Rencana

Hari Hak Asasi Manusia dan hipokrasi UMNO

Kerajaan Malaysia menyambut hari hak asasi manusia semalam dengan cara yang sangat lucu – dengan memanggil duta Amerika Syarikat Joseph Yun untuk memperjelaskan sokongannya terhadap isu-isu hak asasi di Malaysia.

Apa salah dan dosa Yun?

Dalam satu wawancara bersama Malaysiakini, Yun dilaporkan berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan Akta Hasutan telah membangkitkan kerunsingan mengenai hak asasi.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula tidak bersetuju dan mendakwa bahawa Akta Hasutan 1948 tidak mengekang demokrasi malah merupakan langkah pencegahan untuk memastikan tidak ada pihak menimbulkan ketegangan kaum dan agama yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Anifah malah mungkin juga percaya bahawa kenyataan Yun tidak wajar dan mengecewakan, tetapi adakah ini alasan untuk berlagak jaguh dan memanggil dan ‘memperbetulkan’ pandangan duta Amerika itu?

Alang-alang menyeluk pekasam, kenapa tidak Anifah tidak menuntut sahaja supaya Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memanggil pulang Yun dan menggantikannya dengan seorang duta yang lebih akur – dan kemudian Anifah boleh menyertai senarai panjang menteri-menteri Kabinet yang telah memperbodohkan diri sendiri di arena nasional dan antarabangsa?

Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Malaysia, Michelle Gyles-Mcdonnough telah menyatakan bahawa PBB sedang memantau keputusan Putrajaya untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 selepas Perdana Menteri melakukan pusingan-U terhadap janjinya terdahulu untuk memansuhkan undang-undang kontroversi terbabit.

Adakah Anifah juga akan memanggil Koordinator Residen PBB itu dan menegur kenyataannya yang dibuat di forum terbuka bersempena Hari Hak Asasi Sedunia 2014 bahawa ‘pihak PBB telah menyatakan pendirian jelas berkenaan Akta Hasutan, bahawa mereka percaya bahawa ia menyekat kebebasan bersuara’ sebagai tidak wajar dan mengecewakan?

Malah sebenarnya, sekumpulan pakar hak asasi PBB, termasuk David Kaye, Pelapor Khas mengenai hak dan kebebasan berhimpun dan berpersatuan; Maina Kiai, Pelapor Khas berkenaan kebebasan hakim dan peguam; Gabriela Knaul, Pelapor Khas keadaan pembela hak asasi; dan Michael Forst, Pelapor Khas keadaan pembela hak asasi, telah membuat seruan secara bersama kepada kerajaan Malaysia untuk berhenti menjenayahkan kritikan dan bantahan yang mengancam kebebasan bersuara; mereka menyatakan:

‘Akta Hasutan nampaknya digunakan sebagai cara menghalang rakyat Malaysia daripada bersuara dan berbahas, secara bebas dan terbuka, pelbagai pendapat politik serta idea.

‘Sudah tiba masanya Malaysia membuat perubahan terhadap undang-undangnya, termasuk Akta Hasutan 1948, supaya selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, dan mengambil langkah-langkah kukuh ke arah menikmati hak kebebasan bersuara.’

Adakah Anifah akan menegur Koordinator Residen PBB serta mengisytiharkan kumpulan Pelapor Khas PBB berkaitan hak asasi manusia ini sebagai ‘persona non grata’ di Malaysia dan kemudian memberi amaran kepada PBB untuk berhenti mencampuri urusan Malaysia atau sebaliknya menutup pejabat PBB dan semua agensinya di Malaysia?

Ini bukan sahaja cara yang begitu janggal untuk Malaysia meraikan hari hak asasi manusia 2014, tetapi juga sebagai meraikan keahliannya ke dalam Majlis Keselamatan PBB dan juga sebagai Pengerusi ASEAN menjelang tahun baru nanti.

Anifah wajar diingatkan bahawa Piagam PBB dengan jelas menyatakan bahawa anggota Majlis Keselamatan mesti menyumbang ke arah usaha mengekalkan keamanan sejagat serta keselamatan dan sokongan kepada tujuan-tujuan PBB yang lain, termasuk memupuk rasa hormat terhadap hak asasi manusia.

Atau adakah Malaysia akan membuktikan syakwasangka golongan yang sangsi dari kalangan masyarakat antarabangsa sememangnya betul, bahawa keanggotaan Malaysia di dalam Majlis Keselamatan, bersama-sama Angola dan Venezuela akan menjadi punca era bermasalah bagi isu-isu hak asasi manusia?

Anifah sepatutnya mendengar nasihat Gyles-Mcdonnough bahawa walaupun UN tidak mempunyai kuasa untuk memaksa Malaysia atau mana-mana negara pun untuk memansuhkan sebarang undang-undang yang bermasalah, ini tidak bermakna Malaysia akan dapat mengelak daripada perhatian masyarakat dunia, terutamanya di saat Malaysia masih lagi belum meratifikasi konvensyen-konvensyen utama hak asasi manusia seperti yang dicadangkan oleh PBB.

