Sastera

Biri-biri hitam

Dahulu, ada sebuah negara yang semua penduduknya berkerja sebagai pencuri.

Setiap malam semua penduduk akan meninggalkan rumah dengan kunci tengkorak, tanglung berlorek dan merompak rumah jiran mereka. Mereka akan pulang ke rumah ketika subuh, dengan barang curi yang banyak, untuk kemudiannya menyaksikan barang-barang di rumah mereka habis dirompak orang lain.

Pekerjaan ini telah menjadikan seluruh penduduk hidup dalam suasana penuh harmoni, tidak ada orang yang miskin melarat kerana setiap orang yang dirompak akan merompak orang lain, yang merompak akan dirompak dan begitulah seterusnya sehingga seluruh penduduk melakukan perkara sama. Di negara ini, perniagaan dan penipuan sudah menjadi perkara biasa, baik penjual atau pembeli, keduanya sama saja. Kerajaan mereka pula dibentuk oleh organisasi penjenayah yang suka mencuri dari rakyatnya dan rakyat pula hanya tertarik untuk menipu kerajaan. Maka hidup mereka saban hari berjalan tanpa masalah, tidak ada orang kaya dan tidak ada orang miskin.

Namun pada suatu hari, entah macam mana, muncul seorang lelaki jujur. Pada waktu malam, di saat orang lain sibuk merompak jiran-jiran, lelaki itu tetap berada di rumahnya sambil membaca novel dan menghisap rokok.

Sekumpulan perompak yang tiba di rumahnya terkejut melihat keadaan rumah yang terang benderang dan akhirnya memutuskan untuk tidak masuk ke dalam.

Keadaan ini berterusan, sehingga para perompak terpaksa menjelaskan kepada lelaki itu walaupun dia mahu hidup tanpa melakukan apa-apa, tapi tidak ada sebab untuknya menghalang orang lain daripada melakukan sesuatu perkara. Setiap malam dia habiskan waktu di rumah dan tidak keluar merompak, maka akan ada keluarga yang terpaksa kelaparan pada hari berikutnya.

Lelaki jujur tersebut tidak mampu mempertahankan dirinya. Dia akhirnya bersetuju untuk keluar dari rumahnya setiap malam dan kembali semula di waktu subuh seperti orang lain, tapi dia tetap tidak mahu merompak. Dia adalah seorang yang jujur dan perkara itu tidak boleh diubah. Setiap malam, dia berjalan ke arah jambatan dan memandang aliran air di bawahnya. Setelah itu, dia akan pulang dan menemui bahawa rumahnya sudah dirompak.

Dalam masa kurang seminggu, lelaki jujur itu akhirnnya jatuh miskin, dia tidak memiliki duit untuk makan dan rumahnya telah kosong dirompak. Ini semua adalah salah dirinya sendiri. Akibat perilakunya, seluruh sistem terganggu. Si lelaki jujur telah membiarkan dirinya dirompak habis-habisan  tanpa merompak apa-apa pun dari orang lain, situasi ini menjadikan ada keluarga yang pulang ke rumah di subuh hari mendapati rumah mereka langsung tidak disentuh – yang seharusnya dirompak oleh lelaki jujur malam sebelumnya.

Keluarga yang tidak dirompak akhirnya menjadi lebih kaya dari yang lain dan berhenti merompak. Lebih merunsingkan, mereka yang pergi untuk merompak rumah lelaki jujur mendapati rumahnya sering saja kosong dan tidak ada apa yang boleh dirompak. Akhirnya, mereka ikut jatuh miskin.

Sementara itu, mereka yang sudah kaya mengikuti rutin lelaki jujur untuk berdiri di atas jambatan sambil memandang aliran air sampai subuh tiba. Perkara ini secara serta merta membuatkan suasana semakin huru-hara kerana orang kaya semakin banyak dan orang miskin pun turut bertambah.

Sekarang, warga yang sudah kaya mula sedar bahawa jika mereka berterusan menghabiskan waktu di atas jambatan saja setiap malam, lama-kelamaan mereka juga akan jatuh miskin. Lantas mereka berfikir ‘macam mana kalau kita bayar orang-orang miskin untuk merompak kita setiap malam?’.

Maka dibuatlah kontrak kerja, lengkap dengan persetujuan gaji dan bonus (tetap dilakukan dengan penipuan, kedua-duanya – kaya dan miskin – masih cuba menipu antara satu sama lain). Hingga akhirnya, yang kaya semakin kaya, yang miskin papa kedana.

Sesetengah dari orang-orang kaya ni hidup dengan harta yang melimpah ruah hingga tidak perlu lagi merompak atau membayar orang merompak untuk mereka. Tapi jika mereka berhenti merompak, mereka akan jatuh miskin kerana si miskin perlu merompak mereka. Masalah ini tidak dapat dielakkan lagi. Setelah itu, warga yang sudah kaya raya mengupah orang yang paling miskin pula untuk melindungi harta mereka dari warga miskin lain. Maka dibentuklah pasukan polis dan penjara dibangunkan.

Begitulah – beberapa tahun setelah munculnya lelaki jujur, tidak ada lagi penduduk yang bercakap tentang merompak dan dirompak, semuannya hanya tentang kekayaan dan kemiskinan tapi mereka semua tetap adalah seorang perompak.

Hanya ada seorang lelaki jujur iaitu diawal cerita ini dan dia pada waktu yang singkat, mati kelaparan. -Roketkini.com

 

*Diterjemah ke Bahasa Melayu oleh Aliff Fikri daripada terjemahan Bahasa Inggeris Tim Parks. Cerpen satira The Black Sheep merupakan salah satu karya dari buku ‘Numbers in the Dark and Other Stories’ oleh Italo Calvino.

Italo Calvino (1923-1985) adalah seorang wartawan dan penulis yang membesar di era pemerintahan diktator Benito Mussolini. Anak kepada seorang bapa yang berideologi Sosialis-Reformis ini adalah penerima The Austrian State Prize for European Literature (1976) dan National Order of the Legion of Honour (1981).