Berita

Separuh tenaga kerja Malaysia hilang jika wanita ikut nasihat ISMA supaya berhenti kerja

Gambar: Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu Kelantan yang majoriti peniaga dan pekerja adalah kaum wanita.

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Jika negara menerima cadangan ISMA supaya hanya lelaki bekerja, ekonomi Malaysia akan lumpuh dengan hilangnya separuh tenaga kerja negara.

Setiausaha Politik kepada Ketua Ahli Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud berkata, cadangan Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Johor Dr Nur Farrah Nadia Najib supaya wanita membiarkan lelaki sahaja menguasai bidang pekerjaan untuk membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi adalah tidak masuk akal serta bersifat diskriminasi terhadap wanita.

“Apakah pemimpin ISMA mahu separuh dari populasi negara ini berhenti kerja dan duduk saja di rumah untuk membesarkan anak? Apakah beliau mahu wanita yang mewakili separuh dari tenaga kerja negara berhenti kerja hari ini?

“Jika kita mahu bersetuju dengan ISMA, siapa yang hendak ganti tenaga kerja yang sebanyak 50 peratus itu? Dengan kadar pengangguran yang tinggi, bagaimana Malaysia hendak jadi negara berpendapatan tinggi?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, perangkaan Jabatan Statistik Negara untuk 2011 membuktikan bahawa 50 peratus dari tenaga kerja di negara ini adalah dari kalangan wanita.

Dyana mengkritik saranan berbaur diskriminasi gender oleh Dr Nur Farrah yang mendakwa bahawa untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, ia tidak boleh bergantung kepada wanita sebagai penyumbang utama, sebaliknya lelaki harus ke depan untuk  menguasai bidang pekerjaan.

Menurut Dyana, ISMA perlu sedar bahawa Malaysia sudah mengesahkan dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang penghapusan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW) di PBB pada tahun 1995.

Katanya, dokumen itu adalah persefahaman antarabangsa hak asasi manusia yang fokus terhadap hak-hak serta isu wanita di seluruh dunia. Ini jelas kerajaan telah memberikan sepenuh komitmen untuk memenuhi, menghormati, melindungi dan mempromosi hak-hak wanita di negara kita, ujarnya lagi.

“Malahan dengan jumlah 50 peratus sumber tenaga kerja dari wanita, mereka harus lebih dilihat dalam posisi-posisi membuat keputusan agar setiap kepentingan wanita terbela dengan adil.

“Jika (Dr Nur Farrah) betul-betul serius tentang pertumbuhan negara, beliau harus sedar bahawa apabila wanita dan lelaki sama-sama bekerja, dengan hak-hak yang sama dan bermaruah, ia akan dapat membawa Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi, bahkan lebih dari itu lagi.

“Saya juga harap beliau fikir kembali penglibatannya dengan ISMA yang kini dilihat sedang menghalang usaha pembinaan negara, kumpulan yang selalu menyerang agama dan kaum lain, dan sekarang ini mahu mendiskriminasi wanita pula,” tambah beliau. – Roketkini.com