Berita

Banjir di Pahang memburuk, DAP negeri seru bantuan orang ramai

MENTAKAB, 27 DIS: Jumlah mangsa banjir di Pahang yang kini berjumlah 35,561 orang daripada 9,077 keluarga, kini dijangkakan meningkat kepada 40,000 orang dalam masa terdekat kata, ADUN Mentakab yang juga Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

“Keadaan banjir di Mentakab semakin teruk dan bekalan barangan keperluan dan makanan belum mencukupi.

“Bot juga amat diperlukan untuk membawa bekalan kepada penduduk yang terputus hubungan disebabkan air naik,” kenyataan Tengku Zulpuri dipetik.

Pimpinan DAP Kebangsaan dan negeri telah memulakan operasi bagi membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Mentakab dan Temerloh sejak 24 Disember lalu.

Antaranya, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook yang turut turun padang, selain menyampaikan sumbangan peribadinya iaitu sebanyak 100 kampit beras dan barangan keperluan yang lain.

Hadir sama menghulur bantuan termasuk pemimpin DAP Pahang antaranya ADUN Bilut, Chow Yu Hui dan ADUN Ketari, Lee Chin Chen.

Melihat betapa serius keadaan banjir kali ini, Loke bagi pihak DAP Pusat memperuntukkan RM10,000 daripada Tabung Bencana Banjir serta-merta kepada Pusat Khidmat ADUN Mentakab untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Beliau juga Ahli Parlimen Seremban kini berusaha mendapatkan khemah-khemah untuk diedarkan kepada pusat-pusat pemindahan agar keluarga yang dipindahkan mendapat keselesaan di pusat pemindahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAPSY Teo Kok Seong berharap kerajaan sedaya upaya membantu mangsa banjir, selaim menyeru rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dan keprihatinan kepada saudara seMalaysia kita yang terlibat dengan bencana ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada tabung bencana DAP bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir digalakkan untuk menderma kepada ke ‘Tabung Dana Kecemasan’ melalui akaun Ambank 8881002244649. – Roketkini.com