Rencana

Kos-peluang politik, dan aturan awlawiyat dalam PAS

Slogan ‘PAS untuk semua’ tidak membawa erti bahawa falsafah teologi PAS boleh diterima semua pihak. Sebagai parti Islam yang menggunakan agama sebagai falsafah politiknya, PAS pastinya sedar bahawa agamanya itu melarang pemaksaan dalam beragama.

Hakikatnya, meski Islam bukanlah agama yang payah dan memayahkan, ia bukan sebuah doktrin yang mudah diterima oleh ramai orang.

Bahkan orang yang lahir muslim pun belum tentu menerima keseluruhan ajaran dan kewajiban yang digariskan agama. Apatah lagi jika dipaksakan ke atas orang bukan Islam.

Ini asas Islam sebagai agama rahmat yang menjanjikan damai. Sekiranya tidak dirasakan rahmat dan menggugat kedamaian, hampir saja hal itu wajar dihukum tidak Islami. Contohnya seperti pembantaian ratusan anak-anak di Peshawar oleh kumpulan Taliban. Tidak ada justifikasi Islami yang boleh diatributkan kepada pembantaian tersebut.

Meski Taliban mengemukakan dalil menghalalkan perbuatannya, masyarakat Islam di dunia sebelah sini masih menggeletar kepala lutut membayangkan betapa dahsyatnya sengsara yang disaksikan mangsa-mangsa Taliban, sambil menuturkan sumpah dan laknat ke atas para pembunuh tersebut. Malahan ramai turut mendoakan supaya mereka lekas ke neraka.

Demikian adanya fitnah akhir zaman yang menguji akal dan nurani umat manusia. Fitnah terhadap Islam didatangkan oleh umat Islam sendiri. Lebih menjahanamkan lagi, umat Islam yang memfitnah agamanya itu pula mengakui dirinya pembela agama. Ini dia golongan yang disebut dalam bidalan Melayu sebagai kumpulan ‘kecil-kecil tak mahu mati, sudah besar menyusahkan orang’.

PAS seharusnya belajar daripada kesilapan-kesilapan demikian banyak gerakan Islam di seluruh dunia yang telah mengambil jalan pintas untuk memajukan maksud-maksud organisasi mereka, dan mengenepikan tuntutan yang lebih awla.

Tulisan Dr Yusuf al-Qaradawi tentang fiqh awlawiyat (dimelayukan menjadi fiqh keutamaan) secara mudah di awal-awalnya lagi memberitahu kita betapa banyak hal yang perlu didahulu dan dikemudiankan, dan apa yang lebih penting dan kurang penting. Beliau mendatangkan contoh-contoh seperti kelebihan solat secara berjemaah ketimbang solat sendiri-sendiri, kelebihan berjihad sehari semalam berbanding berpuasa sebulan, serta kelebihan jihad berbanding solat sendirian di rumah selama tujuh puluh tahun.

Beliau turut memuatkan sepotong qasidah Abul-Fath al-Bisti yang antara lain menyebut ‘Apakah engkau hendak memperoleh keuntungan dari sesuatu yang mengandung kerugian?’

PAS, bersama rakan-rakan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat perlu hadam tulisan Qaradawi, dan memikirkan untung apa sebenarnya yang ia mahukan atas balasan kerugian yang bagaimana pula. Kena juga dengan konsep ‘ekonomi selimut singkat’ yang pernah kita bincangkan dahulu.

Ekonomi selimut singkat ini barangkali lebih mudah difahami dengan berlatarkan kisah syahidnya Mus’ab bin Umair dan juga Hamzah bapa saudara Rasulullah yang masing-masing diriwayatkan tidak cukup kain ketika mahu dikafankan jenazahnya. Tutup di kaki, kepala terdedah; dan begitulah sebaliknya.

Ketegasan PAS dalam agenda pelaksanaan hudud adalah sesuatu yang memang patut dipuji. Namun demikian puji-pujian ini tidak boleh keterlaluan, memandangkan ia tidak begitu cerdik kerana ketegasan ini wujud tanpa pertimbangan awlawiyat yang betul.

Di kala umat berhadapan dengan permasalahan ekonomi yang kian banyak memiskinkan orang dan menjadikan orang ramai kian terdesak dan tertekan hatta barangkali terpaksa mencuri untuk sesuap nasi buat anak isteri, PAS gagal menangani masalah utama tersebut secara berkesan. Sebaliknya ia giat dengan persoalan melaksanakan hudud.

