, malah tidak pasti siapa pengemudi seterusnya ini boleh disimpulkan dengan tiga persoalan berikut:

Pertama, Najib semakin keseorangan, tetapi beliau masih mempunyai nilai yang tersendiri;

Kedua, Ada cubaan Mahathir untuk melakukan sesuatu, tetapi kebangkitan sayap kanan UMNO tidak menguntungkan UMNO untuk meraih sokongan seluruh rakyat Malaysia;

Ketiga, Faktor luaran, ancaman Pakatan Rakyat masih mampu menggugat UMNO, dan kemelut ekonomi menunggu masanya untuk meledak.

Maka saya tumpukan perbincangan untuk persoalan pertama dan kedua. Pertama, Najib Razak sebagai masalah atau jawapan UMNO? Najib bersama Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hari keesokan, selepas pertukaran kerajaan tidak berlaku pada 16 September 2008.

Dengan bantuan tekanan yang diasak Tun Mahathir Mohamad, Pak Lah akhirnya tunduk dengan menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib.

Gandingan Najib dan Muhyiddin mengasak selangkah lagi pada 25 September 2008, selepas cubaan pertama mereka berjaya. Pak Lah akhirnya akur dengan bersetuju untuk berundur pada tahun 2009. Najib dilihat sebagai jawapan untuk menyelamatkan UMNO pada ketika itu.

Cuma sekarang, Mahathir menganggap prestasi Najib lebih teruk daripada Abdullah. Apakah ia sekadar soal “bila” untuk mengasak agar Najib berundur?

Beza Najib dengan Abdullah adalah sikap mereka ketika mengendalikan pengagihan sumber, dan rangkaian akar umbi mereka dalam parti. Mungkin Abdullah tidak begitu fasih dengan formula membeli sokongan dengan peruntukan sumber, atau, garis dasar moralnya lebih tinggi daripada Najib.

Najib mula berkecimpung dalam politik mulai tahun 1976, menggantikan ayahandanya Almarhum Tun Abdul Razak yang meninggal dunia. Abdullah pula bertanding dalam PRU hanya pada tahun 1978. Najib menguasai sumber sepanjang kerjaya politik beliau dalam UMNO, dan ramai pemimpin segenerasi dengan beliau disuapkan sumber daripadanya. Dengan kata lain, mereka terhutang budi dengan Najib.

Pak Lah enggan mengambil pendekatan yang terlalu keras ketika mengendalikan masalah perkauman. Najib pula berbeza, beliau boleh memberi laluan untuk pemimpin sayap kanan menghangatkan isu perkauman dan agama dengan pendekatan yang agresif, sungguhpun pada masa yang sama beliau mendahagakan undi bukan Melayu.

Masalah merunsingkan strategis UMNO sekarang adalah, apa pun rungutan dilontarkan terhadap Najib, popularitinya tetap lebih tinggi berbanding UMNO. Populariti Muhyiddin mungkin tidak jauh berbeza dengan Najib di kalangan masyarakat Melayu, tetapi ketinggalan jauh jikalau dirangkumkan pandangan masyarakat bukan Melayu.

Ramai menteri UMNO merungut bahawa Najib tidak mempunyai lebih masa untuk perbincangan peribadi dalam isu-isu tertentu. Lantaran daripada itu, mereka tidak dipandu hala tuju yang jelas. Justeru itu, masing-masing mengikut naluri sendiri ketika membahaskan soal dasar. Ramai semakin hilang kesabaran ketika berdepan situasi sedemikian. Cuma, apakah wujud pengganti yang lebih baik daripada Najib seandainya beliau digulingkan?

Keduanya, sayap kanan dalam UMNO semakin bermaharajalela selepas PRU12 pada tahun 2008. Puak ini sebenarnya memainkan peranan untuk mengukuhkan kubu UMNO. Serangan propaganda bahawa “PAS tunduk kepada DAP”, ada kesannya untuk menyelamatkan UMNO.

Cuma persoalannya, garis politik sayap kanan ini mungkin memberi kesan sebaliknya untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak seterusnya. Dalam tempoh sedekad lalu, UMNO kehilangan keabsahan politiknya di kalangan pengundi Cina dan India, disusuli Melayu bandar. Apakah UMNO mampu bertahan jikalau penganut kristian di Sabah dan Sarawak juga hilang percaya terhadap BN?

UMNO mungkin menganggap mereka masih boleh terus memerintah tanpa sokongan “lain-lain”, barangkali dengan persempadanan semula kawasan yang memihak kepadanya.

Cuma, seandainya UMNO juga hilang sokongan di kalangan Melayu, maka ia bakal mengulangi nasib MIC. Proses urbanisasi dan kemunculan pengundi muda antara perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu.

Apakah UMNO mampu tidur lena dengan perubahan sedemikian?