Budaya

Interstellar, yang hanyut di ruang angkasa

-Aliff Fikri

Dari kualiti kemewahan teknik visualnya, Interstellar tidak dapat disanggah adalah filem terbaik tahun ini. Gabungan hebat sang pengarah Christopher Nolan, Pengarah Seni Dean Wolcott dan kesan khas yang digarap penuh teliti berjaya menjadikan khayalan sebagai perkara yang amat menakjubka. (inilah contoh ulasan filem ala Mingguan Malaysia, akhbar atau majalah hiburan arus perdana, imej-imej, visual-visual semata).

Filem dengan genre Sains Fiksyen dipenuhi dengan imej-imej takjub seperti awan membeku di cakerawala, ‘worm holes’, kapal angkasa dan sebagainya sehingga perkataan ‘waahhh’ dan ‘woooo’ keluar dari mulut penonton.

Tetapi sudah tentu tidak akan ada orang yang mengeluarkan ‘waahhh’ dan ‘woooo’ ketika menonton filem yang terlebih dahulu ke depan dalam eranya arahan Stanley Kubrick iaitu 2001: A Space Odyssey (1968) walaupun berada dalam genre sama atau mungkin tidak pernah ada orang yang tahu kewujudan filem ini. Baik, mari kita lupakan Kubrick.

Christopher Nolan dan adiknya Jonathan Nolan, penulis skrip bersama ternyata agak berjaya membangunkan perspektif sukar sains dengan menggabungkan konsep teori relativiti dan memberi penekanan dramatik pada penyelidikan serta penyelesaian masalah.

Premis Interstellar pada saya hanya satu benda yang biasa, iaitu berpusat kepada persoalan bagaimana mahu selamatkan manusia dari masalah pemanasan global. Berlatarkan abad ke 21, filem ini mengajak kita membayangkan masa depan di mana penduduk dunia hidup dalam kepayahan akibat kekurangan sumber makanan dan bencana ekologi.

Amerika Syarikat telah kembali bertukar kepada masyarakat pertanian demi memberikan makanan secukupnya kepada penduduk (tipikal penulis skrip Hollywood, Amerika satu-satunya penyelamat dunia, negara lain tak tahu buat apa). Namun manusia masih berada dalam keadaan bahaya, akibat pencemaran keterlaluan yang mengakibatkan kesukaran bernafas.

Nolan mewujudkan keadaan ini dengan memberikan sepenuhnya tumpuan kepada kehidupan harian seorang bekas juruterbang dan jurutera yang dipaksa kerajaan untuk mengendalikan sebuah ladang, dia bernama Cooper (Matthew Mcconaughey). Tidak lama selepas mendedahkan satu pangkalan rahsia National Aeronautics and Space Administration (NASA), Cooper ‘direkrut’ untuk menyertai pasukan dengan misi penting bersama Anne Hathaway, Wes Bentley dan David Gyasi merentasi ruang dan masa untuk meneroka planet lain yang membolehkan manusia hidup sebagai ganti bumi yang makin tenat. Misi ini mesti diselesaikan secepat mungkin kerana mereka bergerak pada kelajuan cahaya dan masa berlalu lebih cepat daripada di bumi.

Mereka berempat diarahkan mencari tiga planet lain yang memiliki struktur sama dengan bumi atau dalam kata lain mempunyai kebarangkalian untuk manusia hidup di dalamnya.

Malangnya, teori relativiti membuatkan Cooper meragui penjelajahannya mencari planet kerana waktu yang sangat berbeza dengan bumi. Ini kerana nisbah satu jam di sebuah planet bersamaan lebih 70 tahun di bumi. Cooper tidak mampu berpisah atau kehilangan keluarga hingga berpuluh-puluh tahun lamanya.

Peliknya, tidak ada elemen mencemaskan semasa pencarian mereka, selain terlalu sibuk dengan motivasi emosi masing-masing, tidak seperti filem Nolan sebelumnya (Memento dan The Prestige) yang mengajak kita melihat serta merungkai sesuatu yang lebih intim daripada keterujaan kosong ‘setting’ dahsyat efek-efek khas ‘waaahhh’ dan ‘wwooo’.

Interstellar tidak mempunyai tema yang menyatu terhadap pelbagai konsep saintifik dan kelemahan ketara dalam proses pembangunan watak (masalah kronik Nolan dalam setiap filemnya) yang akhirnya menghalang penonton untuk benar-benar bernafsu serta ikut teremosi bersama penonton lain.

Mungkin kritikan terhadap Interstellar ini mempunyai persamaan dengan apa yang dilakukan pengkritik filem, Andrew Sarris. Sarris telah memberikan ‘review’ negatif terhadap 2001: A Space Odyssey.

Sarris mengatakan bahawa dia memaksa diri mengambil dadah hanya semata-mata untuk menonton filem Kubrick untuk kali kedua, dengan harapan dapat menghayatinya sama seperti generasi muda lain yang menjadikan A Space Odyssey sebagai fenomena ‘Counter Culture’.

