Berita

DAPSY kecewa PAS Kelantan menyimpang dasar bersama Pakatan

KUALA  LUMPUR, 24 DIS: Pemuda DAPSY terkejut dan kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa matlamat menawan Putrajaya merupakan perkara kedua selepas pelaksanaan hudud.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong merujuk kenyataan Mohd Amar dalam wawancara beliau yang disiarkan laman berita Malaysiakini hari ini, bahawa PAS Kelantan seolah-olah tidak kisah sekranya parti mereka dikeluarkan daripada gabungan Pakatan Rakyat demi cita-cita mereka.

“Kenyataan sebegini sungguh bersifat kebudak-budakan yang tidak menampilkan sifat matang seorang yang berilmu dan berpengalaman.

“Kami juga merasakan kenyataan beliau itu mengelirukan dan menyimpang jauh daripada konsensus dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dimeterai sejak enam tahun lalu,” kata Teo dalam satu kenyataan.

Tambah Teo, kenyataan Mohd Amar mengandungi makna tersirat, menggambarkan PAS sanggup berpatah arang dengan rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sedangkan ahli jawatankuasa PAS Pusat tidak pernah bersetuju untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian Kelantan berkaitan hudud ke parlimen.

Antaranya, anggota jawatankuasa pusat PAS Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan seorang lagi anggotanya yang enggan namanya disebut berkata, ia antara perkara yang sudah dipersetujui.

Hatta, yang juga anggota parlimen Kuala Krai, juga menolak kenyataan timbalan pesuruhjaya Mohd Amar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan bahawa mereka mendapat restu jawatankuasa PAS pusat.

Tegas Teo, tindakan itu dibuat semberono seolah-olah hilang pertimbangan waras akibat desakan segelintir kelompok yang cuba menggagalkan usaha PAS bersama rakan-rakan PKR dan DAP mengambil alih kerajaan Barisan Nasional yang korup.

“Dalam suasa bencana alam yang khususnya melanda Kelantan serta negeri-negeri di Pantai Timur, seharusnya beliau dan pentadbirannya lebih bertenang dan menumpukan usaha, masa dan keupayaan jentera untuk membantu mengurus keperluan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan mangsa banjir.

“Bukannya galak bercakap tentang sesuatu yang begitu menyimpang daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah kita sepakati,” katanya.

Ujar Teo, sikap ditunjukkan Mohd Amar jelas tidak matang dan amat dikesali kerana merosakkan hubungan baik sesama rakan-rakan parti gabungan. – Roketkini.com