Berita

Hudud Kelantan tak selari Perlembagaan, boleh ‘tamatkan’ persekutuan Malaysia

KOTA KINABALU, 25 DIS: Sekiranya PAS Kelantan berkeras melaksanakan hudud di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Persekutuan Malaysia boleh berpecah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong Chan Foong Hin.

Ini kerana katanya, tindakan PAS mahu melaksanakan hudud di Kelantan bukan sahaja memberi impak kepada politik, malah langkah itu boleh ‘menamatkan’ Persekutuan Malaysia.

Kata Foong Hin secara teorinya, tidak mustahil untuk sebuah negara mempunyai dua sistem perundangan jenayah.

Namun katanya, hudud di peringkat negeri adalah isu berkaitan perlembagaan, dan bukan sekadar dari sudut teknikal atau perihal berkenaan Kelantan sahaja.

Antara contoh ujarnya adalah Nigeria, negara persekutuan memiliki undang-undang syariah di 12 negerinya, manakala Indonesia, negara kesatuan (unitary state) memberi keistimewaan (autonomi) kepada Aceh melaksanakan undang-undang syariah.

“Kelantan mempunyai hak untuk menuntut pelaksanaan hudud di dalam wilayahnya, namun memerlukan satu perlembagaan persekutuan yang mempunyai susunan longgar dan memberikan lebih banyak kuasa kepada negeri.

“Kerumitan mempunyai dua sistem undang-undang jenayah mestilah difikirkan dengan teliti.

“PAS memang ada hak, tetapi sediakanlah kajian-kajian terperinci dan kefahaman yang tepat sebelum melaksanakannya.

“Hujah bahwa hudud hanya dilaksanakan untuk Kelantan sahaja tidak tepat, kerana sebaik pindaan dilulus dan dilaksanakan, negeri yang mengambil Islam sebagai agama rasmi akan turut memulakan perubahan-perubahan yang serupa,” ujarnya.

Naib Pengerusi DAP Sabah itu menambah, perubahan dalam perlembagaan memerlukan pandangan meluas dari kalangan orang bukan Islam dan orang Islam sendiri.

Kerajaan Pusat dan Jawatankuasa Teknikal Kerajaan Negeri sahaja tidak sesuai untuk memutuskan pelaksanaan hudud di peringkat negeri secara bersendirian.

“Untuk menggunakan Artikel 76A iaitu “Kuasa Parlimen untuk meluaskan kuasa-kuasa badan legislatif” dengan memindah kuasa pusat bagi undang-undang jenayah kepada negeri akan memusnahkan Perlembagaan Persekutuan dengan taktik ikut pintu belakang,” tegas Foong Hin.

Dalam perkembangan terbaru, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob dilaporkan berkata pembentangan hudud di Dewan Negeri Kelantan tetap akan berjalan, meskipun banjir di negeri itu semakin teruk. – Roketkini.com