Berita

Isu hudud, PAS diingatkan konsisten dasar bersama Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Usaha PAS membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Hudud di Kelantan telah melanggar dasar bersama Pakatan Rakyat.

Pembentangan dijadualkan 29 Disember ini dilihat seperti sengaja masuk ke dalam percaturan politik UMNO-BN apabila berkeras untuk kembali dengan perjuangan negara Islam, berbanding negara berkebajikan.

Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo dalam kenyataannya mengingatkan PAS agar serius dengan peranan mereka dalam Pakatan Rakyat.

“Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, hudud lebih penting dari Putrajaya, dan boleh pula bersama dengan musuh ketat mereka UMNO untuk melaksanakan hudud.

“Ini jelas membayangkan PAS mengakui mereka tidak serius dengan peranan mereka dan tidak komited dengan dasar bersama Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Isu hudud berlarutan apabila PAS Kelantan berkeras membentangkan RUU Hudud walaupun PAS Pusat tidak pernah bersetuju.

Usaha PAS Kelantan mendapat respon ramai pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin bin Ali.

“PAS seperti memaksa Pakatan Rakyat berpecah kerana bersikap keras mahu melaksanakan RUU Hudud 29 Disember nanti, sedangkan mereka tahu DAP membantah.

“Tidak ada perbincangan atau apa-apa perjanjian dicapai bersama DAP dan PKR tentang hal ini.

“PAS harus sedar Pakatan Rakyat mempunyai ikatan tanggungjawab mempertahankan Dasar Bersama tersebut. Dengan perjanjian inilah kita berkempen sehingga mencapai kemenangan besar pada 2008 dan 2013,” tegas Ahli parlimen Puchong itu..

Gobind mengingatkan rakan Pakatan Rakyat bahawa DAP akan terus mempertahankan Dasar Bersama.

“Kita harus mendapatkan keyakinan dan melaksanakan komitmen kita dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Kita mesti teguh menunjukkan ia bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main,” tegasnya. – Roketkini.com