Rencana

Sebutlah nama Tuhanmu tanpa halangan

Apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengatakan bahawa tidak ada halangan untuk orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah ‘Allah’, beliau tidak membuat sebarang pernyataan undang-undang yang baharu, ataupun membuat keputusan unilateral terhadap persoalan boleh atau tidak warga bukan Islam menggunakan kalimah suci tersebut.

Lim Guan Eng sekadar menyatakan fakta yang sedia ada. Seperti menyatakan bahawa langit warnanya biru, dan rumput warnanya hijau. Tidak ada halangan untuk orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah. Tidak ada undang-undang yang menghalang. Tidak ada fatwa juga.

Dan kalau pun ada fatwa, itu juga tidak mengikat warga bukan Islam. Sepertimana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam, begitulah juga fatwa tidak memberi sebarang kesan terhadap orang bukan Islam. Ini asas mudah yang tidak perlu diputarbelit atau disalah-erti.

Tidak ada keputusan, arahan, pendapat, atau apa-apa yang sewaktu dengannya telah dikeluarkan oleh Lim Guan Eng mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan orang Islam. Tidak ada. Guan Eng tidak buat salah apa-apa.

Memang bukan kerja Guan Eng untuk mengeluarkan sebarang pendapat atau arahan atau deklarasi tentang hal itu. Guan Eng bukan ketua agama Islam di negeri Pulau Pinang.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan serta mendaulatkan undang-undang, Guan Eng sekadar memaklumkan warga Pulau Pinang apa hak yang mereka miliki dalam hal penggunaan kalimah ‘Allah’ berlandaskan undang-undang yang terpakai kepada mereka.

Tidak ada undang-undang seperti Enakmen Agama bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 seperti yang wujud di Selangor. Enakmen tersebut menghalang penggunaan beberapa perkataan yang dirasakan khusus terkait agama dan umat Islam, daripada digunakan oleh orang bukan Islam.

Enakmen sedemikian perlu melalui Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum sebarang larangan boleh dipaksakan ke atas warganya.

Maka Lim Guan Eng berkata benar. Tidak ada halangan bagi orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ di Pulau Pinang. Beliau tidak menghasut, beliau tidak berbohong, beliau tidak menyatakan keputusan peribadi. Demikian undang-undang di Pulau Pinang setakat ini.

Kita memahami pertelagahan mengenai isu kalimah ‘Allah’ ini bukanlah suatu perdebatan keagamaan. Sekian banyak ilmuwan Islam telah pun memberikan buah pandangan dan bersetuju bahawa Allah adalah milik sekalian alam. Tidak perlu ada halangan terhadap mana-mana pihak daripada menggunakan kalimah tersebut.

Di saat nama Tuhan dipergunakan kumpulan-kumpulan yang mendakwa diri mereka mujahidin dan memenggal kepala orang awam di Timur Tengah, kita di Malaysia kalut dengan sama ada orang bukan Islam dibolehkan menggunakan nama Allah.

Hairan bagaimana umat Islam di Malaysia merasakan iman dan aqidah mereka begitu mudah digugat dan diri mereka begitu mudah terkeliru dengan sekadar memanipulasi nama dan simbol.

Apa agaknya reaksi golongan yang begitu sensitif ini apabila berhadapan masyarakat Iban di Sarawak yang beribadah pada setiap Hari Kudus (hari Ahad) dengan nyanyian dan doa memuji Tuhan dalam Bahasa Melayu?

Barangkali melompatlah mereka ini menghukum kafir terhadap negeri Sarawak apabila melihat pasar malam di Sibu sebagai contoh berjualan makanan halal dan tidak halal sebelah menyebelah, dengan arak dan tuak dihidang tuai rumah panjang selepas makan nasi tengah hari.

Adakah sekiranya Ketua Menteri Sarawak menyatakan bahawa di Sarawak, orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah ‘Allah’, akan ada makhluk yang membuat laporan polis terhadapnya dan mengatakan bahawa beliau anti-Islam dan cuba menggugat agama Islam dan mengancam kuasa orang Melayu? – Roketkini.com