Berita

Jadikan perayaan Krismas pendorong kedamaian – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berharap perayaan Hari Krismas tahun ini akan menjadi pendorong ke arah Malaysia yang aman dan dinamik merentasi kaum dan agama

Merujuk peristiwa perang dunia pertama di ambang perayaan Krismas 1914, tentera Jerman dan British meletakkan senjata serta mendekati antara satu sama lain untuk saling mengucapkan Hari Krismas, mengenepikan perbezaan.

“Saya berharap, rakyat Malaysia boleh mencontohi kejadian tersebut untuk turut sama berdamai antara satu sama lain,” kata Teresa dalam kenyataannya hari ini.

Ahli Parlimen Seputeh itu menyatakan, tahun ini merupakan tahun yang sukar untuk DAP dan dirinya yang menghadapi pelbagai ancaman termasuk dakwaan menghasut.

Namun, halangan dan ancaman tidak langsung mematahkan semangat keluarga DAP ke arah matlamat menjadikan Malaysia negara yang lebih makmur.

“Banyak perkara yang masih DAP perjuangkan terutamanya soal kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan, akauntabiliti pemimpin negara, standard pendidikan lebih baik untuk anak muda, menamatkan kemiskinan dan ekonomi yang lebih berdaya tahan.

“Kami juga komited melawan ekstremis kaum dan agama dalam apa jua bentuk,” kata Teresa. – Roketkini.com