Rencana

Buka peluang untuk wanita bekerja tak jejas peluang lelaki

Hak kesamaan gender – Membuka ruang kerjaya kepada wanita tidak bererti menjejaskan peluang lelaki; lelaki tidak perlu takut kerana penyertaan wanita di sektor awam dan swasta akan lebih memanfaatkan negara

Tanggapan bahawa hanya kaum lelaki merupakan pencari nafkah dalam sesebuah keluarga dan peranan kaum wanita tidak lain hanya terbatas kepada penjagaan anak-anak adalah tidak relevan dalam konteks semasa dan merupakan satu diskriminasi terhadap wanita.

Bertentangan dengan apa yang dinyatakan kumpulan Islamis konservatif Isma,Malaysia tidak mungkin akan mencapai status Negara maju berpendapatan tinggi selagi isu-isu yang mencakup persoalan-persoalan seperti stereotaip gender, terutama dari segi ekonomi dan hak-hak asasi manusia, masih tidak di atasi dan dibiarkan berterusan.

Kenyataan Dr Nur Farrah Nadia Najib, ketua biro perkumpulan wanita dan masyarakat Isma, dalam kenyataannya:

“A high income nation must not rely on women as the major contributor but men should lead the workforce and put their biggest effort in shaping the nation.

Kenyataan ini sungguh pesimistik dan mengecewakan harapan wanita dalam usaha menuntut keadilan.

Usaha untuk meningkatkan status wanita dalam mendapatkan hak kesamaan dengan lelaki dalam sektor korporat adalah antara isu-isu yang diperjuangkan oleh perkumpulan-perkumpulan hak wanita. Tuntutan-tuntutan seperti ini merupakan agenda yang memerlukan sokongan padu setiap lapisan dan golongan dalam masyarakat.

Hari ini, jumlah wanita di peringkat pengajian ijazah jauh melebihi lelaki. Walaupun begitu, hakikatnya peluang kemercu kerjaya kepada wanita rata-rata amat terbatas dan pada bidang-bidang tertentu ia hamper dinafikan.

Kerajaan perlu membuka peluang untuk wanita

Walaubagaimanapun, kalau hanya sekadar menyeru wanita menyertai bidang pekerjaan ia adalah tidak mencukupi. Apa yang lebih berkesan untuk menggalak lebih ramai kaum wanita tampil menyumbang bakatdan kemahiran mereka terhadap pertumbuhan ekonomi ialah kerajaan perlu mengambil langkah-langkah pro-aktif dengan menjamin kaum wanita, yang merupakan separuh daripada jumlah penduduk Negara ini, diberikan kedudukan dan pengiktirafan yang sewajarnya.

Dengan membuka lebih ruang dan peluang kerjaya seganding kaum lelaki tidak bermakna menafi dan menjejaskan status quo kaum lelaki. Kehadiran lebih ramai wanita dalam khidmat kerjaya dalam sektor awam dan swasta akan memanfaatkan negara dan semua pihak. Kehadiran wanita akan memberi diversiti dalam perspektif dan dinamisma yang diperlukan demi memantapkan persaingan ekonomi di peringkat global.

Peluang wanita Malaysia masih terbatas

Pada tahun 1995, Malaysia menandatangani perjanjian PBB –  United Nations Convention On The Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang juga dikenali sebagai Treaty for Women’s Equality- yang menekankan keperluan meningkatkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan serta peluang penyertaan yang lebih seimbang dalam proses membuat keputusan.

Persidangan tersebut menjadi asas dalam kerangka membina hak kesamaan menerusi langkah-langkah menjamin peluang-peluang untuk wanita bergiat dalam politik, pendidikan, kesihatandan pekerjaan.

Pada tahun 2000, Malaysia menganggotai The Millennium Development Goals (MDGs), sebuah initiatif global yang bertujuan mempromosikan kesamaan gender menjelang 2015 – tinggal beberapa minggu lagi. Inisiatif ini dianggap sebagai suatu usaha amat penting demi menghormati dan menghargai sumbangan-sumbangan para wanita kepada masyarakat.

Namun dengan segala usaha tersebut, kedudukan Malaysia dalam laporan the World Economic Forum (WEF) Global Gender Gap 2014 menunjukkan kedudukan Malaysia dalam survey ‘gender gap’ telah jatuh menjadi sebuah dari 10 dalam kumpulan terendah dalam ranking dunia. Ini tentunya member impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Bandingkan dengan negara Jepun, jumlah penduduk kurang lebih 127.34 juta (2013) yang sejak 1989 mengalami kadar jumlah penduduk mengecut (decreasing) disebabkan antara lain isu-isu dan kompleksiti berkaitan dengan pembangunan perbandaran moden dan pengindustrian.

Jika Malaysia mahu tiru Jepun, perlu fahami budaya masyakaratnya.

Oleh yang demikian Isma telah silap kerana menyatakan bahawa Negara Jepun member contoh yang cukup unggul kepada Malaysia bahawa kita (Malaysia) juga boleh mencapai status negara maju berpendapatan tinggi seperti negara Jepun dan pada masa yang sama bataskan peranan wanita di rumah. Ini jelas menunjukkan Isma membuat analisis tidak tepat dan tidak memahami budaya masyarakatJepun yang sebenar.

Jepun sebenarnya masyarakat konservatif dan mengamal nilai-nilai dan system patriarki. Dalam masyarakat Jepun sehingga kini peranan gender masih kekal dan dikawal ketat, dan ini membataskan kebebasan, mobility dan hak-hak wanita Jepun. Faktor-faktor ini berkemungkinan besar menghadkan atau mengurangkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan. Dan ini jelas tiada apa yang menarik dan cantik dalam persoalan ini.

Baru-baru ini PM Jepun, Shinzo Abe telah membuat kenyataan untuk menggalakkan lebih ramai wanita tampil menyumbang tenaga mereka dalam sector pekerjaan. Ini jelas menunjukkan telah timbul kesedaran dalam masyarakat konservatif Jepun bahawa Negara mereka perlukan tenaga wanita sama seperti mereka perlukan tenaga kaum lelaki dalam usaha menangangi kegawatan ekonomi yang dihadapi mereka dan bagi Malaysia diharapkan akan ambil iktibar dalam menghadapi masalah yang sama.

Hak kesamaan gender bukan bererti wanita mengambil alih tugas. Ia bermaksud wanita dan lelaki berganding bahu untuk sama-sama memajukan diri, keluarga, masyarakatdan negara. Tiada manusia mempunyai hak untuk menindas manusia lain, tidak kira gender, kaum, kepercayaan atau pangkat. -Roketkini.com

Syerleena Abdul Rashid, Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Bendera dan Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Bukit Bendera