Berita

Islam meraikan kepelbagaian, bukan pemaksaan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: 22 orang aktivis muda Muslim hari ini menyeru moderat Malaysia agar bersuara dan mengajak ke arah dialog, demi memelihara maruah agama daripada dicemari oleh golongan yang mahu menerapkan hukum-hakam secara paksaan.

Dalam satu kenyataan bersama mereka menegaskan, satu-satunya jalan untuk menghindarkan agama daripada menjadi sasaran fitnah adalah dengan mengadakan dialog terbuka.

“Kegagalan kita untuk bersuara hanya membuka ruang kepada golongan yang mentafsirkan agama secara sempit dan akhirnya akan membawa aib tidak tertanggung oleh semua penganut Islam,” kata mereka

Menurut mereka, Islam sentiasa meraikan kepelbagaian pandangan, namun apabila ia dijadikan sebagai undang-undang negara, maka tiada lagi ruang untuk berbeza pendapat.

“Kemungkinan besar atas sebab inilah Imam Malik bin Anas membantah apabila khalifah mahu mengangkat kitabnya, al-Muwatta, sebagai undang-undang negara.

“Perlu difahami bahawa penerapan undang-undang Islam secara melulu tanpa melalui proses rundingan akan memberi dampak sangat besar terhadap semua rakyat Malaysia, Muslim dan bukan Muslim,” tegasnya.

Tegas mereka lagi, tidak ada apa yang menguntungkan jika Islam dilihat sebagai agama pemaksa tanpa mempedulikan hak kaum dan penganut agama lain mahu pun terhadap perubahan zaman.

“Memelihara maruah Islam sebagai agama yang menganjurkan semangat syura sepatutnya diterjemahkan dalam bahasa kini sebagai ‘deliberative democracy’ iaitu demokrasi berasaskan wacana, perbahasan dan dialog.

“Quran telah menyatakan bahawa penerapan sesuatu yang baik secara paksa dan keras pasti akan membuatkan khalayak melarikan diri. Dalam surah ‘Ali Imran’ ayat 159 Rasulullah telah diperintah untuk berdialog,” ujarnya.

Kenyataan bersama ini telah ditandatangani oleh Pengasas Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) Amin Ahmad, Pengurus Program Sisters in Islam Suri Kempe, penggiat Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) Siti Fatimah Zaini, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang Haris Zuan Jaharuddin, Penyelaras Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) Eekmal Ahmad dan 17 yang lain.

17 yang lain adalah Pengurus Editor Projek Dialog Ahmad Fuad Rahmat, Pensyarah Fakulti Perubatan UPM Dr Irma Ismail, Penyelidik Sisters in Islam Muhammad Afiq Mohamad Noor, Ahli Sekretariat Politik IKRAM Siswa Nasional Wan Mohd Salman, penulis Raja Ahmad Iskandar Fareez Raja Shamsul, Penyelidik Penang Institute Altaf Deviyati, penyampai BFM Kupas Edry Faizal Yusof dan Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Selebihnya ialah Penyelaras Pengasas Kelas Pencerahan Tarmizi Anuwar, Penyelaras Lingkaran Islam Tradisional Al-Mustaqeem M Radhi, penggiat Sekolah Pemikiran al-Syatibi Melati Rahim, Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (INSANI) Mohd Farhan Nor Affandi, penggerak Kelab Bangsar Utama Sidiqin Omar, Editor Jalantelawi.com Ammar Gazali, Pengasas Obscura Hafiz Hamzah, Pengarah Urusan Merpati Jingga Faisal Mustaffa dan Muhammad Nazreen Jaafar dari Lingkaran Islam Tradisional.

Kumpulan aktivis muda Muslim ini turut menyatakan penghargaan kepada 25 orang tokoh pentadbir Melayu yang menerbitkan surat terbuka kepada rakyat Malaysia beberapa hari lalu. – Roketkini.com