Rencana

Tiada lagi superhero politik

Suatu ketika dulu, watak-watak pemimpin atau ketua kumpulan seperti Firaun, Alexender The Great, King Arthur, Julius Cesar dan sebagainya, dipotretkan sebagai tokoh yang punya pakej kepimpinan yang lengkap. Dialah penyatu, dialah yang berpandangan jauh dan dia sajalah yang tahu tentang masa depan rakyat atau negaranya.

Begitulah Super Hero Alter Ego yang digambarkan dalam komik, Shazam sebagai Kapten Marvel yang sempurna sifatnya apabila kuasa beliau tergabung daripada dewa-dewa hebat iaitu Solomon, Hercules, Atlas, Zeus, Achilles dan Mercury. Super Hero ini kacak, gagah, romantik dan punya karisma hebat, membuatkan kita semua tewas terpesona sebelum menentangnya.

Namun dalam dunia realiti hari ini. Super Hero ini tidak lagi sesempurna imej dan karsima tokoh-tokoh terdahulu.

Siri Superman, Batman, Spiderman dan sebagainya juga digabung dalam Legion Of Heroes. Bukan lagi Super Hero individu. Sebaliknya sudah menjadi kumpulan hero menentang kumpulan samseng.

Keadaan ini muncul bukan hanya kerana kreativiti karyawan tetapi kerana faktor perubahan permintaan pasaran dalam insdutri hiburan animasi dan filem.

Pakej-pakej hero tulang besi, kuasa laser, lagak terbang-terbang, lompat-melompat dipakejkan menjadi satu kumpulan hero atau samseng yang boleh menghasilkan lebih banyak drama dan menarik minat orang ramai.

Dalam bidang sukan atau permainan pun begitu juga. Sukan berkumpulan di zaman Rom tidaklah popular, yang popular adalah pertandingan Gladiator. Pertarungan maut secara individu ini menjadi kegilaan tamadunnya.

Dalam siri olimpik purba, sukan individu lebih popular berbanding sukan berkumpulan atau berpasukan. Tetapi kini, apabila telah banyak pengetahuan dibina dan citarasa bertambah, maka yang amat popular adalah sukan berpasukan, bolasepak, American Football, ragbi dan sebagainya.

Begitu juga dalam pasaran politik. Zaman Firaun, Alexender The Great dan King Arthur sudah berlalu. Zaman mereka memang memerlukan simbol ketua yang maha sempurna kerana budaya ilmu belum cukup berkembang.

Tetapi apabila ledakan pengetahuan berlaku, maka Hitler, Mandela, Gandhi, FD Roosevelt dan Mao Zedong memerlukan pakar propagandanya, pakar strateginya, pakar ekonomi dan sebagainya. Semua itu adalah untuk menyokong satu-satu ide atau agendanya.

Sampai ke hari ini, di sini; Anwar Ibrahim juga tidak akan mampu berdiri lagi dalam politik arus perdana jika tidak ada pasukan politik yang pakar dalam bidang masing-masing untuk membantu dan bekerjasama dengannya.

Begitu juga dengan parti politik, PAS, DAP dan PKR, mereka tidak akan mampu memerintah Malaysia tanpa pakej pasukan yang lengkap.

Jika mengukur kekuatan yang dimiliki, memang PAS boleh bersendirian dan mendapat kuasa untuk memerintah, tetapi setakat Kelantan sahaja. DAP dan PKR juga begitu. Dan pemerintahan berskala sederhana ini, tidak akan mampu membawa perubahan yang signifikan kepada negara.

Mereka yang berjiwa kecil dan suka duduk dalam zon selesanya, akan berfikir apa perlunya mencari cabaran lebih besar dan berisiko tinggi dengan mengorbankan idealisme parti-parti mereka.

Maka manusia jenis ini akan memilih untuk mengambil jalan selamat iaitu sendiri-sendiri atau ikut kartel masing-masing. Inilah ide yang ditanam oleh lawan mereka, tanpa disedarinya.

Kenyatan Lim Kit Siang baru-baru ini mengenai kebimbangan beliau terhadap masa depan PR bukan sahaja berasas, tetapi juga memberi petanda yang cukup jelas iaitu parti-parti dalam gabungan PR sedang hanyut dalam kelompok zon selesa dan kepentingan agenda masing-masing.

PKR siang malam bersilat politik dengan cita-cita untuk memperkukuhkan Selangor, ianya baik tetapi adakah ia cukup bijak?

Kelantan pula setiap masa berwirid untuk meyakinkan rakyat Kelantan bahawa kerajaan mereka juga tak kurang Islamnya daripada kerajaan pimpinan Mursyidul-Amnya, Nik Aziz. Juga baik, tapi hanya untuk kumpulan-kumpulan tarbiyah mereka sajalah.

Manakala DAP pula hari ini giat membawa masuk orang Melayu ke dalam partinya, memberi kursus dan penjelasan tentang dasar, agenda dan hujahnya dalam isu-isu semasa. Bukan untuk cita-cita pertambahan keahlian semata-mata, tetapi untuk perwatakan yang lebih meyakinkan di kalangan rakyat.

Namun, ini bukan cara saya untuk memuji DAP kerana kita perlu kembali kepada hukum politik hari ini iaitu berdasarkan pakej berpasukan.

Seramai mana pun profesional Melayu yang berbakat menyertai DAP, adalah hampir mustahil dalam ranah politik hari ini DAP mampu menjadi kerajaan di peringkat pusat tanpa dukungan dan kerjasama dengan PAS dan PKR.

Selagi adanya PAS dan PKR berjuang menentang UMNO-BN, DAP tidak akan mengambil jalan sedemikian sempit. DAP mahu berkongsi kuasa, bukan monopoli kuasa seperti UMNO dalam BN, kerana sudah terbukti bahawa karektor dan formula itu ternyata gagal membawa keadilan demokrasi dan kemajuan ekonomi kepada semua rakyat.

Namun begitu, jika PKR memilih untuk berpolitik di Selangor sahaja dan PAS pula mahu keselesaan kuasa di Kelantan, maka pada ketika itu DAP akan terpaksa berfikir untuk menjadi Shazam Kapten Marvel yang bercita-cita untuk menyelamatkan dunia – Malaysia.

Mahdzir Ibrahim, ahli DAP yang juga pendukung seni dan kebudayaan