Anifah juga patut mengambil pengajaran daripada Laporan Hak Asasi Manusia oleh SUARAM bagi tahun 2014 yang menyatakan bahawa hak asasi manusia di bawah pentadbiran Najib telah mencapai tahap terendah.

Laporan tersebut mengatakan bahawa kebebasan bersuara telah menerima kesan buruk terhebat tahun ini, dengan 44 orang telah disiasat, didakwa atau dijatuhkan hukuman di bawah Akta Hasutan 1948.

44 orang ini termasuklah pemimpin pembangkang, aktivis, peguam, ahli akademik, pendakwah Islam dan juga mahasiswa.

Duta Amerika ke Malaysia telah memberitahu Malaysiakini bahawa Amerika terkesima dengan keputusan Najib untuk berpatah balik dan mengekalkan Akta Hasutan.

Jawapannya sangat mudah – pusingan-U Najib mengenai Akta Hasutan adalah demi memperoleh populariti segera di Perhimpunan Agung Umno, dan tidak ada kena mengena dengan sebarang penilaian keselamatan profesional terhadap undang-undang negara.

Inilah sebabnya kenapa bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menulis dalam blognya sehari selepas pusingan-U Najib mengenai Akta Hasutan dalam ucaptamanya di Perhimpunan Agung Umno pada 27 November:

“Jika Datuk Seri Najib seorang smart politician maka beliau dapat membaca tepukan gempita seluruh perwakilan menyambut pengumumannya mengekalkan Akta Hasutan 48 adalah sebenarnya penolakan seluruh UMNO terhadap kepimpinannya yang liberal dan lemah.

“Jika beliau tidak membuat pengumuman itu berarti seluruh ahli UMNO akan membenamkan beliau dan masa depan UMNO pasti hancur.”

Dakwaan Anifah bahawa Akta Hasutan 1948 tidak membantut demokrasi dan kononnya Malaysia memerlukan ‘langkah pencegahan untuk memastikan tidak ada pihak menimbulkan ketegangan kaum dan agama yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara,’ bukan sahaja suatu pembohongan malah sebenarnya mementingkan diri sendiri.

Ini adalah kerana ketegangan yang diakibatkan oleh retorik dan politik kebencian, fanatisme dan ekstremisme, lahir daripada pihak Umno-BN atau NGO yang melakukan kerja-kerja mereka, dan bukan daripada Pakatan Rakyat. Tetapi pemimpin Pakatan, aktivis dan intelektual yang dimangsakan oleh pendakwaan terpilih dan berniat jahat menggunakan Akta Hasutan.

Saya dan Anwar Ibrahim telah disiasat polis di bawah Akta Hasutan dan hanya menanti masa sebelum kami diheret ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Hasutan. Adakah ini bertujuan untuk memeriahkan demokrasi dan berlaku adil kepada pembangkang?

Akta Hasutan adalah suatu undang-undang yang lapuk dan menindas, terutamanya jika ia disalahguna di Malaysia di mana ekstremis sebenar dibiarkan bebas, sedangkan para moderat didakwa menghasut; di mana undang-undang tidak digunakan berasaskan perlakukan atau kesalahan tetapi kecenderungan politik seseorang.

Satu contoh yang baik ialah bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga perwakilan Wanita Umno Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang cuba membangkitkan konflik perkauman dan agama, kebencian dan ketengangan, dengan tuduhan tidak berasas dan bohong kononnya orang Cina di Kedah telah membakar Al-Quran helai demi helai ketika satu upacara sembahyang.

Pihak polis telah merakamkan kenyataan Mashitah pada hari Ahad, 12 hari selepas beliau membuat tuduhan tersebut, 10 hari selepas dua Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching (Kulai) dan Kasthuri Patto (Batu Kawan) bersama Setiausaha Politik saya Dyana Sofya Mohd Daud dan aktivis DAP Syefura Othman membuat laporan polis terhadap Mashitah berikutan ucapannya itu?

Kenapa pihak polis begitu berlembut dengan Mashitah sedangkan jika ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, pastinya sudah dikurung serta merta sekiranya mereka membuat ucapan bahaya dan cuai seperti Mashitah?

Adakah pihak polis tidak dapat memperolehi bukti ucapan kebencian Mashitah menuduh orang Cina di Kedah membakar Al-Quran helai demi heli dalam satu upacara sembahyang; padahal video ucapan Mashitah telah lama berada di YouTube?

Tambahan kepada itu, bagaimana Anifah mahu menjelaskan siasatan polis terhadap Adun PKR Taman Medan, Haniza Talha di bawah Akta Hasutan berikutan rencana mengkritik peruntukan belanjawan untuk projek Permata isteri perdana menteri Rosmah Mansor?

Ini jelas menunjukkan Akta Hastuan sedang dijadikan alat penindasan untuk mengekang demokrasi dan menghalang pihak pembangkang, di mana Akta Hasutan tidak digunakan berasaskan kesalahan tetapi samada orang yang terlibat datang daripada Pakatan Rakyat atau tidak; dan samada orang tersebut telah mengkritik personaliti Umno yang tidak boleh dipersoal atau dikritik, seperti Datin Seri Rosmah Mansor. – Roketkini.com