Rencana

Hudud: DAP sedia berdebat dengan PAS

Cabaran Ahli Majlis Syura Ulama PAS Zaharudin Muhammad untuk berdebat dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengenai undang-undang hudud adalah sesuatu yang agak pelik. Nampaknya Zaharudin, yang juga menantu Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang benar-benar serius mahu mengetahui pendirian DAP mengenai hudud.

Namun sekiranya beliau membaca atau berbincang dengan mana-mana pemimpin DAP, beliau pastinya tahu bahawa pendirian DAP mengenai hudud dan pelaksanaannya, seperti yang disebut Saudara Lim Kit Siang, adalah sama dengan pendirian yang diambil oleh tiga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein – bahawa undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan asas sebuah negara sekular dengan Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan dan kebebasan beragama yang dijamin buat agama-agama lain.

Sebagai seorang rakyat Malaysia beragama Islam, saya sesungguhnya percaya bahawa keutamaan kita seharusnya diletakkan kepada usaha membanteras rasuah dalam negara; lagipun rasuah merupakan akar segala kejahatan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Oleh yang demikian, saya ingin melontarkan cabaran ini kembali kepada Zaharudin Muhammad; biar sahaja kita berdua berdebat tentang hal ini. Kita sewajarnya berbincang tentang hal ini berasaskan fakta dan bukan emosi mentah mahupun sebarang bentuk ancaman, supaya seluruh Malaysia dapat memahami betapa seriusnya isu ini.

Zaharudin harus faham bahawa garis pemisah di antara negara sekular dan negara Islam di Malaysia ini seringkali diabaikan, dan natijahnya, ramai antara kita sering lupa bahawa Perlembagaan Persekutuan ternyata bersifat sekular.

Sekular tidak bermakna DAP menentang Islam, atau apa jua agama lain. Maksud sekular ialah supaya kita dapat bertoleransi, bermesra dan menghormati semua agama. Kami percaya bahawa semua orang dilihat sama di mata undang-undang.

Sekali lagi PAS telah menunjukkan sisinya yang sebenar melalui berahinya untuk melaksanakan hudud – walaupun jika ia hanya akan dilaksanakan di Kelantan.

Tidak kisahlah kalau Malaysia ini negara yang berbilang kaum dan berbilang budaya di mana undang-undang sedia ada telah dirangka oleh para leluhur untuk melindungi setiap seorang warganegara dengan pengadilan moral yang sebaiknya secara adil.

Tidak kisahlah jika ini akan dengan sendirinya menjahanamkan apa yang telah diusahakan oleh Pakatan Rakyat – untuk meletak tepi perbezaan dan bersatu sebagai sebuah perikatan politik demi perubahan yang sangat-sangat diperlukan di negara ini.

Tidak kisah jugalah jika hal ini akan merosakkan semangat pengundi, terutamanya saudara senegara yang bukan beragama Islam yang telah setulus hati mempercayai slogan ‘PAS-4-All’.

DAP adalah sebuah parti yang percaya dengan usaha mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan gender. Kami percaya dengan usaha mendaulatkan kesaksamaan dan solidariti.

Kami percaya dengan kepentingan mengekalkan keharmonian hubungan antara kaum dengan sesama warga Malaysia dari setiap lapisan, kerana inilah maksud demokrasi dan kemajuan evolusi sosial. Hidup dalam masyarakat berbilang budaya, menjadi fitrah untuk kita mempersoalkan idea ini secara panjang lebar.

Mungkin Zaharudin patut bertanya pada dirinya, adakah beliau menentang demokrasi, kebebasan, keadilan sosial, hak asai manusia, kesaksamaan gender dan peluang saksama?

Syerleena Abdul Rashid, Setiausaha DAPSY Bukit Bendera merangkap Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera