Berita

DAP kenang ulang tahun ke sepuluh tragedi Tsunami

GEORGE TOWN, 25 DIS: Dalam kemeriahan menyambut perayaan Krismas dan tahun baru tidak berapa lama lagi, DAP mengajak seluruh masyarakat untuk turut sama berdoa serta memperingati ulang tahun ke 10 tragedi tsunami yang telah meragut banyak nyawa.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam kenyataannya hari ini menyatakan, walaupun tragedi yang berlaku pada 25 Disember 2004 itu telah lama berlalu tapi semua rakyat harus sentiasa waspada dan lebih bersedia dalam menghadapi apa saja cabaran, besar mahupun kecil.

“Tsunami yang berlaku 10 tahun lalu bukan saja meragut kedamaian, tapi mengajar bahawa kita bukan lagi terpisah antara sempadan negara. Musibah alam tidak mengenal sempadan yang direka manusia.

“Kejadian Tsunami benar-benar membekas dalam sanubari rakyat Malaysia sehingga kata yang begitu asing dalam kosa kata kita kini sering diguna pakai untuk menggambarkan gelombang perubahan yang datang secara tiba-tiba.

“Semoga segala dugaan yang tiba tidak melemahkan kita tetapi sebaliknya mengukuh dan menyatu-padukan kita semua,” katanya.

10 tahun lalu, buat pertama kalinya negara dikejutkan dengan musibah ombak besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di Pulau Pinang, musibah sekelip mata itu melanda Tanjong Bunga, Batu Feringgi, Teluk Bahang dan Pulau Betong.

“Sehari sebelum kejadian, tidak ada siapa pun yang percaya pekan kecil di muara Sungai Muda akan menjadi perhatian negara dan dunia.

“Peristiwa besar ini juga telah meragut 52 nyawa dengan lima lagi dilaporkan hilang, 2006 orang cedera, 615 rumah dan 1,332 buah bot musnah sekelip mata,” ujar Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang itu.

Tambah Zairil, meskipun tidak mampu untuk mengelak daripada tragedi seperti gempa bumi dan tsunami namun rakyat telah belajar untuk meminimakan kesannya.

“Kini kita telah lebih menghargai hutan bakau sebagai penebat semula jadi dan lebih berhati-hati dengan pembangunan pinggir laut,” katanya. – Roketkini.com