Hudud tidak menyelesaikan masalah kebajikan rakyat. Hudud juga tidak menyelesaikan masalah kebanjiran penduduk pantai timur di laman-laman web lucah sepertimana yang dilaporkan beberapa hari lalu. Kedua-dua Kota Bharu dan Kuala Terengganu menduduki tempat teratas dalam carta waktu purata yang dihabiskan di laman web lucah.

(Rujuk laporan The Star: Pantai Timur Malaysia tertinggi layari laman web lucah, kata syarikat video)

Pastinya PAS boleh menghasilkan jalan keluar yang lebih baik untuk menangani masalah-masalah asas umat Islam di Malaysia selain daripada ketergesaannya mahu melaksanakan hudud.

Sebagai parti yang sudah lama bergulat dalam realpolitik negara, PAS pastinya tahu bahawa isu pelaksanaan hudud tidak pernah memberikannya sebarang kelebihan dalam waktu pilihanraya. Justeru ia langsung tidak berani berucap tentang hudud jenuh berkempen dalam PRU ke-13 tahun lalu.

Hanya selepas itu barulah ia kembali rancak dengan agenda hududnya, yang tidak pernah pun dipersetujui dalam kerangka Pakatan Rakyat sekarang. Ya, meski agenda tersebut sekadar ingin direalisasikan di Kelantan, negeri Cik Siti Wan Kembang itu masih sebahagian daripada Malaysia. Justeru konsensus nasional seharusnya dihormati dan terus disepakati.

Pastinya juga PAS mempunyai kebolehan untuk menghasilkan program dan agenda yang lebih baik dan menarik sebagai sebuah parti dakwah untuk mendekati dan meyakinkan pengundi-pengundi Melayu selain menggunakan janji-janji hudud dan negara Islam.

Apakah PAS sedemikian dangkal dan tenggelam punca hanya mampu untuk bercakap tentang hudud sahaja, dan membiarkan skandal-skandal ekonomi dan rasuah diperkatakan oleh dua tiga kerat pemuka-pemuka ‘Erdogan’? Takkanlah PAS sampai macam itu sekali.

PAS juga pastinya sedar bahawa survival politiknya kini berada di persimpangan. Nak berpadu dengan Umno, mati hidup balik pun tak sanggup. Meski ada dua tiga kerat lain yang sanggup tidur sebantal dengan Umno demi cita-cita menyaksikan orang dipenggal kaki tangan di atas pentas di hadapan khalayak.

PAS harus terus kekal di dalam Pakatan Rakyat, kerana tanpa Pakatan Rakyat, hampir sahaja tidak ada sokongan golongan bukan Islam, dan Islam yang tak berapa nak Islam terhadap PAS. Seperti yang disebut awal tadi, bukan semua orang suka dipaksa-paksa menerima faham agama dan dasar-dasar kerajaan, undang-undang dan kehidupan berasaskan nilai-nilai Islam.

Seandainya PAS berdegil juga, ia akan berhadapan kehilangan saki baki sokongan pengundi bukan Islam dan Melayu Islam yang tak begitu berdisiplin dalam amalan agamanya, yang mengundi PAS kerana ia membawa panji-panji Pakatan Rakyat.

Lebih menjahanamkan lagi, rakyat boleh sahaja turut menolak DAP dan PKR kerana dilihat bersekongkol dengan PAS dan merelakan PAS berbuat sesuka hati tanpa mempedulikan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah disefahami sejak 2009; dan lantas meleburkan impian untuk melengser Umno dan Barisan Nasional yang hari demi hari terus menindas rakyat terbanyak.

Jadi bagaimana rupabentuk susunan keutamaan PAS? Apa yang sanggup ia gadaikan, dan untuk keuntungan yang bagaimana? Dan bagaimana pula ia mahu kekal menjadi sebuah parti politik yang mesra semua pengundi, tanpa mengira agama, keturunan, daerah, jantina dan latar pendidikan; sambil ia cuba memaksakan iman dan faham agamanya ke atas yang selain daripada kelompoknya?

DAP tidak memaksakan fahamannya ke atas mana-mana organisasi. Sebagai parti yang menghormati demokrasi, ia bertindak berasaskan apa yang disepakati dan memberi maslahah kepada majoriti. Seandainya ada bahagian-bahagian masyarakat yang menerima kesan buruk daripada sesuatu langkah, meski langkah itu baik; ia pastinya akan disuarakan.

Kalau bukan DAP yang mahu bersuara bagi pihak minoriti dan para mustadh’afiin dalam kerajaan yang memaksa dan terpaksa; siapa lagi yang harus menggalas tugas itu? – Roketkini.com