Berita

“Orang Melayu telah berubah, Dr Mahathir belum”

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Helah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menggunakan momok politik kebencian agar UMNO meraih sokongan tidak akan berjaya kerana orang Melayu sudah muak dengan mereka.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, Mahathir sepatutnya ‘cermin dahulu’ apa yang telah UMNO lakukan sebelum membuat dakwaan karut bahawa orang Melayu menjadi pengemis politik.

“Orang Melayu tidak pernah dan tidak akan menjadi pengemis di negara ini.

“Orang Melayu telah berubah dan landskap politik negara ini juga telah berubah, tapi Mahathir langsung tidak pernah berubah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Teresa, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar dan terbukti apabila beberapa aduan parti komponen BN sendiri menunjukkan bahawa mereka tidak pernah mendapat layanan saksama.

“Mungkin Mahathir telah lupa apa yang pernah dikatakan bekas Presiden Gerakan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik tentang pengemis politik.

Pada Mei 2008, Lim dalam satu wawancara bersama Sin Chew Daily menyebut bahawa UMNO memberi layanan pengemis kepada parti komponen BN bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Gerakan serta bukannya secara saksama.

Dalam wawancara itu, Lim juga menyatakan walaupun Gerakan mendukung politik pelbagai kaum, namun mengalami kekalahan teruk akibat calonnya bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu.

“Kenapa orang bukan Melayu marah dengan BN? Kerana keangkuhan UMNO, parti dominan dalam BN.

“Orang ramai tidak selesa dengan kenyataan berunsur perkauman dilontarkan pemimpin UMNO menjadi penyebab semua parti komponen BN menderita dalam pilihanraya,” kenyataan Lim dari laporan tersebut.

Kata Teresa, ucapan kebencian dan ancaman dalam Perhimpunan Agung UMNO membuktikan bahawa parti itu tidak pernah berubah.

“Dengan UMNO meneruskan keangkuhannya, MCA, Gerakan dan MIC pula terus menjadi pengemis dalam BN.

“Bagaimana UMNO boleh mengharapkan ketiga-tiga parti ini dapat melakukan sesuatu PRU nanti jika mereka berterusan dianggap sebagai pengemis?,” soal Ahli Parlimen Seputeh itu. – Roketkini.com