Berita

Pelampau ‘menang’ kerana orang baik berdiam diri

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Sejarah membuktikan kelompok pelampau ‘memenangi’ wacana umum bukan kerana mendapat sokongan ramai, sebaliknya kerana majoriti orang ramai yang baik dan sederhana mendiamkan diri, kata kumpulan NGO Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

GBM dalam kenyataannya menyokong penuh surat terbuka sekumpulan 25 profesional, bekas pegawai tinggi dan ahli akademik yang menggesa kerajaan mengadakan wacana awam dan kedudukan undang-undang Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen.

“Terdapat keperluan sebenar perundingan melibatkan pakar-pakar pelbagai bidang, termasuk undang-undang Islam dan Perlembagaan selain mereka yang terkesan oleh penguatkuasaanya

“Rundingan bersama pakar dan pihak berkepentingan untuk perkara berkaitan proses undang-undang undang-undang perlu dilaksana dalam suasana jernih dan saling menghormati,” kenyataan GBM dipetik.

Kenyataan bersama itu ditandatangani bersama antaranya oleh Pertubhan Ikram Malaysia (IKRAM). Progresif India Malaysia (MIPAS), Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan dan Yayasan Usman Awang.

Dalam pada itu GBM menyelar sebarang gesaan untuk menggunakan Akta Hasutan bagi menutup mulut kumpulan 25 profesional, bekas pegawai tinggi dan ahli akademik itu.

“Kami bimbang dengan perkembangan ini. (Sedangkan) Perdana Menteri telah pun memungkiri janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan. Tindakan kumpulan 25 individu bekas pegawai \tinggi kerajaan itu seharusnya dijadikan tauladan.

“Kami menyokong mereka dan menggesa rakyat Malaysia yang lain melakukan perkara yang sama,” kata GBM.

Justeru itu gabungan NGO itu menegaskan agar usaha menghentikan segala bentuk ekstremisme, ucapan berbentuk kebencian atau ancaman untuk melakukan keganasan dilaksana serta-merta.

“Dan rakyat Malaysia perlu melibatkan diri dalam wacana sihat, rasional dan sivil, menekankan isu-isu nasional dan menutup suara-suara kebencian dan pelampau,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com