Berita

Majlis Perbandaran Pulau Pinang bakal terima status Bandaraya

GEORGE TOWN, 18 DIS: Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal ditukar status kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui surat rasmi dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 10 Disember lalu.

“Kini, kita (kerajaan negeri) hanya menunggu perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan butiran lanjut akan dimaklumkan sejurus selepas mendapat perkenan,” katanya ndalam sidang media di KOMTAR.

Tambahnya, surat kabinet pada 7 November itu turut meluluskan permohonan tambahan pegawai dan kakitangan baru.

“Satu lagi kelulusan berkenaan semakan sempadan pentadbiran bandar majlis yang baru, yang akan termasuk kawasan tebus guna.

“Apa-apa permohonan untuk pembangunan akan datang akan dibuat di bawah majlis bandaraya yang baru yang sebelum ini dikendalikan jabatan perancangan bandar negara,” ujarnya.

Tambah Chow butiran lanjut berhubung penaiktarafan Majlis Bandaraya Pulau PInang (MBPP) akan diumumkan selepas perisytiharan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini menyatakan bahawa permohonan menaiktaraf MPPP ke status bandaraya telah dibuat sejak 2010, sejurus selepas George Town dianugerahkan status Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan PBB (UNESCO). – Roketkini.com