Berita

Tadbir urus baik perlu dijadikan keutamaan, bukan hudud

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Cita-cita PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan akan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ujarnya, penguatkuasaan hudud yang didakwa hanya terpakai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah salah, kerana pindaan Perlembagaan akan mengakibatkan semua rakyat tertakluk kepada undang-undang tersebut.

“PAS tidak seharusnya meninggalkan tadbir urus baik untuk mempercayai bahawa UMNO akan membantu melaksanakan undang-undang hudud yang mana sekaligus mengubah asas Perlembagaan dan melambatkan usaha bersama Pakatan Rakyat (PR) menyelamatkan negara dari rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Semua rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan akan dirombak dan berubah apabila undang-undang hudud dilaksana daripada asas pentadbiran awam apabia hudud dilaksana di bawah ‘satu negara, dua sistem jenayah’.

“Rakyat bukan beragama Islam juga tahu bahawa hudud adalah langkah pertama ke arah membawa pelaksanaan sepenuhnya undang-undang itu kepada semua termasuk bukan Muslim pada masa akan datang,” ujar Guan Eng.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut bimbang cita-cita PAS itu juga akan menyebabkan sokongan terhadap PR merudum.

Katanya, hudud bukanlah jalan penyelesaian atau isu yang akan mendapat sokongan majoriti pengundi.

Jelas beliau, PAS harus ingat sebahagian besar kemenangan PR pada Pilihanraya Umum (PRU) 2008 dan 2013 lalu berpunca dari sokongan masyarakat berbilang kaum, dan amanah yang diberikan sama sekali tidak boleh dikhianati.

“Dengan mengikuti perkembangan selepas PRU tahun lalu, terdapat kecurigaan kuat bahawa PAS meninggalkan tadbir urus baik kerana tidak yakin memenangi sokongan pengundi dan berdiri atas rekod kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan.

“Nampaknya PAS lebih mempercayai dan bergantung kepada janji bahawa UMNO akan menyokong undang-undang hudud sedangkan UMNO sendiri telah berulang kali melanggar janji-janji mereka.

“Najib (Perdana Menteri) telah gagal memenuhi janjinya sebanyak tiga kali untuk memansuhkan Akta Hasutan dan meningkatkan BR1M daripada RM650 kepada RM1,200 yang dibuat dalam manifesto PRU tahun lalu,” ujar Ahli Parlimen Bagan itu. -Roketkini.com