“I must report that i recently paid another visit to Stanley Kubrick’s ‘2001’ while under the influence of a smoked substance that i was assured by my contact was somewhat stronger and more authentic than oregano on a King Sano (cigarette).”  -Andrew Sarris

Kata-kata Sarris itu dijawab individu lain yang digelar sebagai pengkritik filem terbaik Amerika Syarikat oleh Jean Luc Godard iaitu Jonathan Rosenbaum.

Rosenbaum dalam eseinya bertajuk ‘Apa yang dadah telah lakukan terhadap filem’ merujuk kepada filem Sains Fiksyen dari Kubrick menyebut bahawa ia adalah isyarat kebangkitan baru dalam sudut pandang budaya pop. Kata Rosenbaum, filem ‘telah menjadi satu bentuk persekitaran yang membawa penonton berkubang dan berkeliaran didalamnya, plot bukan sekadar gangguan obsesi kompulsif yang perlu diikuti dan membiarkan percanggahan yang wujud’, inilah sebahagian dari keseronokan yang filem kini tawarkan.

Tidak semena-mena saya merasakan untuk melakukan ‘perkara sama’ seperti Sarris saat terpandang poster Interstellar dan ditambah pujian menggunung beberapa rakan terhadap filem ini sebagai karya paling ‘counter culture’ tahun ini, seorang teman melabelkan bahawa ‘aku rasa siapa tak belajar fizik, tak boleh faham filem ini’.

Kata-kata ini menyebabkan saya terkejut dan terfikir ‘sejak bila seseorang individu perlu merujuk aliran mana dia belajar di sekolah untuk menonton sesebuah filem?’ Ataupun sebenarnya saya terlupa bahawa dia menyebut ‘kalau’ dan bukannya ‘aku rasa’.

Persoalannya, masih wujud lagikah benda alah bernama ‘counter culture’ ini di zaman kewujudan internet yang memungkinkan sesuatu perkara paling tidak diketahui menjadi sensasi di seluruh dunia dalam beberapa minit saja.

Mengikut penilaian Internet Movie Database (IMDB) filem ini memperoleh 9.1 per 10 berdasarkan tinjauan lebih daripada 112,000 responden berbanding 2001: A Space Odyssey, padahal secara hakikatnya Interstellar banyak berhutang kepada Kubrick dari segi tema dan idea.

Saya tidak memerlukan masa terlalu banyak atau berfikir panjang atau menghisap dadah terlebih dahulu untuk mengetahui bahawa filem ini bercerita tentang perjalanan dari dimensi ke dimensi lain, meminta kita membuat spekulasi mengenai masa depan manusia secara menyeluruh, persoalan tentang andainya manusia boleh membina semula tamadun di angkasa lepas selepas bumi tidak lagi selamat untuk didiami, bagaimana ia dilakukan? Dan bagaimana bentuk rupa tamadun baru itu nanti.

Tapi jika saya mahu menontonnya sekali lagi (seperti disyorkan oleh seseorang) untuk turut bersolidariti demi mengatakan ia adalah filem yang bagus, mungkin saya perlu merujuk semula kata-kata Rosenbaum dalam bukunya Goodbye Cinema, Hello Cinephilia bahawa dadah umumnya membantu memupuk dan membuka semangat hedonistik kepada estetika. Maka mungkin dadah akan membuatkan saya lebih terbuka, mengenepikan masalah saya dengan Interstellar dan ‘go with the flow, bro’.

Berbicara soal Nolan, dia mungkin salah seorang pembikin filem paling berbakat keluaran Hollywood dari segi idea-idea besar, malangnya sikap acuh tak acuh pada ‘pacing’, rangka dan pembangunan watak telah mengehadkan rasa seronok saya terhadap filem arahannya kebelakangan ini.

Nampaknya fantasi dan khayalan yang ditawarkan filem Nolan ini bolehlah dikategorikan tergolong dalam era ‘pasca-dadah’. Jika anak muda hari ini mempunyai pilihan memilih ubat, jawapannya adalah internet bukan lagi dadah kerana internet lebih menawarkan keseronokan berpanjangan yang tidak terhingga.

Ketika saya sedang menulis ulasan ini, saya menyedari bahawa sudah hampir tiga jam saya tidak bangun dari kerusi tempat saya duduk dan terlepas ajakan kawan untuk menontonnya sekali lagi.

Apapun, Interstellar sememangnya berjaya memberikan gangguan visual dan audio nan indah termasuk menyampaikan agenda optimis sebuah filem pro-NASA tetapi gagal sebagai naratif yang memberi makna.

Sebab itu saya tidak memandang filem ini sebagai karya serius dan nampaknya ia hanya layak dinikmati seperti itu sahaja.

Lupakan usaha Nolan berdegil tampil ‘ilmiah’.  Cukuplah sekadar membayangkan bahawa kita sedang berada dalam pesawat prototaip yang akhirnya dipaksa untuk patah balik atau nikmatilah ia seperti mana kita memandang angkasa di malam hari, meskipun indah tapi tidak lebih dari ruang hampa. – Roketkini.com