Berita

Rampas buku Kristian: Polis perlu minta maaf sebelum Krismas

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Polis perlu meminta maaf dan mengembalikan semula 31 buku Kristian yang dirampas agar sambutan Krismas tahun ini dapat menjadi permulaan baru ke arah toleransi agama, persefahaman dan keharmonian negara, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Dengan sambutan Krismas hanya tinggal seminggu lagi, saya menyeru kepada pihak polis untuk mengakhiri tahun ini daripada terus mengganggu masyarakat Kristian dengan menyatakan permohonan maaf dan mengembalikan semula 31 buku pujian kepada Paderi Katolik Cyril Mannayagam kerana ia adalah untuk kegunaan Orang Asli.

“Polis perlu meminta maaf berikutan tindakan mereka yang menyalahi undang-undang apabila menggunakan Seksyen 298A Kanun Keseksaan sedangkan ia telah pun ditolak oleh Mahkamah Agung pada tahun 1988,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga  mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Wan Jaafar supaya menyarankan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk segera meminta maaf dan mengembalikan buku pujian tersebut sebelum Krismas.

Mantan Presiden Majlis Peguam Negar Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini turut bersepandangan dengan Kit Siang dan menggesa pihak berkuasa berhenti mengganggu masyarakat Kristian.

Ambiga berkata, Perjanjian Sepuluh Perkara berkaitan perkara itu harus dijelaskan kepada pihak polis dan pegawai penguatkusa lain. – Roketkini.com